Malaysia akan kembali kuasai lompat tinggi Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei meramalkan Malaysia akan kembali menguasai sukan itu di peringkat Sukan SEA dalam tempoh lima tahun lagi.

Hup Wei yang kini menggalas tugas selaku jurulatih pelapis kebangsaan, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mencari bakat-bakat baharu dari seluruh negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebelum ini memang kita tiada atlet pelapis, jadi saya perlukan masa untuk menggilap bakat-bakat baharu.

“Sekarang kita sudah ada seorang atlet (Kuan Jhy Yunn) yang diserapkan dalam program pelapis di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) tahun ini dan ada 10 atlet remaja di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

“Ketika ini saya sedang menggiatkan usaha untuk mencari lebih ramai atlet berbakat dengan kerjasama MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia).

“Untuk kita menjadi kuasa besar semula di peringkat Asia Tenggara, kita perlu kumpulan bakat baharu yang besar,” kata Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada 2022.

Menurut Hup Wei, pelan jangka pendek ketika ini adalah untuk mempersiapkan dua atlet lelaki dan wanita bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Bangkok 2025.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk bawa atlet ke Sukan SEA Bangkok 2025. Buat masa ini, saya harap kita mampu cari dua atlet lelaki dan dua wanita untuk temasya itu,” katanya.

Malaysia sebelum ini adalah kuasa besar lompat tinggi di Sukan SEA dengan Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya menguasai acara itu sejak 2007.

Hup Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula 2007 di Manila, 2009 (Vientiane), 2011 (Palembang) dan 2019 (Filipina) manakala Nauraj merekodkan kejuaraan pada 2013 (Napyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Nauraj sekadar meraih perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.

Pada edisi terakhir di Kemboja, tahun lalu, emas menjadi milik atlet Thailand, Tawan Kaeodam.-Berita Harian