Badang Pahang mahu cipta nama di pentas antarabangsa

KUANTAN: Badang Pahang, Rahimi Sulaiman berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan selepas dipilih berada dalam kem angkat berat negara.

Bukan janji manis bulan dan bintang tetapi memadai untuk berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch.

Menurut atlet kelahiran Rompin itu, dia mula dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan bulan lalu dan kini sedang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, dia kini bersama MSN sepenuh masa sehingga 2025, selain mengikuti latihan setiap hari menerusi pelbagai program diadakan termasuk menyertai pertandingan di pentas antarabangsa.

“Peluang menyertai pasukan angkat berat negara seolah membuka peluang kepada saya untuk melangkah lebih jauh dan melakar kejayaan dalam sukan angkat berat di peringkat antarabangsa.

“Saya meletakkan bekas atlet angkat berat negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idola yang perlu dijadikan contoh sekiranya ingin mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menambah, selepas empat tahun sebagai atlet angkat berat Pahang, akhirnya impian berada dalam pasukan kebangsaan kini menjadi kenyataan.

Tumpuannya kini lebih kepada usaha melakukan angkatan yang terbaik.

Mengenai peluang merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, Rahimi berkata, dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.-Berita Harian