Surfing berpotensi jadi acara Sukma

SUKAN surfing atau luncur ombak berpotensi dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) sekiranya ia terus dipromosikan secara konsisten di peringkat negeri dan persatuan negeri di seluruh negara.

Setiausaha Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Azmi Yusof berkata, persatuan itu telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha mempromosi sukan tersebut yang berpotensi dikembangkan di Malaysia.

“Pihak PLOM merancang untuk mengadakan program demonstrasi sukan surfing ini dengan menjemput pihak MSN dan MOM melihat sendiri potensi sukan ini di lapangan acara.

“Kami berharap selepas sesi pertemuan dan pendedahan, kami menjangkakan sukan surfing ini akan menjadi salah satu daripada acara pada Sukma edisi akan datang,” katanya ketika ditemui ketika kejohanan Cherating International Surf Festival 2024, di Cherating, Pahang.

Azmi berkata, luncur ombak atau surfing yang semakin berkembang di Malaysia dengan beberapa negeri kini aktif menganjurkan acara sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa, antaranya di Pahang, Johor dan Sabah.

Malah katanya, Malaysia sendiri pernah menghantar atlet ke temasya Sukan SEA di Filipina pada 2019.

Selain ke temasya peringkat Asia Tenggara itu, PLOM turut menghantar atlet Malaysia ke kejohanan surfing antarabangsa di Phuket, Thailand, Maldives dan Sri Lanka.

“Ada di kalangan atlet kita yang menaiki podium. Sebab itu kita ada idea ke arah menjadikan sukan ini sebagai salah satu dari acara di dalam Sukma,” kata Azmi.

Tambah beliau, penarafan sukan ini di Malaysia terus dipertingkatkan saban tahun, terutamanya dari segi kualiti penganjuran, pengadilan, jumlah hadiah dan penyertaan antarabangsa.

“Kalau kita lihat para ‘surfer’ disini, semuanya bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Ini kerana melalui kemenangan dan penyertaan, akan meningkatkan mata ‘ranking’ setiap individu.

“Melalui jumlah mata yang terkumpul membolehkan mereka disenarai pendek untuk menjadi atlet membawa nama Malaysia ke mana-mana kejohanan antarabangsa,” ujar Azmi lagi.

Justeru kata Azmi, sokongan semua pihak diperlukan untuk mengembangkan potensi sukan ini, terutamanya dari sudut pembangunan sukan, latihan dan tajaan.

Terdahulu, kejohanan Cherating International Surf Festival 2024 yang berlangsung di Pantai Awam Cherating dari 8 hingga 11 Februari itu disertai kira-kira 140 peserta tempatan dan luar negara termasuk dari Indonesia, Thailand, Finland, Jepun, Kanada dan Jerman. — Majoriti