RTG bakal tentu kedudukan Pandelela, Dhabitah

KUALA LUMPUR – Kedudukan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam program Road To Gold (TRG) akan ditentukan menjelang mesyuarat jawatankuasa RTG yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Bekas juara dunia itu berdepan risiko digugurkan daripada program elit tersebut apabila gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tidak melepasi had kelayakan menerusi acara 10 meter (m) platform individu dan seirama wanita.

Nur Dhabitah Sabri yang bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m seirama wanita turut berdepan risiko dikeluarkan daripada program RTG selepas mereka menamatkan aksi saringan di tempat ke-12 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama RTG enggan mengambil tindakan terburu-buru, sebaliknya akan membincangkan perkara itu bersama koordinator program, Datuk Stuart Ramalingam.

“Saya tidak akan menjawab mengenai perkara itu hari ini (semalam). Saya hanya fokus kepada perbincangan meja bulat berhubung pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang diadakan hari ini (semalam).

“Nanti RTG akan panggil untuk sidang media spesifik. Kami akan buat mesyuarat dalam masa terdekat. Saya perlu beritahu Stuart dahulu untuk atur mesyuarat sebelum panggil semua orang,” katanya selepas sesi perbincangan meja bulat di Menara KBS semalam.

Setakat ini, Bertrand Rhodict Lises menjadi satu-satunya penerjun negara yang melayakkan diri ke Olimpik Paris bersama Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal).

Sebelum ini, RTG pernah mengambil tindakan menggugurkan skuad hoki lelaki kebangsaan daripada program kerana gagal meraih pingat emas Sukan Asia Hanghou selain menyingkirkan dua beregu campuran profesional, Tang Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai gara-gara prestasi tidak menentu. – KOSMO! ONLINE