Pahang sasar pingat emas futsal Sukma

Kuantan: Pasukan futsal Pahang mahu membawa pulang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Impian menggunung itu bagi menebus kekecewaan selepas hanya menduduki tempat ketiga pada Sukma Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ketua jurulatihnya, Norkhairi Abd Rahman berkata, selepas mengikuti latihan pusat lebih dua bulan lalu, persefahaman dan keserasian semakin mantap dapat dilihat dalam kalangan pemain.

Menurutnya, selepas mengadakan beberapa siri pemilihan, 19 pemain terbaik dikumpul untuk mewakili Tok Gajah bagi Sukma kali ini.

“Bagi membentuk pasukan mantap, kami bekerjasama dengan Pahang Rangers FC bermula di peringkat pemilihan pemain hingga membentuk pasukan.

“Saya amat berpuas hati melihat perkembangan positif pasukan dan kesabaran menjadi kunci bagi menghasilkan pasukan bermula dari kosong apabila ramai pemain tidak pernah mendapat pendedahan di peringkat tinggi,” katanya.-Harian Metro