Terjunan awal yang kurang baik, punca penerjun negara gagal

Kuala Lumpur: Permulaan terjunan yang kurang baik menjadi salah satu faktor penerjun negara gagal mendapatkan mata semaksimum untuk memburu kedudukan terbaik di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar sekali gus terlepas tiket ke Olimpik Paris 2024 dalam beberapa acara sebelum itu.

Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, sekiranya faktor terjunan dapat dibaiki, keputusan akan menjadi sebaliknya dan peluang untuk mendapatkan kedudukan terbaik itu juga agak cerah.

Jelasnya lagi, keadaan Nur Dhabitah Sabri yang mengalami sedikit kecederaan menyebabkan dirinya tidak dapat melakukan yang terbaik seperti kebiasaannya.

Akan tetapi, Bryan tetap optimis Dhabitah mampu melakukan sesuatu dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu untuk mendapatkan tiket ke Olimpik Paris 2024.

“Kita tak ada permulaan yang bagus. Semalam kita ada acara yang kita terlepas dan rasakan peluang itu ada kalau kita boleh tambah baik 0.5-1.5 markah bagi setiap terjunan.

“Dhabitah punya kecederaan dalam kawalan. Masa 10m (platform seirama) impak atau tekanan itu tinggi.

“Tetapi di 3m, kita rasa dia boleh lakukan. Apa pun kita akan tunggu dan lihat keputusan 3m individu hari ini. Saya yakin dengan Bitah (Dhabitah),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Datuk Pandelela Rinong yang gagal mendapatkan slot ke temasya terbesar dunia itu, beliau menyatakan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi prestasi dia.

“Saya rasa benda ini (prestasi Pandelela) semua orang sedikit sebanyak boleh tahu. Rentak, rotation, kekuatan dan usia,” katanya.

Kem terjun negara terus suram selepas terbaru gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.-Harian Metro