Skuad Sukma juara Liga Hoki Perak

IPOH: Skuad Sukma Perak 2024 muncul juara Liga Hoki Perak (LHP) 2024 selepas mengalahkan SMK Anderson Ipoh 7-2 dalam aksi final di sini semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku pertama.

Perlawanan tersebut ibarat pertembungan ‘abang dan adik’, kerana kedua-dua pasukan mendapat bimbingan jurulatih yang sama iaitu Mohd. Nizam Mohd Hashim.

Malah, ramai pemain Sukma Perak adalah bekas pelajar SMK Anderson .

Bagaimanapun, MSK Anderson tiba-tiba bagaikan hilang tumpuan selepas jaringan mereka tidak dibenarkan oleh pengadil pada minit ke-16.

Kesempatan itu diambil oleh pemain Sukma Perak untuk meledak tiga gol dalan tempoh lima minit mulai minit ke-17.

SMK Anderson merapatkan jurang dengan dua gol melalui Ahmad Danish dan Muhammad Hidayat Mohammad Faizal untuk menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-39.

Begitupun, hanya sejauh itu perjalanan SMK Anderson apabila gawang mereka dibolosi empat gol oleh skuad abang selepas itu.

Dengan kejayaan itu, skuad Sukma Perak meraih hadiah kemenangan RM3,000 makala SMK Anderson menerima RM2,000.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menduduki tempat ketiga selepas mengecewakan UPSI. – UTUSAN