Selepas menang emas, anda mahu cuti satu tahun pun boleh – Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jangan menyesal di kemudian hari!

Itu mesej legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada pemain utama negara yang akan membawa cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu, berkata tempoh enam bulan terakhir ini sangat penting buat pemain untuk berkorban demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia bagi memenangi pingat emas pertama Olimpik.

Katanya, dia tidak mahu pemain berasa menyesal selepas bersara kerana tidak melakukan persiapan terbaik memandangkan kerjaya sebagai pemain atau atlet tidak panjang.

“Selepas Terbuka Malaysia, saya sudah komen (pemain) bukan tak boleh bercuti, boleh, tetapi kena tengok pada masa. Ada yang marah saya kerana teguran itu tetapi ia berdasarkan kepada pengalaman karier saya sepanjang 19 tahun di BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kita boleh bercuti tapi kena tengok masa kerana tahun ini ada Olimpik.

“Selepas anda menang (emas) Olimpik, anda mahu cuti satu tahun pun boleh. Ini (memenangi emas) adalah impian untuk diri sendiri dan juga rakyat Malaysia sebab kita tak pernah lagi menang emas pertama (di Olimpik).

“Jangan nanti selepas bersara baru kita rasa rugi kerana kita tidak betul-betul buat persiapan dengan pergi bercuti semua pada tahun Sukan Olimpik berlangsung. Masa sebagai pemain atau atlet tidak panjang.

“Ada atlet mungkin 12, 10 atau empat tahun saja. Kali ini mungkin anda boleh bermain di Olimpik tetapi yang seterusnya tidak boleh. Jadi adalah penting untuk setiap atlet memanfaatkan sepenuhnya tempoh masa yang ada untuk berkorban,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di sini, malam tadi.

Tiga kejohanan awal musim ini – Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia – menyaksikan barisan pemain negara gagal menghasilkan keputusan positif dengan pencapaian terbaik adalah mara sehingga suku akhir.

Justeru, Chong Wei mahu pemain negara segera bangkit dan berkorban untuk melakukan persiapan terbaik bagi membolehkan mereka mencapai kemuncak prestasi apabila Sukan Olimpik Paris membuka tirai saingannya pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

“Pengorbanan untuk berlatih, berehat dan bersama keluarga selama enam bulan ini amat penting.

“Saya tahu keluarga sangat penting tetapi keluarga juga perlu faham tempoh ini adalah detik paling penting untuk pemain itu. Saya harap pemain akan bangkit dan jangan berputus asa,” kata Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia.-Berita harian