Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 24, 2024

Skuad hoki 5s wanita ratah Oman

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara mempamerkan permulaan meyakinkan pada kempen Piala Dunia Hoki 5s 2024 apabila membelasah tuan rumah Oman 10-0 pada aksi Kumpulan A di Muscat, hari ini.

Sepuluh gol berkenaan dijaringkan masing-masing menerusi Zati Alyani Muhamad Zubir (minit ke-10, 11, 22 dan 25), Nur Zafirah Aziz (11, 13 dan 27), Qhairunisya Mohd Zanili (16 dan 30) serta Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit ke-22.

Sementara itu, pengendali pasukan Nabil Fiqri Mohd Noor berkata, kemenangan berkenaan pastinya menjadi suntikan semangat buat mereka untuk terus mengekalkan momentum cemerlang pada kejohanan berprestij itu.

“Objektif pertama (dalam kejohanan) ialah capai kemenangan dan jaringan 10-0 ini beri kelebihan untuk pasukan. (Misi) perlawanan kedua menentang Belanda malam ini masih sama iaitu meraih kemenangan.

“Ini juga membuktikan kita menghantar mesej kepada pasukan lain bahawa kita bersedia untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Pasukan kendalian Nabil Fiqri itu akan menentang Belanda pada 8.30 malam ini sebelum melengkapkan saingan Kumpulan A bertemu Fiji esok. – BERNAMA

Hanya Aaron-Wooi Yik mampu dapatkan pingat Olimpik

KUALA LUMPUR: Masih samar buat Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk melihat barisan pemain negara yang mampu bersaing bagi menjelmakan pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Temasya terbesar dunia itu dijadual berlangsung pada Julai depan namun setakat beberapa kejohanan yang disertai bagi musim 2024, Rexy mengakui hanya pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memiliki peluang paling hampir.

“Setakat ini, keyakinan dari pemain untuk berjuang mendapatkan pingat di Olimpik (selain Aaron-Wooi Yik)… tak nampak. Dari Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

“Mungkin sebab ia bakal menjadi Olimpik pertama buat mereka berdua. Namun apabila sudah layak ke Olimpik nanti, saya harap motivasi dan kepercayaan diri mereka itu menjadi lebih baik lagi dan mereka menjadi pencabar untuk pingat,” kata Rexy.

Selepas berakhirnya dua kejohanan awal musim 2024 iaitu di Terbuka Malaysia dan India, Rexy turut mengakui yang Tang Jie-Ee Wei berada di bawah prestasi mereka sekiranya hendak dibandingkan apa yang dicapai mereka di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, Disember lalu.

Dalam pada itu, Rexy turut memaklumkan yang Aaron-Wooi Yik akan memberi tumpuan kepada kejohanan bertaraf Super 1000 dan 750 selepas berakhirnya saingan di India, minggu lalu.

“Jadual mereka hanya sampai di India, mereka akan fokus kepada 1000 dan 750 dan kita mahu mereka lebih baik lagi di Seluruh England (pada Mac di Birmingham, England) nanti,” kata Rexy.
-Berita harian

Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Masters Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak perlu ‘bermandi peluh’ untuk melangkah ke pusingan kedua Masters Indonesia 2024 apabila lawannya di pusingan pertama dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menarik diri hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan berstatus Super 500 itu dijadual bertemu Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati esok selepas wakil tuan rumah berkenaan menewaskan rakan senegara, Adnan Maulana-Nita Violina Marwah 21-9, 21-10.

Pertembungan itu bakal menjadi aksi ketiga antara beregu ini dengan rekod kemenangan memihak kepada wakil negara, 2-0 selepas kali terakhir Tang Jie-Ee Wei menewaskan lawan sama di Masters Orleans, tahun lalu.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2024 dengan terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum turut mengalami nasib sama di Terbuka India yang melabuhkan tirainya, minggu lalu.

Pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan esok juga akan menyaksikan Chan Peng Soon-Cheah Yee See berentap dengan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terkandas di pusingan pertama apabila tewas 9-21, 11-21 di tangan pilihan keenam dari China, Han Yue.

Kekalahan itu menyaksikan Yue kini mendahului rekod tiga pertemuan mereka dengan dua kemenangan selepas Jin Wei berjaya menewaskan lawannya itu di suku akhir Terbuka Hong Kong tahun lalu.

Turut mengikuti jejak Jin Wei adalah K Letshanaa yang tewas di tangan wakil tuan rumah, Putri Kusuma Wardani 17-21, 12-21 dalam tempoh 40 minit.
-Berita harian

Emas jadi buruan Rahimi di SUKMA Sarawak

ROMPIN: Atlet angkat berat Pahang, Rahimi Sulaiman berazam untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

Rahimi bakal membuat penampilan kedua di pentas SUKMA dengan atlet kelahiran Rompin, Pahang yang menyertai kategori 55 kilogram (KG) mahu membalas kekecewaannya pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur.

Katanya, dia sudah melakukan persiapan rapi sejak lebih dua tahun lalu dan kejayaan merangkul emas di Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Sarawak tahun lalu, bakal menjadi bekalan buat dirinya mempamerkan angkatan terbaik nanti.

“Saya meletakkan impian membuat angkatan lebih 100kg dalam acara snatch, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas diharapkan.

“Saya percaya saingan daripada atlet Perlis, Terengganu dan Selangor sekali lagi akan diterima. Siapa yang lebih gagah membuat angkatan, mereka akan pulang dengan kilauan pingat emas,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Rahimi berkata, dia kini menjalani latihan kira-kira tujuh jam sehari dibawah bimbingan jurulatih, Zainudin Joseph di pusat latihan angkat berat di Rompin bersama 13 atlet angkat berat lain.

“Siapa yang melakukan kesilapan dengan kata lain tidak mampu melakukan angkatan dengan sempurna, mereka akan kecewa walaupun diatas kertas dia mampu menyerlah.

“Oleh itu, bagi memastikan impian menjadi kenyataan saya lebih berminat dengan tidak terlalu yakin. Dengan kudrat yang ada saya akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan harapan diletakkan dapat dilakukan,” katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

-Berita harian

‘Tunjukkan sesuatu yang membanggakan Malaysia’

DOHA: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berharap pasukannya dapat memberikan sesuatu yang positif dalam pertembungan dengan Korea Selatan, esok.

Aksi di Stadium Al Janoub itu menjadi perlawanan terakhir Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 selepas skuad negara sudah sah terkandas di peringkat Kumpulan E.

Meskipun hanya aksi pelengkap jadual, Pan Gon bagaimanapun mahu anak buahnya menunjukkan persembahan yang dapat membanggakan rakyat Malaysia.

Sedar mengenai status skuad Taegeuk Warriors selaku pasukan gergasi Asia, Pan Gon menjelaskan barisan pemainnya harus berada dalam motivasi terbaik untuk mencipta sesuatu yang positif.

“Saya sedar tahap pasukan Korea Selatan sebagai pasukan gergasi. Namun sebagai jurulatih Malaysia, saya mahu pasukan menunjukkan sesuatu untuk rakyat Malaysia.

“Ia penting bagi kami dan kami memberikan semangat kepada pemain supaya mereka tidak takut dan lebih berani untuk melawan Korea Selatan,” katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Harimau Malaya tewas dalam dua perlawanan awal kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Korea Selatan pula yang menewaskan Bahrain 3-1 dan terikat 2-2 dengan Jordan berada di tangga kedua dengan mengumpul empat mata.

Selain itu, Pan Gon turut mengesahkan beberapa pemain Harimau Malaya mengalami kecederaan dan mungkin tidak bersedia untuk perlawanan menentang Korea Selatan.

“Waktu perlawanan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini juga memberi cabaran kepada kami, namun kami harap dapat mengatasi perkara itu,” katanya.-Berita Harian

Harap skuad kita tak jadi ‘kenduri’ Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Misi untuk menewaskan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E sememangnya menjadi impian skuad Harimau Malaya dan penyokong namun harapan realistik perlu disandarkan dengan mempertimbangkan prestasi semasa ketika ini.

Mengulas mengenai pertembungan terbabit, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus mengharapkan anak buah Kim Pan Gon tidak menjadi ‘kenduri’ buat ‘Taeguk Warriors’ apatah lagi kedudukan juara Asia dua kali itu juga masih belum selamat.

Jelas bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu, skuad bimbingan Jurgen Klinsmann pasti tiada ‘belas kasihan’ kerana mereka juga terdesak untuk mencipta kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

“Kita kena realistik dan apa yang kita harapkan, jangan ‘kena’ (bolos) banyak. Moral pemain pun agak rendah dengan pelbagai kritikan jadi mental mereka kena fokus untuk perlawanan ini. Mungkin ada strategi untuk kita kejutkan Korea Selatan.

“Kita kena terima bahawa Korea Selatan juga dalam keadaan bahaya kerana kalau mereka terperangkap, mereka pun boleh sangkut. Jadi mereka pasti akan bermain bermati-matian untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

“Kalau Korea Selatan sudah mengesahkan slot ke pusingan seterusnya, mungkin mereka boleh buat penggiliran tetapi dalam situasi sekarang, Korea Selatan agak sedikit tertekan untuk elak daripada terkena kejutan daripada kita,” kata Fauzi.

Dalam masa sama, Fauzi juga mengharapkan skuad kebangsaan dapat terus memperaga aksi yang lebih kemas di sebalik dua kekalahan pertama di tangan Jordan dan Bahrain yang menyaksikan kempen di Qatar kali ini berakhir secara ‘pra-matang’.

“Selain kita harap tidak bolos dengan jaringan besar, kita harap mereka boleh bermain dengan cara yang lebih baik. Ada peningkatan ditunjukkan ketika menentang Bahrain tetapi inilah bola sepak di mana kita bolos pada saat akhir.

“Apapun, kita harus menghormati pilihan Pan Gon dan barisan kejurulatihan. Mungkin mereka sedang mencongak rencana yang terbaik untuk menghadapi aksi terakhir ini,” katanya.-Berita harian

Piala Dunia Remaja: Nur Hazirah rampas kedudukan teratas

KUCHING, 23 Jan: Wakil Malaysia, Nur Hazirah Ramli merampas kedudukan teratas pada Piala Dunia Remaja IBF 2024 di Lima, Peru selepas menamatkan blok kedua pagi tadi.

Pemain boling berasal dari Sarawak itu bagaimanapun bermula goyah pada dua permainan awal apabila sekadar menjatuhkan 178 dan 175 pin.

Nur Hazirah yang juga Juara Remaja Terbuka Antarabangsa Thailand 2023 bangkit dengan balingan lebih kemas pada baki empat permainan apabila melakukan 215, 244, 218 dan menamatkan saingan dengan 213 pin.

Jumlah keseluruhan 2,452 pin yang dikumpul memadai untuk Nur Hazirah ‘menolak’ pendahulu hari pertama, Sara Duque dari Colombia ke tempat kedua dengan 2,411 pin.

Pemain Sweden, Nora Johansson melengkapkan senarai tiga teratas dengan jatuhan 2,382 pin.

Sementara itu kategori lelaki menyaksikan Megat Zaqrul Haiqal berjaya memperbaiki kedudukan ke tempat ketiga berbanding keempat pada hari pertama.

Megat Zaqrul Haiqal yang juga Juara Remaja Terbuka Singapura 2023 itu melakukan catatan 193,237,216, 246,215 dan 187 pin untuk jumlah keseluruhan 2,592.

Kategori lelaki turut menyaksikan pendahulu bertukar tangan apabila Robin Ilhammar dari Sweden merampas kedudukan teratas daripada Samuel Calderon dari Colombia.

Robin mengumpul 1,359 pin untuk catatan keseluruhan 2,703 manakala Samuel mengekori dengan 2,677 pin.

Kesemua pemain akan turut beraksi pada blok terakhir (lewat malam ini waktu Malaysia) di Pusat Bowling Videna untuk mengesahkan tempat ke pusingan berikutnya. -TVS

Azizulhasni fokus latihan di Australia

PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, Australia menjadi destinasi terbaik buat jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk melakukan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Beasley, Melbourne menjadi pangkalan latihan yang sesuai buat pelumba negara mempersiapkan diri ke temasya terbesar dunia itu dan Azizulhasni akan berlatih selama dua bulan sebelum memulakan penjelajahan pada Mac.

“Melihat Paris akan menjadi Olimpik terakhir bagi Azizul dan selepas perbincangan yang panjang, kami memutuskan, Melbourne adalah tempat terbaik untuk dia mempersiapkan diri ke Olimpik.

“Azizulhasni akan menjalani beberapa siri perlumbaan di sana seperti dirancang yang mana dia dijadualkan bertanding di Adelaide pada bulan ini,” katanya.

Beasley turut mengesahkan bahawa Azizulhasni tidak akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi bulan depan selepas pelumba itu memutuskan tidak beraksi di ACC.

Ujar Beasley, seorang lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menyertai Azizul di Melbourne dan akan bergandingan bersama di perlumbaan Piala Negara-Negara di Adelaide pada 2 Februari ini.

Katanya, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara, Shah Firdaus kemudiannya akan terbang berseorangan ke India untuk beraksi di ACC 2024.

“Azizulhasni akan turut mengambil bahagian di Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane pada awal Mac sebelum ke Siri 2 Piala Negara-Negara di Hong Kong pada 15 Mac nanti,” kata Beasley.

Sebelum ini, Azizulhasni menyatakan hasrat untuk tidak bersaing di ACC 2024 kerana khuatir dijangkiti Covid-19, yang mungkin akan menjejaskan persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Justeru saingan ACC 2023 yang berlangsung di Velodrome Nasional, Nilai Jun lalu merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan itu dengan Azizulhasni berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin, yang juga emas ke 12 sejak beraksi mula beraksi pada 2007. – UTUSAN

Majlis Sukan Negara Malaysia