Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Masters Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak perlu ‘bermandi peluh’ untuk melangkah ke pusingan kedua Masters Indonesia 2024 apabila lawannya di pusingan pertama dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menarik diri hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan berstatus Super 500 itu dijadual bertemu Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati esok selepas wakil tuan rumah berkenaan menewaskan rakan senegara, Adnan Maulana-Nita Violina Marwah 21-9, 21-10.

Pertembungan itu bakal menjadi aksi ketiga antara beregu ini dengan rekod kemenangan memihak kepada wakil negara, 2-0 selepas kali terakhir Tang Jie-Ee Wei menewaskan lawan sama di Masters Orleans, tahun lalu.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2024 dengan terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum turut mengalami nasib sama di Terbuka India yang melabuhkan tirainya, minggu lalu.

Pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan esok juga akan menyaksikan Chan Peng Soon-Cheah Yee See berentap dengan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terkandas di pusingan pertama apabila tewas 9-21, 11-21 di tangan pilihan keenam dari China, Han Yue.

Kekalahan itu menyaksikan Yue kini mendahului rekod tiga pertemuan mereka dengan dua kemenangan selepas Jin Wei berjaya menewaskan lawannya itu di suku akhir Terbuka Hong Kong tahun lalu.

Turut mengikuti jejak Jin Wei adalah K Letshanaa yang tewas di tangan wakil tuan rumah, Putri Kusuma Wardani 17-21, 12-21 dalam tempoh 40 minit.
-Berita harian