Emas jadi buruan Rahimi di SUKMA Sarawak

ROMPIN: Atlet angkat berat Pahang, Rahimi Sulaiman berazam untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

Rahimi bakal membuat penampilan kedua di pentas SUKMA dengan atlet kelahiran Rompin, Pahang yang menyertai kategori 55 kilogram (KG) mahu membalas kekecewaannya pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur.

Katanya, dia sudah melakukan persiapan rapi sejak lebih dua tahun lalu dan kejayaan merangkul emas di Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Sarawak tahun lalu, bakal menjadi bekalan buat dirinya mempamerkan angkatan terbaik nanti.

“Saya meletakkan impian membuat angkatan lebih 100kg dalam acara snatch, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas diharapkan.

“Saya percaya saingan daripada atlet Perlis, Terengganu dan Selangor sekali lagi akan diterima. Siapa yang lebih gagah membuat angkatan, mereka akan pulang dengan kilauan pingat emas,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Rahimi berkata, dia kini menjalani latihan kira-kira tujuh jam sehari dibawah bimbingan jurulatih, Zainudin Joseph di pusat latihan angkat berat di Rompin bersama 13 atlet angkat berat lain.

“Siapa yang melakukan kesilapan dengan kata lain tidak mampu melakukan angkatan dengan sempurna, mereka akan kecewa walaupun diatas kertas dia mampu menyerlah.

“Oleh itu, bagi memastikan impian menjadi kenyataan saya lebih berminat dengan tidak terlalu yakin. Dengan kudrat yang ada saya akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan harapan diletakkan dapat dilakukan,” katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

-Berita harian