Azizulhasni fokus latihan di Australia

PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, Australia menjadi destinasi terbaik buat jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk melakukan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Beasley, Melbourne menjadi pangkalan latihan yang sesuai buat pelumba negara mempersiapkan diri ke temasya terbesar dunia itu dan Azizulhasni akan berlatih selama dua bulan sebelum memulakan penjelajahan pada Mac.

“Melihat Paris akan menjadi Olimpik terakhir bagi Azizul dan selepas perbincangan yang panjang, kami memutuskan, Melbourne adalah tempat terbaik untuk dia mempersiapkan diri ke Olimpik.

“Azizulhasni akan menjalani beberapa siri perlumbaan di sana seperti dirancang yang mana dia dijadualkan bertanding di Adelaide pada bulan ini,” katanya.

Beasley turut mengesahkan bahawa Azizulhasni tidak akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi bulan depan selepas pelumba itu memutuskan tidak beraksi di ACC.

Ujar Beasley, seorang lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menyertai Azizul di Melbourne dan akan bergandingan bersama di perlumbaan Piala Negara-Negara di Adelaide pada 2 Februari ini.

Katanya, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara, Shah Firdaus kemudiannya akan terbang berseorangan ke India untuk beraksi di ACC 2024.

“Azizulhasni akan turut mengambil bahagian di Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane pada awal Mac sebelum ke Siri 2 Piala Negara-Negara di Hong Kong pada 15 Mac nanti,” kata Beasley.

Sebelum ini, Azizulhasni menyatakan hasrat untuk tidak bersaing di ACC 2024 kerana khuatir dijangkiti Covid-19, yang mungkin akan menjejaskan persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Justeru saingan ACC 2023 yang berlangsung di Velodrome Nasional, Nilai Jun lalu merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan itu dengan Azizulhasni berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin, yang juga emas ke 12 sejak beraksi mula beraksi pada 2007. – UTUSAN