SUKMA 2024: Kontinjen Selangor giat jalani latihan sejak Ogos lalu

SHAH ALAM, 4 JAN: Kontinjen Selangor kini dalam persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak Ogos ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berkata latihan untuk 37 acara yang setakat ini disahkan pada temasya itu giat dijalankan sejak Ogos lalu.

“Persiapan dijalankan dengan baik memperlihatkan kesemua atlet dan pasukan memberi komitmen tinggi menghadapi SUKMA kali ini.

“Namun ada beberapa acara atau sukan masih di peringkat senarai panjang untuk pemilihan atlet selain masih menanti ketetapan jumlah acara yang dipertandingkan dalam mesyuarat pada 22 Januari ini,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Ditanya mengenai sasaran pingat kontinjen Selangor, beliau berkata pihaknya masih menanti keputusan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara berkenaan tetapan jumlah sukan dipertandingkan.

“Kita masih menanti keputusan pihak berkaitan. Sejurus sahaja ia dimuktamadkan, MSNS akan menetapkan jumlah sasaran pingat dengan mengambil kira beberapa faktor yang akan dikaji.

“Namun ada beberapa sukan atau acara yang dilihat bakal menyerlahkan atlet kontinjen ini seperti memanah, ping pong, olahraga dan menembak,” katanya lagi.

Pasukan berbasikal Selangor giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor pada 2020 sebelum ia ditangguhkan akibat penularan Covid-19. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SUKMA ke-21 di Sarawak dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan. Selangor pernah menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016.

Pada 17 November lalu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi memaklumkan kontinjen Selangor menyasarkan kedudukan tiga teratas pada temasya SUKMA kali ini.

Beliau berkata sasaran ditetapkan MSNS itu dibuat hasil pemantauan dan penilaian prestasi atlet sepanjang tempoh persediaan.

“Kita telah melihat keadaan dan potensi semasa setiap atlet, melalui pemantauan serta penilaian sepanjang tempoh persediaan yang dilaksanakan.

“Melalui penyertaan kejohanan lain sebelum ini, MSNS merasakan kemampuan untuk berada di kedudukan tiga terbaik pada temasya SUKMA 2024,” katanya. -Selangor Kini