Majlis Sukan Negara Malaysia
LAWATAN KERJA RASMI KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Majlis Sukan Negara.

Ketibaan beliau di sambut Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin bersama pengurusan tertinggi MSN sebelum dibawa melawat galeri MSN.

Lawatan diteruskan dengan sesi taklimat bersama MPT MSN dan seterusnya sesi amanat bersama warga MSN.

Dalam ucapan beliau, penekanan diberikan kepada peranan MSN sebagai pemain utama dalam memacu sukan berprestasi tinggi selain berharap warga MSN dapat menjadi ‘aset’ kepada jabatan melalui amalan integriti yang tinggi.

SESI LAWATAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE PUSAT LATIHAN TAEKWONDO, KARATE DAN MENEMBAK

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr Mohammed Taufiq Johari, mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Taekwondo, Karate dan Menembak di Bukit Jalil bagi meninjau perkembangan semasa atlet negara, di samping melihat sendiri tahap kemudahan latihan yang disediakan.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Jefri Ngadirin, sebelum lawatan diteruskan dengan sesi taklimat oleh barisan jurulatih pasukan serta demonstrasi oleh para atlet.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan, En. Mohd Sofian Hamzah dan Pengarah Bahagian Atlet, En. Mohd Zaim Yusof.

MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN MALAYSIA (SUKMA) BIL 14/2026

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Menara KBS hari ini dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari dengan kehadiran barisan YB Exco Belia dan Sukan serta perwakilan setiap negeri.

Mesyuarat kali ke-14 itu juga antara lain meneliti pelbagai perkara operasi melibatkan penyelarasan logistik, keperluan penjajaran peraturan mengikut situasi semasa, isu-isu berbangkit serta status persediaan tuan rumah, Selangor.

Turut dibincangkan adalah perkembangan awal pembangunan kemudahan bagi edisi seterusnya, Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Mohammad Norza Zakaria serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Jefri Ngadirin. 

BENGKEL FOCAL POINT SUKAN SELAMAT SIRI 1/2026

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol telah merasmikan Bengkel Focal Point Sukan Selamat Siri 1/2026 yang diadakan di Puchong, Selangor.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, YBrs. Puan Chan Hong Jin; Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin; Ketua Pegawai Eksekutif ISN, YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Megat D Shahriman Dato’ Zaharuddin.

Bengkel bermula 7 hingga 9 April 2026 ini merupakan inisiatif Sekretariat Kerjaya dan Pendidkan Atlet (MACE) MSN dengan kerjasama Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura dengan objektif memastikan pegawai atau individu yang dilantik sebagai Focal Point memahami peranan mereka dalam melindungi atlet serta mewujudkan persekitaran sukan yang selamat dan berintegriti.

Bengkel 3 hari ini dihadiri lebih 100 wakil melibatkan Pengurus Sukan dari Bahagian Atet dan Para MSN, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negeri.

SESI POST MORTEM SUKAN SEA THAILAND 2025

Sesi Post Mortem Sukan SEA Thailand 2025 telah berlangsung hari ini, melibatkan penilaian menyeluruh terhadap prestasi kontinjen negara merentasi 60 jenis sukan.

Sesi yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, bersama Chef de Mission Sukan SEA Thailand 2025, Puan Nurul Huda Abdullah, dengan fokus kepada analisis prestasi atlet berdasarkan tiga kategori utama iaitu cemerlang, memuaskan dan tidak berjaya.

Turut hadir sama, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, serta YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, yang memperkukuh lagi hala tuju perbincangan.

Perbincangan bukan sahaja meneliti pencapaian semasa, malah turut memberi penekanan terhadap perancangan strategik acara dan pembangunan sukan sebagai persediaan awal menghadapi temasya Sukan SEA Malaysia 2027.

MESYUARAT PERTINDIHAN ATLET SUKMA SELANGOR XXII 2026

Mesyuarat Pertindihan Atlet Sukan Malaysia XXII Selangor 2026 telah berlangsung pada di Casa 4, MSN dengan kehadiran seramai 50 wakil dari 14 negeri terlibat.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin, bagi membincangkan dan membuat keputusan terhadap kes pertindihan atlet yang didaftarkan oleh dua negeri.

Secara keseluruhan, sebanyak 124 kes pertindihan atlet melibatkan pelbagai negeri telah diteliti bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, adil dan berintegriti menjelang temasya SUKMA 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.

PROGRAM JELAJAH SAHUR BERSAMA TEAM JUARA

Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, seramai 33 atlet kebangsaan daripada pelbagai jenis sukan menyertai Program Jelajah Sahur Bersama Team Juara yang berlangsung pada awal pagi 17 Mac 2026.

Program anjuran Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) ini menghimpunkan wira dan wirawati negara daripada sukan Sepak Takraw, Angkat Berat, Tenpin Boling, Menembak, Olahraga serta atlet Para, yang secara sukarela turun padang menyantuni masyarakat.

Konvoi Team Juara mengunjungi empat pusat jagaan warga emas dan OKU sekitar Kajang, Semenyih dan Bangi, termasuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Pusat Jagaan Siti Nor Aini, serta Pusat Jagaan Orang Tua Darul Insyirah.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Encik Mohd Sofian Hamzah, bersama Pengarah Bahagian Atlet Encik Mohd Zaim Yusof, Ketua Sekretariat MACE Puan Nurehsan Hassan, serta Pemangku Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Encik Rozaki Zakaria.

Melalui pengagihan juadah sahur serta sumbangan kepada lebih 260 penghuni pusat jagaan, program ini membuktikan bahawa atlet negara bukan sahaja berjuang di arena sukan, tetapi turut berkongsi nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat Ramadan bersama masyarakat.

MAJLIS BERBUKA PUASA MSN 2026

Majlis Sukan Negara menganjurkan Majlis Berbuka Puasa MSN 2026 yang menghimpunkan warga sukan negara dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan sempena Ramadan.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, yang meluangkan masa bersama atlet, pegawai serta komuniti sukan negara bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga sukan.

Pada majlis yang sama, Ajinomoto Malaysia Berhad turut menaja sajian berbuka puasa sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan negara.

Majlis turut diserikan dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama Fraser & Neave Holdings Berhad, bersama Majlis Sukan Negara Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, dengan penyampaian sumbangan kepada bekas atlet negara bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; Timbalan Ketua Setiuasaha (Pengurusan) Kementerian Belia Dan Sukan, YBrs. Tuan Haji Abdullah Hassan; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Megat D Shahriman Dato’ Zaharuddin.

KUNJUNGAN HORMAT FRIENDS OF MINISTRY (FOM) KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN KE MY ATHLETE CENTRE, MSN

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) hari ini menerima kunjungan hormat seramai 13 orang Yang Berhormat ke My Athlete Centre yang bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan tersebut dihadiri oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan serta Ahli-Ahli Friends of Ministry (FOM) Sesi 2026 Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

My Athlete Centre yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia merupakan inisiatif KBS menerusi MSN sebagai hab kesejahteraan holistik yang menyokong kesihatan mental, kebajikan serta perancangan kerjaya atlet negara.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

MAJLIS PELANCARAN MyATHLETE CENTER DAN MoU BERSAMA MACE PARTNERS

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari telah merasmikan MyAthlete Center yang diadakan di Pavilion MSN Bukit Jalil.

Turut hadir, YBrs. Encik Amir Hamzah Awang Ghazali, Setiausaha Bahagian Pembangunan KBS dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

MyAthlete Center yang merupakan pertama seumpamanya di Malaysia adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara sebagai hab kesejahteraan holistik yang menyokong kesihatan mental, kebajikan serta perancangan kerjaya atlet.

Istimewanya, pusat ini dikendalikan oleh atlet sendiri secara sambilan — centre for athletes, by athletes.

Turut diumumkan pelantikan 16 bekas atlet kebangsaan sebagai jurucakap rasmi MACE, antaranya bekas jaguh badminton negara, Goh Liu Ying, bekas ratu gimrama, Farah Ann Abdul Hamid yang akan berperanan sebagai “duta kecil” dalam menyebarkan maklumat sahih sukan negara.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Majlis Sukan Negara bersama MACE Partners iaitu Bubbles O2, ZUS Coffee dan IKEA Malaysia (IKANO Retail) bagi membuka peluang kerjaya inklusif kepada atlet kebangsaan dan negeri.

Inisiatif ini bakal diperluas ke Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Kompleks Sukan MSN Nilai.