Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari dicalon Pemain Terbaik Wanita PSA

JAGUH skuasy negara, S Sivasangari adalah antara lima pemain wanita terbaik dunia yang dicalonkan bagi merebut gelaran Pemain Terbaik Wanita Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

PSA dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan ini diberi berdasarkan pencapaian sepanjang musim 2023/24 dalam beberapa kejohanan bertaraf platinum, emas, perak dan gangsa dengan antaranya Terbuka British, Terbuka Manchester dan QSF3 yang sedang berlangsung.

“Undian akan ditutup pada 27 Mei (Isnin) 11.59 malam. Pemenang akan diumumkan pada majlis makan malam Anugerah PSA diadakan di The Book Rotunda di Birmingham pada Sabtu, 8 Jun.

“Proses pengundian terbahagi kepada dua bahagian, menggabungkan undian oleh peminat skuasy di media sosial dan undian oleh Jawatankuasa Anugerah PSA – kumpulan terdiri daripada bekas pemain berpengaruh, ahli media, penganjur kejohanan dan wakil Lembaga PSA,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sesawang PSA di www.psaworldtour.com.

Selain Sivansangari, empat lagi pemain wanita yang turut dicalonkan ialah pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini, Nouran Gohar dan El Hammamy dari Mesir selain pemain Amerika Syarikat, Olivia Weaver.

Pemain berusia 25 tahun itu melonjak ke ranking ke-10 dunia dalam senarai terkini dikeluarkan Jelajah PSA Wanita pada Isnin susulan pencapaiannya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia Skuasy di Kaherah, Mesir, serta kecemerlangan dalam kejohanan London Classic bulan lepas, sekali gus menjadi pemain wanita ketiga negara menembusi senarai 10 pemain terbaik selepas Datuk Nicol David dan Low Wee Wern.-Sinar Harian

Perjuangan belum selesai

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara diingatkan supaya tidak dibuai mimpi indah susulan kejayaan merangkul dua kejuaraan awal pada saingan Piala Dunia 2024, malam tadi.

Sebaliknya, cabaran lebih besar menanti skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun apabila memulakan saingan dalam acara berpasukan yang dianggap ibu segala emas pada kejohanan berprestij itu.

Kapten skuad negara, Farhan Adam, berkata dia dan rakan sepasukan belum boleh meraikan kejayaan mengungguli acara double dan regu, sebaliknya perlu kekal fokus bagi menghadapi saingan berpasukan.

“Kami perlu tangguhkan dahulu untuk meraikan kejayaan malam ini. Perjuangan kami masih belum selesai kerana ada acara berpasukan yang juga acara utama dalam kejohanan kali ini.

“Namun, kemenangan malam ini sudah pastinya meningkatkan keyakinan dan motivasi kami untuk menghadapi acara berpasukan,” katanya.

Malaysia akan membuka tirai saingan acara berpasukan menentang Brunei pada aksi pertama Kumpulan C, petang esok.

Terdahulu, skuad negara mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan Thailand untuk menjuarai acara double dan regu.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin cemerlang apabila mengatasi Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 pada aksi final acara double.

Malaysia kemudiannya meraih gelaran berganda selepas turut menjuarai acara regu yang dibarisi Farhan, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam).

Skuad negara mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.

Bagi acara double ia adalah kejuaraan pertama Malaysia dalam mana-mana kejohanan manakala kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand dalam acara regu ketika Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

“Ini adalah satu kenangan manis dalam kerjaya saya apatah lagi kali ini beraksi di laman sendiri.

“Ini adalah detik yang sukar untuk dapat apabila kita menang dengan menewaskan Thailand. Ini membuktikan yang kita sememangnya boleh menewaskan Thailand,” kata Farhan yang sudah 17 tahun bersama skuad kebangsaan.-Berita Harian

Hoki dalam dewan menang tipis atasi Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mengesahkan slot klasifikasi pertama hingga keempat Piala Asia selepas mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Taldykorgan, Kazakhstan sebentar tadi.

Menurut ketua jurulatih, Rodzhanizam Mat Radzi, mereka sekali lagi mencatatkan kemenangan penting selepas anak buahnya memberikan persembahan terbaik.

“Segala perancangan diikuti dengan baik oleh pemain. Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh mereka semua. Keinginan untuk menang begitu tinggi, pujian harus diberikan kepada setiap pemain.

“Walaupun masih lagi ada kesilapan yang mudah dilakukan oleh pemain, mereka bangkit untuk menutupnya. Tahniah kepada semua pemain bermain mengikut perancangan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan,” katanya.

Ketua pasukan, Najmi Farizal Jazlan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan 29.

Bagaimanapun, gol kemenangan berjaya dihasilkan Faridzul Afiq hasil gol padang di minit ke-35.

Turut mencetak nama sebagai penjaring buat skuad negara ialah Firdaus Omar (m-9) dan Aslam Mohamed Hanafiah (m-20).

Gol Indonesia disumbangkan Muhamad Alfiana pada minit ke-31 dan 32, manakala dua gol lagi disumbangkan Revo Priliandro (m-24) dan Adi Leksono (m-37).

Kejayaan Malaysia turut dibantu dengan mencatat keputusan seri 3-3 ketika berdepan tuan rumah, pada aksi lebih awal hari ini.

Keputusan berkenaan dibantu dua jaringan pukulan sudut penalti hujung saingan menerusi Najmi Farizal.

Kazakhstan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan padang Tashkeyev Yermek pada minit kedua sebelum Faridzul menyamakan kedudukan pada minit ke-15 melalui pukulan sudut penalti.

Dua minit kemudian Yermek kembali meletakkan tuan rumah di depan hasil pukulan sudut penalti, sebelum Duisengazy Agymtay meletakkan mereka di depan berpunca daripada gol padang di minit ke-34.

Selain Malaysia, Iran dan Thailand turut layak ke klasifikasi pertama hingga keempat ialah tuan rumah Kazakhstan dengan keempat-empat pasukan memburu dua tempat teratas untuk mara ke final sekali gus layak ke Piala Dunia 2025.-Berita Harian

Malaysia juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa menjadi saksi kejayaan luar biasa skuad sepak takraw negara apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024, sebentar tadi.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 15-8 di set pertama.

Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad  Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. – NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 15-12 di set kedua.

Sebagai rekod, kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.

Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011. -Berita Harian

Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Aaron-Wooi Yik tepati ramalan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, pasangan nombor empat dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan gandingan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-18, 22-20 pada pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.

Wooi Yik mengakui, mereka melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan itu, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan lawan mendapat kelebihan sebelum mencatat kemenangan 21-18.

“Bagi saya, mereka tidak banyak memberikan tekanan kepada kami, cuma kesilapan sendiri yang menyebabkan kami berada dalam keadaan tertekan. Saya juga fikir kami tidak bermain baik hari ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Aaron berkata tekanan yang dihadapi ketika berada dalam situasi mata penting mampu menjadi latihan terbaik untuk mereka menguatkan mental menjelang perlawanan seterusnya.

“Berdepan situasi genting seperti ini sebenarnya sangat baik untuk kita. Apabila ia sentiasa berlaku, sudah tentu keadaan itu akan menjadi kebiasaan, jadi sudah tidak tertekan lagi,” katanya.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.-Berita Harian

Azizulhasni, Nurul Izzah dominasi acara keirin

NILAI: Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri, menunjukkan status mereka apabila masing-masing mendominasi acara keirin kategori elit Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024.

Kedua-duanya tampak tidak perlu mengerah kudrat mereka untuk meraih pingat emas di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.

Biarpun diberikan tentangan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sharom, namun The Pocketrocketman unggul di depan dengan menamatkan saingan penuh bergaya selepas mencatat masa 10.395 saat (s).

“Tampak ada saingan sengit daripada rakan lain termasuk rakan sepasukan dari Terengganu, Harif Salleh, tapi saya anggap itu sesuatu yang positif dalam persiapan untuk ke Olimpik Paris.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Saya perlu kekalkan momentum baik dengan meraih kemenangan kerana ia penting sebagai sandaran untuk beraksi di Paris nanti,” kata Azizulhasni selepas menerima hadiah.

Shah Firdaus dan adiknya, Muhammad Ridwan Sharom yang mewakili Johor masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati muncul juara keseluruhan acara keirin akhir wanita elit apabila mencatat kemenangan dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Pelumba kebangsaan dari Kedah itu mencatat masa 11.449s pada final untuk meraih pingat emas sekali gus mengenepikan pencabar terdekar, Yong Ann Tung dari Selangor A yang meraih pingat perak dan Nurul Aliana Shafika Azizan (Pulau Pinang) yang meraih gangsa.

Nurul Izzah menganggap masa yang dicatatkannya itu bukan sasaran sebenar kerana misinya adalah untuk mencatat masa di bawah 11.0s.

“Bagaimanapun ia tetap baik sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran lebih besar di Olimpik, Julai depan.

“Saya harap dapat melakukan catatan lebih baik pada acara kejar mengejar, esok,” kata pelumba bertubuh kecil berusia 21 tahun itu.-Berita Harian

Zii Jia lega lepasi pusingan pertama Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui lega selepas berjaya mengelak daripada tewas di pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Pemain ranking ke-10 dunia itu mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi wakil China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 21-14 pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu, Zii Jia, berkata dia tidak rela kecundang sekali lagi pada pusingan awal di laman sendiri.

Katanya, kejayaan di Bangkok banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan dan semangatnya.

“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan hari ini biarpun saya tewas di set pertama. Jun Peng adalah lawan yang sukar dan pernah menewaskan saya sebelum ini, sudah tentu saya gembira dapat menewaskannya.

“Seperti yang saya katakan, keyakinan yang ditemui di Thailand sangat membantu saya mengatasi kekecewaan tewas di pusingan pertama.

“Secara jujurnya, saya terfikir takkanlah kalah di pusingan pertama lagi. Saya gembira saya dapat menampilkan persembahan terbaik saya di set kedua dan ketiga untuk memenangi perlawanan,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.

Zii Jia yang tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam kejohanan itu sejak mara ke separuh akhir pada edisi 2020 akan bertemu pemain India, Kiran George bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

“Kiran adalah pemain yang sedang meningkat naik. Saya perlu berwaspada dengan pemain sepertinya yang tidak ada sebarang tekanan, tidak gentar dan akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan.

“Ini adalah cabaran yang perlu saya harungi. Saya harap boleh kekalkan momentum,” katanya.-Berita Harian

Jonah sasar gelaran Olahragawan SUKMA

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengintai peluang untuk menjadi atlet olahraga pertama Sarawak dinobatkan sebagai Olahragawan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri kelahirannya dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Masih segar dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali di Terbuka Pahang, Sabtu lalu, Jonah menetapkan sasaran untuk meraih tiga pingat emas di SUKMA tahun ini bagi meningkatkan peluangnya merangkul gelaran Olahragawan.

Katanya, dia menyasarkan emas dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.

“Tidak pernah atlet dari disiplin balingan merangkul tiga emas. Satu lagi saya mahu jadi atlet olahraga yang memenangi Olahragawan walaupun ia sukar dengan tentangan atlet terjun, renang, kayak dan boling.

“Bukan senang atlet olahraga untuk menjadi Olahragawan tetapi saya cuba untuk mencipta sejarah dengan memburu tiga emas dan mencatatkan dua rekod,” katanya yang mencatat rekod baharu kebangsaan 18.46 meter (m) mengatasi catatan lama 17.06m.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi atlet pertama Malaysia yang berjaya melepasi jarak 18m.

Pada edisi terakhir di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Jonah meraih emas bagi acara lontar peluru manakala perak bagi lempar cakera dan baling tukul besi.

Bagaimanapun, Jonah tetap berwaspada dengan kemampuan atlet remaja pada edisi kali ini yang dijangka memberi tentangan sengit kepada dirinya.

“Atlet remaja juga mampu membuat balingan jauh namun saya perlu melakukannya kerana ini adalah SUKMA terakhir dan perlu mendapatkannya (tiga emas) tahun ini,” katanya.-Berita Harian

Nur Aisyah teruja berlatih di Belgium

NILAI: Pelumba berbasikal wanita lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui sudah bersedia untuk memulakan fasa terakhir persiapannya dengan menjalani latihan di Belgium bagi menghadapi saingan di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata, dia sangat teruja untuk menjalani latihan di Belgium bermula minggu depan, yang diharapkan akan mampu membantunya meningkatkan lagi tahap prestasi sebelum bersaing di Olimpik.

“Tak sabar rasanya untuk memulakan latihan di Belgium kerana ia kali pertama, selama ini hanya lihat di televisyen dan sebelum ini saya hanya berlatih atau berlumba di negara-negara Asia atau Asean seperti Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain.

“Untuk itu, saya amat mengharapkan latihan di Belgium kerana nak rasa suasana latihan dan juga perlumbaan di sana, di sana banyak guna kekuatan yang tinggi, jadi saya perlukan suasana sebegitu untuk bantu tingkatkan prestasi.

“Saya perlu dapatkan beberapa elemen lain yang boleh membantu dalam perlumbaan seperti soal ketahanan, kelajuan, teknik perlumbaan dan tempoh kerana saya perlu buktikan tahap kemampuan sebenar sebelum bersaing di Paris nanti,” katanya di Velodrom Nasional, di sini.

Nur Aisyah tampil mewakili Terengganu dalam Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Velodrom Nasional, bermula hari ini hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata persiapan latihannya setakat ini berjalan lancar selepas menerima basikal baharu sumbangan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Cheah Ing Shern serta kelengkapan baharu lain daripada Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Nur Aisyah dijadual berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan terakhir sebelum temasya Paris 2024 membuka tirainya secara rasmi 26 Julai nanti dengan pelumba berusia 27 tahun itu turut dijadual akan menyertai kira-kira 20 kejohanan pemanas badan di Eropah.-Berita Harian

Korea Selatan mahu cipta kejutan ke atas Malaysia

KUALA LUMPUR: Korea Selatan melaungkan amaran awal menjelang aksi peringkat suku akhir acara double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang hampir pasti bertemu Malaysia di Stadium Titiwangsa, di sini, esok.

Pemain Korea Selatan, Shin Hee Seop secara peribadi percaya Malaysia yang dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Brunei untuk muncul juara Kumpulan A malam ini, boleh ditewaskan walaupun akan bermain di belakang sorakan padu penyokong tuan rumah.

Menurut beliau yang kali pertama mewakili negara beraksi di pentas kejohanan antarabangsa, ia kerana faktor semangat berlawan yang tinggi dalam diri setiap pemain Korea Selatan.

“Saya mahu menang perlawanan menentang Malaysia…saya fikir kita boleh melakukan kerana pemain Korea sentiasa berjuang.

“Walupun tewas kepada Thailand pada aksi pertama, kami bangkit semula untuk menewaskan Soingapura…momentuum ini cukup bagus untuk kami,”katanya dalam Bahasa Korea yang diterjemahkan oleh jurubahasa pasukan ketika ditemui selepas aksi terakhir Kumpulan D menentang Singapura di sini, hari ini.

Pada perlawanan itu, Korea Selatan diperkuat gandingan Kim Youngcheol, Heeseop dan Park Chelolhee berjaya merakam kemenangan 15-12, 15-10 ke atas Singapura yang diwakili Muhammad Khairilshamy Shamsudin, Zaihirrman Zaharudin dan Muhammad Shameer Hamsah.

Kejayaan itu membolehkan Korea Selatan muncul naib juara Kumpulan D di belakang juara bertahan Thailand dan akan membuat perhitungan menentang Malaysia sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A dengan menumpaskan Brunei malam ini.

Malaysia membuka kempen saingan acara double divisyen premier dengan bergaya selepas menumpaskan Jepun 2-0 (15-9, 15-3) pada aksi pertama Kumpulan A semalam manakala Brunei tewas di tangan Jepun 0-2 (13-15, 10-15), Sabtu lepas. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia