Jonah sasar gelaran Olahragawan SUKMA

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengintai peluang untuk menjadi atlet olahraga pertama Sarawak dinobatkan sebagai Olahragawan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri kelahirannya dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Masih segar dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali di Terbuka Pahang, Sabtu lalu, Jonah menetapkan sasaran untuk meraih tiga pingat emas di SUKMA tahun ini bagi meningkatkan peluangnya merangkul gelaran Olahragawan.

Katanya, dia menyasarkan emas dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.

“Tidak pernah atlet dari disiplin balingan merangkul tiga emas. Satu lagi saya mahu jadi atlet olahraga yang memenangi Olahragawan walaupun ia sukar dengan tentangan atlet terjun, renang, kayak dan boling.

“Bukan senang atlet olahraga untuk menjadi Olahragawan tetapi saya cuba untuk mencipta sejarah dengan memburu tiga emas dan mencatatkan dua rekod,” katanya yang mencatat rekod baharu kebangsaan 18.46 meter (m) mengatasi catatan lama 17.06m.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi atlet pertama Malaysia yang berjaya melepasi jarak 18m.

Pada edisi terakhir di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Jonah meraih emas bagi acara lontar peluru manakala perak bagi lempar cakera dan baling tukul besi.

Bagaimanapun, Jonah tetap berwaspada dengan kemampuan atlet remaja pada edisi kali ini yang dijangka memberi tentangan sengit kepada dirinya.

“Atlet remaja juga mampu membuat balingan jauh namun saya perlu melakukannya kerana ini adalah SUKMA terakhir dan perlu mendapatkannya (tiga emas) tahun ini,” katanya.-Berita Harian