Malaysia juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa menjadi saksi kejayaan luar biasa skuad sepak takraw negara apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024, sebentar tadi.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 15-8 di set pertama.

Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad  Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. – NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 15-12 di set kedua.

Sebagai rekod, kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.

Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011. -Berita Harian