Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Izzah sasar empat pingat ATC

Seremban: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sudah sedia memulakan cabaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025, yang akan membuka tirainya di Velodrom Nasional, Nilai, Sabtu ini.

Selepas dinobatkan selaku juara acara pecut pada Siri Satu Piala Presiden 2025, bulan lalu, pelumba berusia 22 tahun itu sudah menetapkan sasaran peribadi sendiri dalam penyertaan keempatnya di kejohanan berprestij itu sejak 2022.

“Saya akan mengambil bahagian dalam empat acara pada ATC kali ini dan mahukan pingat dalam kesemua acara berkenaan. Walaupun cabaran dalam setiap perlumbaan berbeza dan sukar dijangka, namun saya mahukan kejohanan edisi kali ini medan untuk mencipta kecemerlangan.

“Kejayaan meraih dua emas pada edisi lalu di New Delhi, akan saya jadikan azimat bagi meneruskan momentum kecemerlangan apa lagi ia beraksi di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia turut memaklumkan persiapannya sudah mencecah 100 peratus dari segi fizikal dan mental dan kini fokus diberikan hanya untuk perlumbaan.

Untuk rekod, pelumba berasal dari Kedah itu mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas dalam acara keirin dan 500 meter ujian masa di ATC 2024 di New Delhi, India.

ISSF hanya iktiraf rekod dunia kejohanan sendiri

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) hanya mengiktiraf rekod dunia dalam kejohanan yang dikendalikan oleh badan induk itu.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata, ISSF sudah memberikan penjelasan mengenai perkara itu dan kebanyakan penganjur memahami situasi itu.

Beliau berkata, kejohanan yang dianjurkan di rantau Asia mahupun di mana-mana tempat, mereka tetap mengikut segala peraturan ditetapkan ISSF cuma bezanya dikendalikan oleh pihak tuan rumah itu.

“Contohnya Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, kita mengikut undang-undang ISSF tapi tidak dikendalikan oleh badan induk itu sebaliknya dibantu oleh Konfederasi Menembak Asia.

“Jadi mereka bekerjasama untuk menjalankan kejohanan itu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak ISSF. Contohnya seperti Kejohanan Dunia dan Piala Dunia, itu memang sepenuhnya dikendalikan oleh ISSF dan siapa buat rekod di situ, akan diakui,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, kekangan bajet menjadi faktor utama kenapa kebanyakan penganjur tidak melantik wakil ISSF untuk mengendalikan kejohanan itu.

Katanya, untuk memanggil mereka dan kendalikan kejohanan itu, ia memerlukan sumber kewangan besar selain terdapat beberapa peraturan lain yang mesti diikuti oleh pihak penganjur.

Terdahulu, Jasni Shaari menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF untuk mengiktiraf pencapaian penembak negara, Alia Sazana Azahari sebagai rekod dunia.

Pada Ahad lalu, penembak berpengalaman itu berjaya memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok.

Dalam aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 sasaran sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Malah pencapaian itu mengatasi rekod dunia rasmi milik atlet Korea Selatan, Kim Ye-ji dengan 42 hit yang dilakukan di Piala Dunia ISSF 2024.

Isaac, Esther sandaran Malaysia

Kuala Lumpur: Dua atlet triatlon terbaik negara, Isaac Tan dan Esther Joy Chen bakal menjadi sandaran Malaysia dalam saingan Piala Asia Triatlon (ATC) Putrajaya yang kembali untuk edisi kedua di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan tiga atlet Olimpik Paris 2024, Max Struder dari Switzerland, Jason Ng (Hong Kong) dan Barbaros Riveros (Chile), sekali gus menjanjikan persaingan sengit.

Perlumbaan kali ini membabitkan jarak pecut dengan gabungan renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian 5 kilometer.

Antara nama besar dalam kelompok 10 terbaik Asia yang turut bertanding adalah Robin Elg dari Hong Kong (No 8) dan wakil Jepun, Kyotaro Yoshikawa (No 10), kedua-duanya antara pencabar utama gelaran lelaki.

Bagi kategori wanita, saingan dijangka dikuasai bintang Asia seperti Bailee Brown dari Hong Kong (No 3), Sato Yoshiko (No 9) dari Jepun dan Jeong Hye-rim (No 10) dari Korea Selatan.

Turut menjadi perhatian adalah atlet Indonesia, Martina Ayu Pratiwi, yang menjuarai pusingan pembukaan musim ATC di Chennai minggu lalu.

Dalam kategori lelaki, atlet berpengalaman Riki Shinozuka, pemenang pingat perak Sukan Sea Singapura 2015 serta bintang muda Yap Qi Yi, bakal memberi tentangan hebat.

Manakala dalam kategori wanita, Esther akan disertai kakaknya, Sara Joy, bersama Teo Sze Hui dan Ng Wen May, yang mahu membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Selain mencabar kehebatan atlet luar, pertarungan sesama atlet tempatan dijangka sengit kerana ATC Putrajaya turut diiktiraf sebagai Kejohanan Kebangsaan serta salah satu acara pemilihan ke Sukan Sea Thailand 2025 pada Disember nanti.

Presiden Malaysia Triathlon, Tony Tan berkata, kejohanan itu kini memasuki tahun kedua dan mendapat sokongan penuh daripada badan induk antarabangsa.

“ATC Putrajaya 2025 adalah perlumbaan pertama di Asia Tenggara tahun ini dan sangat penting kerana ia juga menjadi medan pemilihan ke Sukan Sea Thailand serta Sukan Belia Asia.

“Banyak negara, termasuk Malaysia, menggunakan acara ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan dan kelayakan atlet mereka. Oleh itu, perlumbaan ini juga berfungsi sebagai Kejohanan Kebangsaan,” katanya.

Duduki ranking ke-7 dunia lonjak semangat Sivasangari

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus membuktikan dirinya antara pemain terbaik negara dan layak menjadi sandaran utama di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) apabila kini berada di ranking ketujuh dunia.

Bagi Sivasangari, pencapaian itu tidak hadir dengan mudah dan dia akan terus meningkatkan lagi usaha bagi memastikan prestasinya benar-benar berada di tahap terbaik sekali gus terus memburu kedudukan tertinggi dunia.

“Saya gembira dapat mencapai kedudukan ranking tertinggi setakat ini dengan segala usaha keras yang dilakukan selama ini membuahkan hasil. Saya berharap, selepas ini dapat terus meningkatkan ranking lagi dan melakukan yang lebih terbaik,” katanya.

Untuk makluman, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya meraih gelaran pertama tahun ini selepas muncul juara Piala Cincinnati Gaynor di Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini.

Melihat prestasi semasa atlet berusia 25 tahun itu, dia mempunyai peluang cerah untuk mengikuti jejak bekas pemain skuasy negara, Datuk Nicol David dan Low Wee Wern dalam memburu gelaran lebih banyak termasuk menduduki ranking tertinggi dunia.

Selepas ini, Sivasangari akan menyertai Terbuka New Zealand dan Terbuka Australia bulan hadapan dalam usaha memburu gelaran kedua kejohanan musim ini.

TEMUBUAL MACE BAGI HARI WANITA SEDUNIA 2025

Peranan Sekretariat Pendidikan dan Kerjaya Atlet Malaysia (MACE), Majlis Sukan Negara untuk memperkasakan atlet terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Ketua Sekretariat MACE, Datuk Shalin Zulkifli, telah dipilih untuk sesi temubual eksklusif oleh sebuah jenama pakaian tempatan, MS Read, sebagai sebahagian daripada siri temubual Istimewa dengan beberapa ikon sukan wanita negara.

Datuk Shalin telah menggunakan platform berkenaan untuk mempertingkatkan pendedahan mengenai peranan MACE, sebagai sebuah badan yang menjaga kebajikan atlet semasa aktif selain menyediakan bantuan perancangan daripada segi pendidikan dan kerjaya apabila meninggalkan bidang sukan nanti.

MAJLIS PERASMIAN THE MUSLIM WORLD WOMEN’S SUMMIT: VOICE OF H.E.R FESTIVAL DAN ANUGERAH IBU ZAIN 2025

Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur menjadi saksi penghormatan kepada wanita luar biasa dalam Voice of H.E.R Festival 2025, sebuah inisiatif memperkasa peranan wanita di peringkat nasional dan global.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai Tetamu Kehormat.

Sebanyak 13 anugerah telah diberikan, termasuk pengiktirafan kepada atlet dan bekas atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia:

– Anugerah Voice For HER – YBhg. Datuk Nicol Ann David

– Anugerah Wanita Kesukanan – YBhg. Dato’ Pandelela Rinong Pamg

– Anugerah Wanita Istimewa – Puan Siow Lee Chan

Tahniah kepada semua penerima anugerah!

Wei Chong-Kai Wun temui cara atasi beregu handalan

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melaungkan keyakinan untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap aksi ketika bertemu pasangan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Jelas Kai Wun, mereka semakin yakin meraih kemenangan selepas beberapa kali bertemu dan dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pihak lawan.

“Setiap pemain dalam ranking 10 dunia, mereka ada mentaliti yang baik. Sekarang kami sudah belajar sesuatu serta sudah tahu taktik dan cara untuk mengawal keadaan ketika bertemu lawan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Dia juga memaklumkan mereka kini giat berlatih untuk menghadapi beberapa kejohanan termasuk kejohanan penting iaitu Seluruh England bulan depan.

“Sekarang kita baru balik dari China dan baru mula latihan. Kita akan terus berlatih sebelum ke kejohanan seterusnya dan yang penting (jaga) kesihatan selain kita mahu kekalkan perkara positif dalam permainan.

“Kita harap di setiap kejohanan boleh dapat keputusan yang bagus. Kalau tak bagus pun, kita kena terima juga. Kita berikan yang terbaik untuk setiap perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun berada di prestasi terbaik selepas berjaya muncul juara di Masters Indonesia termasuk mencatat kemenangan bersih di  Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC).

LAWATAN YBRS. KETUA PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGARA KE KOMPLEKS KECEMERLANGAN SUKAN PARALIMPIK KAMPUNG PANDAN, KUALA LUMPUR

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Abdul Rashid Yaakub telah meluangkan masa melawat Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2025.

Turut serta dalam lawatan tersebut termasuklah Pengarah Fasiliti Sukan, En. Mohd Raizal Muhamat Yaakop, dan Ketua Cawangan Kebajikan, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE), Cik Punitha Thiagarajah.

Lawatan ini bertujuan mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk dijadikan Athlete Center untuk atlet-atlet yang menginap dan berlatih di kompleks ini.

Athlete Center akan menyediakan ruang yang selesa dan kondusif untuk atlet berehat dan bersosial. Antara kemudahan yang akan disediakan adalah ruang rehat dengan sofa, bean bag dan kerusi malas, internet,kemudahan belajar, bilik kaunseling, karaoke, televisyen, mini games serta makanan dan minuman ringan.

Rekod Asia Alia tak diiktiraf rekod dunia

Kuala Lumpur: Rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang dicipta penembak berpengalaman negara Alia Sazana Azahari di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini, tidak akan dikira sebagai rekod dunia.

Perkara itu disahkan Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari, yang menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia.

Beliau berkata persatuan itu sudah sedia maklum bahawa sebarang rekod dunia yang dicipta di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 itu tidak akan dikira kerana kejohanan berkenaan tidak diiktiraf oleh ISSF.

“Sama seperti kejohanan menembak kebangsaan, kalau kita pecah rekod Olimpik di kejohanan kebangsaan, rekod itu tidak akan dikira sebagai rekod Olimpik. Bagi Alia walaupun rekodnya melebihi rekod dunia ia tetap tidak akan dikira kerana kejohanan Asia tidak diiktiraf oleh ISSF.

“(Persatuan) tak boleh (membuat rayuan), sebab peraturannya sudah memang begitu, buat sementara ini rekod Asia sahajalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alia Sazana memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada kejohanan tersebut Ahad lepas.

Pada pusingan final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Pingat perak menjadi milik penembak Korea Selatan, Lee Siyoon dengan catatan 32 hit manakala Teh Xiu Yi dari Singapura mencatatkan 28 hit untuk memenangi pingat gangsa.

Lebih mengagumkan, pencapaian Alia Sazana turut mengatasi rekod dunia semasa iaitu 42 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Kim Ye-ji pada Kejohanan Dunia di Baku tahun lepas.

Ini emas kedua Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mendominasi acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata Khamis lepas.

Kejohanan yang bermula 9 Feb lepas akan berlangsung hingga 22 Feb ini.

Shah sertai dua acara di ACC

Kuala Lumpur: Meskipun mengalami kecederaan lutut, pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom tetap menunjukkan semangat juang tinggi apabila bakal tampil dalam dua acara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri memaklumkan, selepas mengadakan perbincangan bersama pengarah teknikal program berbasikal negara, John Beasley, mereka memutuskan agar Shah Firdaus tetap turun dan berlumba pada kejohanan ACC kali ini.

Jelasnya, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kedudukan ranking dunianya kekal tinggi, sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk layak ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, pada Oktober ini.

“Shah mengalami kecederaan di lutut sejak dua minggu lalu. Kami sudah melakukan imbasan MRI pada Jumaat lalu. Namun, dia tidak memerlukan sebarang suntikan untuk berlumba.

“Kami memutuskan untuk menurunkannya dalam acara pecut individu dan keirin di ACC. Dia kini berada di kedudukan ke-10 ranking dunia dan matlamat kami untuk mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik.

“Sasaran untuk Shah sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik bagi acara pecut individu dan, jika boleh, mara ke final acara keirin untuk mengutip mata ranking yang baik.

“Dia masih boleh berlumba, tetapi dalam keadaan sakit. Berkemungkinan dia perlu mengambil ubat tahan sakit ketika berlumba. Namun, dia sudah menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu berlumba,” katanya.

Untuk makluman, kejohanan peringkat benua seperti ACC menawarkan mata ranking UCI yang tinggi, menjadikannya rebutan setiap pelumba bagi mendapatkan kedudukan terbaik.

Dengan keadaan Shah yang kurang baik ketika ini, Harnizam menetapkan sasaran lebih jelas iaitu tiga pingat tanpa warna untuk skuad negara menerusi keirin wanita serta acara pecut berpasukan lelaki dan wanita.