Majlis Sukan Negara Malaysia
Terjunan ketiga, keempat lebur impian podium Dhabitah

KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan saingan 3 meter (m) papan anjal wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan ke-12 selepas mengutip 244.80 mata keseluruhan.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Olimpik, Saint-Denis sebentar tadi, atlet berusia 25 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila mencatat 63.00 mata menerusi terjunan pertama.

Selepas menamatkan terjunan pertama di tempat ketiga, dia meneruskan aksi cemerlang itu pada terjunan kedua dengan mengutip 60.00 mata bagi mencabar kedudukan kelompok tiga teratas.

Bagaimanapun, harapan untuk mendapatkan kedudukan podium lebur apabila sedikit kesilapan menyebabkan Dhabitah sekadar mencatat 37.50 mata pada terjunan ketiga, sekali gus mengakibatkan kedudukannya terperosok ke tempat ke-11.

Hasrat pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu untuk memperbaiki kedudukan pada terjunan keempat juga menemui jalan buntu apabila dia mengutip 28.50 mata, sekali gus jatuh ke kedudukan tercorot daripada 12 peserta.

Terjunan kelima dan terakhir menyaksikan Dhabitah memperbaiki prestasi apabila mengutip 55.80 mata, namun ia tidak membawa sebarang makna apabila kedudukannya kekal di tempat ke-12.

Sementara itu, pingat emas menjadi milik juara dunia dari China, Chen Yiwen yang mengutip 376.00 mata keseluruhan, diikuti penerjun Australia, Maddison Keeney (343.10 mata) dengan perak manakala gangsa menjadi milik Chang Yani (318.75 mata) juga dari China.

Biarpun tidak dapat membawa pulang sebarang pingat, namun pencapaian mara ke pentas final boleh dianggap membanggakan memandangkan Dhabitah mara ke Olimpik Paris pada saat akhir selepas mendapat tiket wildcard.

Sebagai rekod, pencapaiannya pada edisi kali ini boleh dianggap menurun jika dibandingkan ketika dia menamatkan saingan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan keempat dengan 326.15 mata keseluruhan. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Pecutan Izzah tersekat di pusingan repechage 1/32

KUALA LUMPUR – Impian bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri untuk mara lebih jauh pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila terkandas dalam acara pecut pusingan repechage 1/32 sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome tersebut, pelumba berusia 20 tahun itu memberikan aksi bertenaga tetapi sayang henjutan terakhirnya gagal untuk memintas Lauriane Genest dari Kanada yang mengungguli perlumbaan untuk mara ke pusingan 1/16.

CUBAAN Nurul Izzah untuk mengejar pelumba Kanada, Lauriane Genest di Sukan Olimpik Paris 2024.-Foto: MOM

Biarpun Nurul Izzah berjaya memintas pelumba Jepun, Riyu Ohta pada pusingan repechage 1/32 tersebut, bagaimanapun hanya seorang sahaja yang layak ke pusingan 1/16.

Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah itu apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri pada pusingan kelayakan acara pecut dengan catatan masa 10.709 saat.

Catatan terbaik itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu dengan catatan 10.903s.

GAMBAR ‘photo finish’ antara pelumba negara, Nurul Izzah dan pelumba Kanada, Lauriane Genest.

Catatan terbaik itu membolehkan Nurul Izzah berada dalam kelompok 24 pelumba terbaik untuk mara ke pusingan 1/32 tertapi sayang dia gagal untuk menandingi kehebatan pelumba  sensasi Jerman, Lea Friedrich dan menyertai pusingan repechage. -KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Bertrand terkandas di pusingan kelayakan

PETALING JAYA – Harapan penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises untuk mara ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform di Sukan Olimpik Paris terkandas apabila hanya menduduki tempat ke-25 dalam pusingan kelayakan yang berlangsung di Pusat Akuatik Saint-Denis sebentar tadi.

Atlet berusia 19 tahun itu, memulakan aksi dengan baik selepas mencatat 66.00 dan 60.80 mata untuk terjunan pertama dan kedua, masing-masing pada darjah kesukaran 3.0 dan 3.2.

Bagaimanapun, Rhodict gagal mengekalkan momentum terjunan apabila mata kutipannya semakin merosot dalam terjunan ketiga hingga kelima dengan catatan mata hanya 49.50, 34.00, dan 37.80.

Meskipun, terjunan terakhir Rhodict kembali stabil dengan kutipan 65.60 mata, tetapi ia tidak cukup untuk melayakkannya berada dalam kelompok 18 terbaik.

Secara keseluruhan, Rhodict mengumpul 313.70 mata, jauh ketinggalan berbanding penerjun China, Cao Yuan yang mengungguli acara dengan 500.15 mata.

Sementara itu, Tamai Rikuto dari Jepun menduduki tempat kedua dengan 497.15 mata, diikuti penerjun Kanada, Weins Rylan yang berada di kedudukan ketiga dengan 485.25 mata.

Seterusnya, separuh akhir 10m platform lelaki dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang esok, diikuti dengan pusingan akhir pada jam 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Dua terjunan awal penting buat Dhabitah

PENGARAH teknikal kem terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui bahawa aksi final acara 3 meter (m) papan anjal Sukan Olimpik Paris amat sengit dengan kehadiran penerjun-penerjun terbaik dunia yang layak ke pusingan itu.

Pada pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Paris malam ini bakal menyaksikan penerjun negara akan disaingi 11 penerjun lain termasuk dua wakil China, Chen Yiwen dan Chang Yani yang sering mempersembahkan terjunan memukau.

“Final malam ini akan menjadi satu persaingan yang amat mencabar. Kami berharap Dhabitah dapat mempamerkan terjunan terbaik, terutamanya dalam terjunan pertama dan kedua untuk mengutip mata sebanyak mungkin,” kata Bryan.

Bryan yang dihubungi Kosmo! turut menyatakan bahawa pencapaian Dhabitah untuk melepasi 300 mata akan menjadi satu pencapaian yang besar, namun beliau turut mengakui bahawa ia adalah satu sasaran yang sukar, berdasarkan simulasi dan latihan yang dijalankan sebelum ini.

“Jika Dhabitah berjaya mengumpul lebih dari 300 mata, itu sudah pasti satu pencapaian luar biasa. Tetapi, jika dia mampu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, itu pun sudah cukup membanggakan. Segala yang lebih daripada itu adalah satu bonus buatnya,” tambah Bryan.

Meskipun harapan besar diletakkan pada bahu Dhabitah, Bryan menekankan bahawa barisan kejurulatihan dan kem terjun negara tidak mahu memberi tekanan yang berlebihan kepada penerjun muda itu. 

“Fokus utama adalah untuk memastikan Dhabitah mampu mengekalkan konsentrasi dan memberikan aksi yang terbaik tanpa terbeban dengan jangkaan,” jelas bekas Olympian itu. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Aksi atlet Malaysia hari ini Jumaat 9 Ogos

PARIS – Berikut jadual atlet Malaysia yang berjuang pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Jumaat. Semua acara dalam waktu Malaysia.

GOLF (Le Golf National)

Individu wanita
Pusingan 3: Ashley Lau – 3.55 petang

TERJUN (Aquatics Centre)

10 meter (m) platform lelaki
Pusingan awal: Bertrand Rhodict Lises – 4 petang

3m papan anjal wanita
Final: Nur Dhabitah Sabri – 9 malam

BERBASIKAL TREK (Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome)

Pecut Wanita
Kelayakan: Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – 8 malam

Pusingan 1/32 – 8.48 malam    (jika layak)
Pusingan repechage 1/32 – 9.38 malam
Pusingan 1/16 – 1.10 tengah malam (Sabtu)
Pusingan repechage 1/16: Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – 1.58 pagi (Sabtu). -KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Pecut bukan fokus Azizulhasni

KEM berbasikal trek negara hanya menjadikan aksi pecut sebagai pemanas badan terutama buat kedua pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang memberi tumpuan kepada acara keirin yang bermula malam esok.

Jika diikutkan keputusan yang dicapai dalam acara pecut Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines awal pagi semalam seakan-akan sama seperti Olimpik Tokyo tiga tahun lalu di mana ‘The Pocket Roketman’ terkandas di repechages 1/8.

Ketika aksi tersebut, pelumba berusia 36 tahun itu tewas kepada pelumba No. 1 Poland, Mateusz Rudyk dan dilihat tidak memberikan 100 peratus tenaga untuk memberi tumpuan kepada acara kegemarannya iaitu keirin.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek, John Beasley berkata, acara pecut adalah aksi pemanas badan buat pelumba sebelum memberi tumpuan untuk membawa pulang pingat emas dalam acara keirin nanti.

“Fokus kami tidak pernah diberikan dalam acara pecut kerana ia sentiasa akan menjadi acara pemanas badan untuk keirin di mana kami menetapkan beberapa penanda aras untuk dicapai supaya kami tahu kami mempunyai kelajuan untuk memenangi keirin.

“Ini adalah persiapan yang sama seperti di Tokyo 2020, cuma kami lebih pantas sekarang berbanding ketika di Tokyo. Kami berada di tempat yang tepat menjelang acara keirin nanti,” kata Beasley.

Dalam pada itu, Azizulhasni mengakui dia mengikuti perancangan jurulatihnya untuk memberi tumpuan dalam acara kegemarannya.

“Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Spiegel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britain. Perancangannya untuk kalahkan Hoogland, tapi sebaliknya.

“Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju. Ketika pusingan repechage, Beasley berkata simpan tenaga untuk keirin.

“Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavreysen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok (Sabtu),” katanya kepada agensi Bernama.

Seorang lagi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut akan mengalih tumpuan dalam acara keirin selepas tersekat di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.

Hasratnya untuk meneruskan kemaraan melalui peluang terakhir di repechages 1/32 juga menemui jalan buntu apabila dinafikan oleh Vasilijus Lendel dari Lithuania.

Untuk rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan kelima di pentas Olimpik pada Paris 2024 berjaya meraih pingat perak acara keirin di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.-Kosmo

Hannah Yeoh pertahan tindakan bergambar dengan Kunlavut

MENTERI belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertahankan tindakannya bergambar dengan pemenang pingat perak badminton Olimpik Paris 2024 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn selepas dikritik peminat kononnya dakwaan tidak ada semangat patriotik.

Bagaimanapun, Hannah mengakui tindakannya itu adalah untuk menyemai kepentingan semangat kesukanan dan menyerlahkan nilai kecemerlangan, penghormatan dan persahabatan Olimpik.

“Titik permulaan yang sangat asas, yang pertama memahami nilai-nilai Olimpik iaitu hormat dan persahabatan. Semangat kesukanan adalah mengenai menerima kekalahan apabila semuanya sudah berlangsung dengan adil dan dapat mengiktiraf pesaing anda dengan cara yang terhormat.

“Saya bukan sekadar Menteri Sukan, saya juga Menteri Belia. Saya tidak hanya mementingkan kemenangan pingat sahaja kerana saya berada di sini untuk menanamkan budaya sukan yang sihat untuk belia kita.

“Kita bukan sakit hati bila kalah. Bukan sesuatu yang sensitif tentang mengakui kekuatan lawan kita selepas pertandingan. Sukan mengajar kita pelajaran yang sangat berharga tentang kehidupan dan inilah sebabnya ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak untuk bersukan.

“Saya konsisten dalam mengamalkan semangat kesukanan yang baik dan saya mewakili Malaysia. Bersikaplah secara terhormat walaupun kita kalah. Jadi kepada jiran ASEAN kita, Thailand. Saya sekali lagi ucapkan Tahniah! Kita sepatutnya saling menyokong satu sama lain,” katanya.

Segelintir pengguna media sosial mengkritik Hannah tidak sensitif terutama selepas bergambar dengan Kunlavut yang juga antara pesaing yang menghalang pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke pentas final.-kosmo

Olimpik Paris: Nur Dhabitah melangkah ke pentas final

KUALA LUMPUR – Impian penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri untuk melangkah ke pentas final 3 meter (m) papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi kenyataan apabila menamatkan saingan di tangga kelapan sebentar tadi.

Dalam aksi di pusat akuatik Saint-Denis, Paris tersebut, atlet berusia 25 tahun itu mempersembahan aksi cukup baik pada terjunan pertama apabila berada di kedudukan kedua dengan meraih 67.50 mata.

Bagaimanapun, catatannya mata makin menurun pada terjunan kedua serta yang ketiga sekali gus meletakkan namanya di kedudukan ke-13 dan 15 dalam keadaan getir untuk menjadi 12 penerjun terbaik yang melangkah ke final.

ADVERTISING

Dhabitah berjaya mengekalkan ketenangan untuk kembali bangkit pada terjunan terakhir dengan meningkatkan darjah kesukaran 3.1 dengan melakukan forward 3 1/2 somersaults untuk mengumpul 286.95 mata.

Kedudukan tangga kelapan keseluruhan yang diraih sudah memadai buat Nur Dhabitah untuk melengkapkan 12 penerjun ke final yang dijadualkan berlangsung malam esok.

Pada aksi final nanti, Nur Dhabitah berdepan tentangan sengit apabila dua penerjun China, Yiwen Chen dan Yani Chang turut menempah slot ke pentas final tersebut selain pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Maddison Keeney turut menempah slot ke pentas final.

Dalam penyertaan di Tokyo sebelum ini, Nur Dhabitah berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan 326.15 mata, dipisahkan 17.6 mata berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer. -KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Aaron, Wooi Yik kesuntukan masa raikan kejayaan

BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu berkorban sekali lagi apabila tidak mendapat cuti panjang meskipun baru pulang daripada menjalankan tugasan pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana bekas juara dunia itu perlu kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi melakukan persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun bermula 20 hingga 25 Ogos ini serta Terbuka Korea (27 Ogos hingga 1 September).

Aaron berkata, dia sedia memanfaatkan tempoh rehat singkat yang diberikan bagi meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali meneruskan saingan pada saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Mungkin kami akan rehat beberapa hari sahaja, selepas itu akan menyertai Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea. Oleh itu, tidak ada banyak masa untuk kami rehat dan berjumpa ahli keluarga.

“Selepas itu, kami akan kembali bekerja (menjalani latihan). Sudah tentu gembira dapat pulang ke Malaysia dan bagi saya, ini adalah salah satu pembakar semangat untuk kami terus berjuang,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Terdahulu, pasangan No. 3 dunia itu menyumbang pingat pertama kontinjen negara di Olimpik Paris apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.

Sebagai rekod, gangsa yang dimenangi merupakan pingat kedua Aaron-Wooi Yik dalam dua penampilan di Sukan Olimpik selepas penyertaan pada Olimpik Tokyo 2020 turut menyaksikan mereka meraih gangsa.

Sementara itu, Wooi Yik menganggap aksi pada Olimpik kali ini lebih berbeza memandangkan beraksi di hadapan ribuan penonton berbanding stadium kosong ketika menggalas tugasan di Tokyo tiga tahun lalu.

“Memang berbeza kerana Tokyo sebelum ini tiada penonton tetapi kali ini apabila masuk ke stadium, boleh rasa gementar dan tekanan. Mungkin kita tidak dapat pingat emas tetapi kami tetap dapatkan pingat untuk Malaysia,” ujarnya.-kosmo

Olimpik Paris: Rexy mahu kekal di Malaysia

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap beliau masih memiliki misi belum selesai bersama skuad badminton negara meskipun ada gesaan supaya dia kembali ke pangkuan Indonesia.

Rexy menjelaskan, beliau menghormati pandangan-pandangan peminat Indonesia yang mahu beliau kembali ke pangkuan pasukan negara itu, namun tanggungjawab dan hatinya masih bersama Malaysia.

Tambahnya, pada ketika ini beliau hanya mahu memberikan sepenuh fokus terhadap tanggungjawab bersama skuad negara dan enggan mengulas lanjut apa yang diperkatakan orang ramai.

“Saya tak terfikir begitu (pulang ke Indonesia). Saya juga tidak fikir (mengenai) masa hadapan mahu ke mana-mana. Saya hanya fikir bagaimana untuk menjalankan tanggungjawab di sini.

“Netizen mereka boleh cakap apa sahaja tetapi saya mempunyai tanggungjawab. Kalau memang begitu, sebagai contoh kontrak tamat dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mahu melanjutkannya, saya akan terima kerana rumah saya juga di sini,” katanya.

Rexy berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik selesai menjalankan tugas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada Olimpik Paris itu, kem badminton negara menamatkan saingan dengan membawa pulang dua pingat gangsa menerusi perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, Rexy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan ABM 13 Ogos ini bagi melakukan perbincangan berhubung perancangan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

“Pada 13 Ogos ini, kita akan duduk bersama pihak pengurusan bagi membina perancangan untuk LA2028. Apa yang sudah baik di sini (Paris 2024), kita akan menjadikan ia lebih baik lagi,” ujarnya.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia