Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Sasaran pingat kontinjen Sarawak akan dimuktamadkan – Abdul Karim

KUCHING, 9 Mac: Sasaran keseluruhan pingat bagi kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak akan dimuktamadkan kelak, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

 Beliau berkata, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) masih memantau perkembangan terkini daripada persatuan-persatuan sukan di negeri ini berhubung sasaran berkenaan.

“Sasaran (keseluruhan pingat) masih lagi dinilai dan SSC sentiasa memantau setiap persatuan sukan dan melihat perkembangan (terkini). Kita belum lagi memberi sasaran tertentu tetapi kita akan maklumkan kemudian berapa sasaran kita setelah dimuktamadkan kelak,” katanya.

https://www.tvsarawak.my/2024/03/09/sekitar-15000-atlet-sertai-sukma-sarawak-kukuhkan-perpaduan-abang-johari/embed/#?secret=a76LsEFHpX#?secret=WhhJXfD8Sl

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap atlet-atlet yang akan bertanding kelak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi acara yang dipertandingkan mereka supaya dapat diangkat sebagai atlet Malaysia untuk dipertandingkan pada sukan antarabangsa.

Ditanya mengenai fasiliti sukan negeri, Abdul Karim berkata, baik pulih serta pembinaan venue-venue sukan kini sedang berjalan dengan baik.

“Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti venue-venue (yang perlu ditambah baik) dan perkara tersebut telah dibawa ke peringkat tertinggi (untuk pertimbangan) berikutan venue itu akan digunakan bagi acara-acara sukan yang diadakan.

“Ada venue yang sedang baik pulih, ada venue yang sedang dalam pembinaan (seperti Padang Ragbi, dan Dewan Wushu) kita sasarkan kesemuanya akan siap pada Jun ini,” katanya lagi.

Beliau turut berharap penganjuran SUKMA yang dipertanggungjawab oleh Sarawak itu berjalan dengan lancar dan tidak mencetuskan insiden yang buruk yang boleh menjejaskan imej negeri dan SUKMA secara keseluruhannya. – TVS

Sarawak mahu penganjuran SUKMA, Para SUKMA 2024 sebagai temasya terbaik

KUCHING, 9 Mac: Sarawak mahu penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos tahun ini di negeri ini dijulang sebagai penganjuran temasya terbaik dalam sejarah sukan itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan memastikan Sarawak sebagai tuan rumah akan menyediakan persekitaran yang kondusif, memberi sokongan yang berkekalan serta memastikan setiap atlet merasai pengalaman yang bermakna.

“Saya yakin dengan sokongan daripada semua pihak, kita mampu menjadikan SUKMA dan Para SUKMA 2024 sebagai temasya yang terbaik pernah diadakan dan meninggalkan impak positif kepada perkembangan negara.

https://www.tvsarawak.my/2024/03/09/sekitar-15000-atlet-sertai-sukma-sarawak-kukuhkan-perpaduan-abang-johari/embed/#?secret=lkrloUYass#?secret=s0yTBo2kKY

“Selain itu juga, ia dapat memupuk hubungan yang baik antara atlet, jurulatih pengurus dan penganjur haruslah dititikberatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibaca Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sebkha hotel di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam.

Tambah Abang Johari, hal tersebut amat penting bagi memudahkan interaksi, pembinaan hubungan positif antara atlet dan jurulatih kerana kepercayaan, komunikasi terbuka, dan sokongan emosi adalah kunci kejayaan atlet.

“Bukan itu sahaja, penganjuran SUKMA juga dapat membuka pintu atlet negara kepada satu perjalanan kecemerlangan yang tidak ternilai. Anda tidak hanya mewakili negeri, tetapi juga membawa semangat kebangsaan.

“Ketika anda berada di gelanggang, ketahanan anda akan diuji. Ingatlah, ketahanan bukan hanya bermaksud tahan lama fizikal, tetapi juga daya ketahanan mental. Kekuatan sejati adalah ketika anda dapat bangkit setiap kali jatuh,” katanya lagi.

Walaupun mengakui penganjuran SUKMA adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar, Abang Johari menghargai kerjasama dan nasihat yang diberikan oleh oleh semua pihak sama ada dari pihak tuan rumah, dan kontinjen-kontinjen negeri serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia dan juga pihak-pihak lain. – TVS

Sekitar 15,000 atlet sertai SUKMA Sarawak, kukuhkan perpaduan – Abang Johari

KUCHING, 9 Mac: Penyertaan semua negeri termasuk kontinjen dari Brunei Darussalam yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada bulan Ogos tahun ini dilihat mampu membawa bersama semangat kebangsaan yang mengukuhkan perpaduan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dianggarkan sekitar 15,000 atlet termasuk pegawai dari Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam temasya itu.

“Melalui pencapaian dan kejayaan di dalam gelanggang sukan, kita tidak hanya mengejar kecemerlangan tetapi juga memupuk semangat kebersamaan yang meleburkan perbezaan dan mengukuhkan jalinan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya kertika berucap pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakilinya di majlis itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam.

Abang Johari berkata, SUKMA pada tahun ini melibatkan 37 sukan bersamaan dengan 490 acara keseluruhan dan ia akan dikelola di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.

“Kluster sukan yang terlibat untuk Kuching adalah 25 sukan, Miri enam sukan, masing-masing tiga sukan di Samarahan,Sibu, Mukah dan Bintulu manakala masing-masing satu sukan Serian, Sri Aman dan Betong.

“Tujuan temasya SUKMA Ke-21 diadakan di sembilan bahagian adalah supaya masyarakat di luar dari bandaraya Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan juga memberi peluang kepada atlet-atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abang Johari menaruh harapan tinggi kepada atlet Sarawak untuk berusaha mencapai prestasi cemerlang dengan penuh semangat kesukanan dan dedikasi.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah temasya SUKMA adalah pada 2016 dan 1990. – TVS

Pasukan silat serius bantu kontinjen Sarawak muncul juara SUKMA 2024

SIBU: Pasukan silat dilihat benar-benar serius untuk membantu kontinjen Sarawak muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila telah memulakan sesi latihan sejak Februari lalu.

Tanpa membuang masa, mereka melakukan persiapan awal biarpun saingan tertinggi kebangsaan itu hanya akan berlangsung pada Ogos depan.

Ketua Jurulatih Fadzil Jamain berkata, seramai 50 pesilat dari 14 perguruan silat seluruh Sarawak termasuk bekas atlet silat pada Sukan Sarawak (SUKSAR) yang lepas telah menjalani sesi latihan di Kem Belia Kemuyang di sini.

“Kita telah bermula 15 Februari lepas dan pada masa ini kita sedang membuat kem latih pilih bagi melengkapkan atlet kita menjadi 34 pesilat.

“Ini bermaksud seramai 35 pesilat akan dihantar pada cabaran SUKMA akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis prapelancaran Kem Latihan Pasukan Pencak Silat Sarawak SUKMA 2024 di Kem Belia Kemuyang di sini, pada Jumaat.

Fadzil menambah, sesi latihan turut dibantu oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman yang telah mengikuti pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping itu katanya, mereka juga sedang merancang untuk mendedahkan pasukan silat negeri dengan aksi bermutu tinggi sebagai persediaan ke saingan itu.

Katanya, ini termasuk menghantar pesilat mereka mengikuti kejohanan di dalam dan luar negara.

“Latihan ini dijalankan secara berfasa iaitu selama tujuh bulan, di mana melibatkan fasa satu, dua dan tiga sebelum SUKMA bermula.

“Pada fasa ketiga, kita akan memberi pendedahan dengan menghantar mereka mengikuti kejohanan di Semenanjung dan Thailand untuk melihat tahap kemampuan setelah menjalani latihan di kem di sini.

“Pada masa yang sama, kita juga mungkin akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan (silat) yang lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Premier Sarawak Syed Azmee Wan Junaidi dalam ucapannya mengingatkan pesilat agar tidak mudah putus asa sepanjang menjalani latihan .

“Jangan pernah ada sikap putus asa dan sombong kerana kamu akan menyesal kemudian hari apabila mempunyai sikap-sikap sedemikian.

“Kerana kamu tidak akan merasa kemanisan latihan ataupun berada dalam satu kumpulan yang memegang amanah dan tanggungjawab yang dipikul pada masa ini,” katanya.

Hadir sama Pengurus Pasukan Silat SUKMA Sarawak Dato Mohamad Yusnar Matalie.
 -Utusan Borneo

MAJLIS SAMBUTAN HARI WANITA PERINGKAT KBS DAN GIMIK PELANCARAN VIDEO KOD SUKAN SELAMAT

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat KBS pada Sabtu, bertempat di Sports Arena, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Program ini diadakan bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan “Wanita Dijulang Negara Gemilang”. Tema ini memberikan penekanan akan pentingnya mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender pada semua peringkat sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Gimik Pelancaran Video Kod Sukan Selamat dengan menampilkan Farah Ann Abdul Hadi sebagai Ikon garis panduan tersebut.

ATLET NEGARA MERIAHKAN PROGRAM SENAMROBIK KOMUNITI

Atlet negara hadir memeriahkan Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Antara atlet yang terlibat pada program yang diadakan di Dataran Perumahan Awam Seri Selangor, Cheras itu termasuklah atlet tenpin boling, karate, pencak silat dan olahraga.

Atlet Miri menyerlah sebagai wakil Sarawak pada SUKMA 2024

MIRI: Kira-kira 80 peratus pemain skuasy yang bakal mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos depan adalah berasal dari Miri. 

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata Miri antara bahagian yang aktif mempromosikan sukan ini sehingga berjaya menghasilkan ramai atlet-atlet muda berbakat bagi mewakili Sarawak ke kejohanan dipertandingkan. 

“Terima kasih pada semua sukarelawan dan jurulatih kerana dengan sokongan, bantuan dan pengorbanan mereka, kita berjaya melahirkan ramai pemain skuasy cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sarawak Invitational Miri Leg 2024 Squash Tournament di Pei Min Miri Squash Academy, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Lee cukup berbangga apabila melihat penyertaan ramai pelapis muda pada kejohanan tersebut. 

“Pada kejohanan ini saya melihat ramai pemain-pemain muda yang mana ini adalah harapan kita buat masa hadapan. 

“Ini kerana dalam mana-mana acara sukan, kita perlu mempersiapkan generasi pelapis untuk mengambil alih daripada pemain senior. 

“Kita perlu sedar secara realitinya pada peringkat umur tertentu ada masanya kita perlu berundur dan beri peluang kepada bakat-bakat baharu,” ujarnya.
 
Terdahulu, kejohanan anjuran Persatuan Skuasy Miri (MSA) ini mempertandingkan lapan kategori. 

Seramai 150 peserta menyertai kejohanan ini yang datangnya dari Miri, Kuching, Sibu, Sabah, Perlis dan juga negara Brunei. 

Hadir sama, presiden MSA Yeo Yaw Lee dan Datuk Bandar Miri Adam Yii. -Utusan Borneo

Nur Aiman pertahan gelaran

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan gelaran juara kebangsaan dalam acara ujian masa elit lelaki hari ini.

Lebih menggembirakan ia gelaran kelima buat pelumba kelahiran Johor itu yang merekodkan masa 55 minit 0.446 saat membabitkan jarak laluan sejauh 30.3 kilometer (km).

Aiman berkata, ia kejayaan bermakna buat dirinya dan sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar juara sekali lagi di Kejohanan Berbasikal Leburaya Kebangsaan tahun ini.

“Sangat gembira dengan kemenangan ini kerana dapat kekalkan gelaran juara kebangsaan buat lima kali. Saya cuba untuk fokus kepada kekuatan, pernafasan dan menjaga laluan supaya saya dapat menguasai perlumbaan,” katanya.

Bermula di Bangunan Stor JKR, Kuala Kubu Bharu ini, Aiman diberi tentangan sengit oleh lawan dari pasukan Malaysia Pro Cycling A (MPC), Muhammad Zawawi Azman yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas merekodkan masa 56:34.436s.

Manakala tempat ketiga milik pelumba Kelapa Gading Bikers Jakarta, Daniel Purwanto 58:28.089s.

Sementara itu dalam saingan ujian masa perseorangan lelaki bawah 23 tahun, emas dimenangi pelumba Terengganu A, Kee Zhe Yie dengan masa 55:33.411s, mengatasi Tsen Ren Bao, dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur dan Muhammad Syawal Mazlin (MPC) ketiga._Harian Metro

Nasib berbeza Sivasangari, Eain Yow

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Land Open di Cleveland, Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pinga emas Sukan Asia Hangzhou berkenaan mengatasi pemain England, Alicia Mead 11-6, 11-8, 11-8 pada aksi suku akhir.

“Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa yang terlalu lama.

“Jadi saya mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” kata Sivasangari yang kali ketiga mara ke separuh akhir dalam saingan Jelajah Dunia musim ini.

Sivasangari akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pemain England iaitu pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft bagi perebutan tiket ke pentas final, awal pagi Ahad ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Ng Eain Yow apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan Leonel Cardenas dari Mexico dalam pertarungan yang berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu, 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan untuk mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Berita Harian

Sivasangari mara, Eain Yow kandas

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, S Sivasangari berjaya mara ke separuh akhir Skuasy Terbuka Cleveland di Amerika Syarikat (AS) ketika pemain lelaki negara yang juga pilihan utama kejohanan, Ng Eain Yow dikejutkan pemain Mexico di suku akhir.

Sivasangari menghadiahkan khabar gembira apabila terus konsisten melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia yang ketiga musim ini apabila mengatasi pemain England, Alicia Mead.

Sivasangari membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu tidak berdepan masalah untuk menyaingi lawan biarpun pada satu ketika Alicia mengatasinya 5-6 sebelum bangkit melakar kemenangan 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 23 minit.

Mengulas mengenai kemenangannya itu Sivasangari berkata, kerja keras dan tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaannya hari ini.

“Kunci kemenangan saya hari ini adalah kerja keras. Paling penting mara ke peringkat seterusnya. Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa terlalu lama.

“Jadi kami mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” katanya.

Sivasangari seterusnya bakal berdepan sama sama ada pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft, kedua-duanya dari England.

Sementara itu hasrat melihat Eain Yow mara lebih jauh tidak kesampaian apabila dikejutkan Leonel Cardenas dari Mexico, dalam pertarungan epik berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia