Majlis Sukan Negara Malaysia
Zaiful mahu Fakrul jadikan tekanan sebagai pemangkin

Kuala Lumpur: Bekas pelari 400 meter kebangsaan, Mohd Zaiful Zainal Abidin berharap pelari 400m berpagar negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir dapat meningkatkan motivasi ke tahap tertinggi menjelang Sukan Sea Thailand bulan hadapan.

Menurutnya, atlet berusia 21 tahun itu pastinya berasa lega selepas berjaya melepasi ujian kecergasan yang dijalankan Jumaat lalu dan disahkan terpilih mewakili negara dalam acara kegemarannya itu.

Dengan masa yang singkat ini, Fakrul perlu bijak menggunakan peluang serta ruang dan memberi tumpuan khusus kepada beberapa teknik agar pada hari kejadian nanti, dia dapat berlari dalam kondisi terbaik.

“Selepas apa yang dilaluinya sebelum ini, saya yakin dia akan menghadapi bebanan yang lebih berat di Thailand nanti. Apa jua keputusan, terutama jika kalah, pasti akan memberi impak kepadanya.

“Namun, saya yakin Fakrul dan jurulatihnya akan bekerjasama untuk memastikan segala tekanan yang dihadapi sekarang ditukar menjadi motivasi, agar di Thailand nanti dia dapat memberikan larian terbaik dan mencatat masa terpantas untuk dirinya,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap pemegang rekod kebangsaan itu tidak terpengaruh dengan aura negatif sebaliknya melihat dari sudut positif supaya minda dan fizikalnya berada dalam keadaan bersedia.

Untuk makluman, Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan bahawa Fakrul berjaya melepasi penilaian prestasi dan kecergasan menyeluruh yang dijalankan pada Jumaat lalu oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Muaythai intai satu emas di Bangkok

KUALA LUMPUR: Skuad muaythai negara kembali mengintai kegemilangan di pentas Sukan SEA apabila menetapkan sasaran meraih satu pingat emas pada edisi Bangkok, Thailand, kali ini.

Keyakinan itu dilihat realistik berdasarkan pencapaian di Hanoi tiga tahun lalu yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu emas dan satu perak.

Pemenang emas edisi 2021, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, menjadi sandaran utama untuk mengetuai barisan 13 atlet negara, dibantu beberapa nama yang semakin meningkat naik seperti Rifdean Masdor, adik kepada bintang ONE Championship, Johan Ghazali; Muhammad Mikail (Miki) serta jaguh BYON, Ammarul Shafiq.

Pengurus pasukan, Saifulnizam Mohd Shahar, ketika dihubungi berkata, persiapan skuad kebangsaan berada pada landasan tepat selepas menjalani kem latihan pusat di Bangkok sejak sebulan lalu.

“Sebelum ini di Kemboja (2023) muaythai tidak dipertandingkan. Di Hanoi, kita raih satu emas dan satu perak. Jadi, sasaran satu emas masih kekal, manakala kategori lain diharap turut mampu menyumbang pingat tanpa mengira warna,” katanya.

Saifulnizam menegaskan skuad negara tidak menetapkan acara tertentu sebagai sandaran utama, namun kategori seni (wai kru) dilihat antara medan terbaik untuk menghadirkan pingat emas.

Secara keseluruhan, muaythai menawarkan 18 pingat emas – 16 menerusi acara muay dan dua bagi kategori wai kru.

Di Hanoi, Aliff mencuri tumpuan apabila memenangi emas selepas menewaskan wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi, dalam kategori 54 kilogram (kg).

Pingat perak negara pula disumbangkan Nur Amisha Azrilrizal yang tewas kepada atlet Thailand, Wansawang Srila-or, dalam final 51kg.

“Aliff masih beraksi, tetapi pencapaian itu sudah tiga atau empat tahun lalu. Fokusnya kini lebih kepada perlawanan profesional. Kita harap dia mampu tampil cemerlang, tetapi itu bukan KPI utama kerana situasi semasa sudah berbeza,” katanya.

INFO

Sukan: Muaythai

Sasaran: 1 emas

Pencapaian terakhir (Vietnam 2021): 1 emas, 1 perak

Jumlah emas ditawarkan di Bangkok: 18

Amaran untuk Pang Ron-Su Yin

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin perlu segera mempamerkan prestasi sebenar dan cuba menambat hati jurulatih, Nova Widianto sekiranya tidak ingin sesuatu terjadi kepada gandingan mereka selepas ini.

Jelas Nova, Pang Ron-Su Yin adalah pasangan yang berbakat tetapi tahun ini persembahan mereka jatuh merudum dan hanya mampu mara paling jauh sehingga ke suku akhir sahaja.

Justeru, dengan masa yang ada, beliau berharap beregu ke-21 dunia itu dapat mengambil peluang sebaik mungkin sebelum barisan jurulatih memikirkan langkah seterusnya.

“Selepas keputusan yang kurang baik (sepanjang musim ini), sudah tentu keyakinan mereka menurun. Tapi mereka masih ada kualiti. Kadang-kadang kita lihat mereka berlatih dengan baik, tetapi apabila bertanding, mereka tewas kepada lawan yang ranking dia lebih rendah.

“Namun, kami masih berharap mereka sekurang-kurangnya boleh membawa pulang pingat gangsa di Sukan Sea. Dari segi prestasi, kita akan lihat sehingga ke Terbuka Malaysia sebelum memutuskan perjalanan kedua-dua pemain ini,” katanya.

Untuk makluman, Pang Ron-Su Yin sudah menyertai 17 pertandingan sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu, hanya empat kali sahaja berjaya mara ke pusingan lapan terbaik selain selebihnya tewas di pusingan pertama atau kedua.

Ketika ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih menjadi gandingan utama negara dan Pang Ron-Su Yin sebelum ini diletakkan harapan untuk berada sebaris dengan senior mereka.

Jonah sasar rekod baharu Sukan Sea

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menyasarkan ingin mencipta rekod baharu kejohanan dengan lontaran sejauh 19 meter (m) pada Sukan Sea Thailand, bulan hadapan.

Jelasnya, dia tetap yakin mampu mencapai jarak itu di temasya dwitahunan berkenaan kerana prestasi lontarannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik.

“Saya sasar untuk pecahkan rekod kebangsaan tetapi kalau dapat 19m, ia bonus untuk saya dan itu akan jadi sejarah untuk Sukan Sea.

“Saya dengar rekod semasa ketika ini 18m lebih dan rekod kebangsaan saya lebih jauh. Sebab itu saya optimis boleh pecah rekod kejohanan. Jadi, saya harap boleh lakukan yang terbaik di Sukan Sea nanti,” katanya.

Rekod kebangsaan miliknya adalah 18.66m yang dilakukan di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada September lalu sementara rekod temasya pula, 18.14m yang dilakukan oleh atlet Filipina, William Morrison pada 2022.

Namun begitu, atlet kelahiran Sarawak itu tetap berasa gementar, tetapi sokongan dari rakan sepasukan serta barisan jurulatih, membuatkan Jonah semakin bersemangat selain harus berhati-hati dengan pesaing dari Filipina.

“Untuk Sukan Sea nanti, sasaran saya sudah tentu pingat emas. Saya akan buat yang terbaik kerana ketika ini saya bersaing rapat dengan atlet dari Filipina kerana rekod musim kami pun hampir sama.

“Setakat ini latihan semuanya berjalan baik. Bila tarikh makin dekat, memang datang rasa gementar itu. Tapi dengan sokongan kawan-kawan dan keluarga, saya rasa lebih yakin. Harap semuanya dipermudahkan dan saya boleh beri yang terbaik,” katanya.

Pada perkembangan sama, ketika ditanya mengenai keyakinan rakan sepasukan, Irfan Shamsuddin untuk memenangi emas dan perak dalam acara lempar cakera, Jonah lebih memilih kekal tenang agar boleh merealisasikan perkara itu.

“Irfan memang suka bagi tekanan. Kita tak tahu apa akan jadi di Sukan Sea nanti. Ini juga kali pertama saya ambil dua acara di temasya sebesar ini kerana sebelum ini pun hanya di SUKMA atau kejohanan biasa,” katanya.

Songkhla tidak lagi anjur Sukan Sea 2025, semua 10 acara dipindahkan ke Bangkok

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla diluluskan untuk dipindahkan ke Bangkok bagi Sukan Sea 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi temasya dwitahunan itu malam ini, pengesahan pemindahan berkenaan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea ke-33 dan Sukan Para Asean ke-13 hari ini, susulan kejadian banjir di selatan Thailand.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakon, yang turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand Dr Kongsak Yodmanee, wakil persatuan sukan serta pegawai berkaitan.

“Agenda utama berkaitan pemindahan acara sukan dan lokasi pertandingan bagi Sukan Sea ke-33 disebabkan banjir teruk di wilayah selatan Thailand, yang menyebabkan kerosakan dan menjejaskan tahap kesiapsiagaan, khususnya di Wilayah Songkhla, antara bandar tuan rumah bersama temasya yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 10 acara sukan yang akan dipindahkan ke Bangkok dari Songkhla ialah Muay Thai, bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti.

Sementara itu, mesyuarat itu turut mengesahkan bahawa acara biliard dan snuker, yang sepatutnya diadakan di Chonburi, kini turut dipindahkan ke Bangkok.

Belgium belasah Speedy Tigers 9-1

Ipoh: Pasukan ranking ketiga dunia Belgium membelasah Malaysia 9-1 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah ke-13.

Selepas tewas 3-4 kepada India, anak buah Sarjit Singh turun dengan misi berjuang habisan-habisan namun terpaksa akur dengan kehebatan Belgium.

Penyerang prolifik Belgium yang juga pemain terbaik dunia tahun ini Tom Boon membuka tirai jaringan pasukan itu hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-8 sebelum Thomas Crols meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara mengatur serangan balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-13 menerusi gol padang Faizal Saari namun dua minit kemudian Thibeau Stockbroekx pula memastikan Belgium terus di depan sebelum tamat suku pertama perlawanan.

Babak kedua menyaksikan Belgium terus menekan kubu pertahanan Malaysia dan berjaya merobek gawang negara apabila Roman Duvekot menjaringkan gol keempat pada minit ke-24.

Alexander Hendrickx dan Tommy Willem kemudian menambah derita Speedy Tigers menerusi penalti stroke dan pukulan sudut penalti pada minit ke-27 dan 30.

Boon sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-38 apabila pasukan itu sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti dan Victor Foubert terus menghukum kem pertahanan negara apabila meledak gol kelapan pada minit ke-41.

Asakan Belgium tidak berhenti di situ apabila Duvekot melengkapkan hari malang skuad negara menerusi gol kesembilan pada minit ke-54.

Terdahulu, Kanada mengalahkan Korea Selatan 3-2 manakala India pula menundukkan New Zealand juga dengan keputusan 3-2.

Perlawanan terakhir Malaysia pada Sabtu ini bertemu Korea Selatan yang dijadualkan pada 6 petang manakala New Zealand bertemu Belgium (4 petang) dan Kanada menentang India (2 petang).

Sementara itu, ketua jurulatih Sarjit Singh menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pengajaran besar buat pemain, sambil menegaskan pertembungan itu menjadi ukuran tepat tahap semasa skuad Speedy Tigers, sekali gus membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Belgium memang bermain dengan sangat baik selepas aksi menentang Korea Selatan tempoh hari, mereka mula menunjukkan kenapa mereka berada di ranking ketiga dunia,” katanya, sambil menambah aspek disiplin bertahan pasukan lawan juga menjadi contoh terbaik kepada pemain negara.

Sukan Sea 2025: SOP kecemasan disediakan bantu atlet hadapi bencana

Sepang: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kecemasan bagi membantu kontinjen negara menghadapi sebarang situasi luar jangka termasuk bencana pada Sukan Sea 2025 di Thailand, dijadual bermula 9-20 Disember ini.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata, pengeluaran SOP baharu itu diputuskan pihaknya dan MOM dalam satu mesyuarat tergempar bagi menilai situasi semasa yang sedang dihadapi tuan rumah termasuk banjir di satu daripada wilayah terbabit dengan Sukan Sea kali ini iaitu Songkhla.

“Di peringkat MSN dan MOM, kami mengeluarkan satu garis panduan SOP kecemasan bagi semua pihak melihat dan meneliti sekiranya berlaku apa-apa kejadian semasa Sukan Sea, mereka akan rujuk kepada SOP berkenaan.

“Kita juga sertakan nombor perhubungan sekretariat dalam, luar, kedutaan dan pihak keselamatan bagi membolehkan pengurus pasukan, jurulatih dan juga atlet mendapatkan atau menghubungi pihak-pihak berkaitan secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen Deaflympics Tokyo 2025 negara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Jefri mengulas laporan media Thailand semalam bahawa semua acara Sukan Sea 2025 di Songkhla akan dipindahkan ke Bangkok susulan banjir serta kebimbangan keadaan venue di wilayah terbabit sebaik air surut.

Keputusan itu dilaporkan dicapai dalam satu mesyuarat semalam dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sukan Sea ke-33 Chaiyapak Siriwat, Menteri Pelancongan Thailand,Atthakorn Sirilatthayakorn serta wakil negara peserta, menurut Timbalan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT) Chalitrat Chantarubeksa.

Bagaimanapun, media negara itu melaporkan pengumuman rasmi mengenai keputusan berkenaan dijadual esok.

Sebanyak 10 acara sukan menawarkan 109 pingat emas iaitu tinju, silat, bola sepak, catur, judo, kabadi, karate, gusti, petanque dan wushu dijadualkan berlangsung di Songkhla.

Dalam pada itu, Jefri berkata, mesyuarat bersama MOM turut memutuskan bahawa kesemua atlet negara yang dijadualkan bertanding di Songkhla menggunakan mod pengangkutan udara sekiranya tuan rumah memindahkan acara sukan terbabit ke Bangkok.

Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, MSN memilih mod pengangkutan darat bagi atlet negara yang bakal berjuang di Songkhla atas faktor wilayah berkenaan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, MSN menggerakkan sekretariat luar mereka bagi memastikan pengangkutan dan juga khidmat sokongan di Bangkok nanti tidak terjejas dengan penambahan jenis sukan yang akan diadakan di ibu negara Thailand itu.

Deaflympics 2025: KBS tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara

Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya sukan Deaflympics 2025 di Tokyo biarpun tidak berjaya menepati sasaran membawa pulang tiga pingat emas ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya sedar kontinjen negara tetap menampilkan aksi positif, terutama kejayaan menyumbang pingat dalam sukan baharu menerusi karate selain muncul selaku pasukan terbaik di Asia Tenggara pada Deaflympics kali ini.

“Ini adalah satu daripada kejayaan yang harus kita raikan dan kami ucap berbanyak-banyak tahniah dan juga terima kasih kepada semua yang berjaya.

“Ini juga membuktikan kita sentiasa mampu untuk bersaing di peringkat dunia, dan kita juga mampu untuk mengekalkan Malaysia sebagai antara kontinjen terbaik dari Asia Tenggara,” katanya pada majlis sambutan kepulangan kontinjen negara dari Tokyo di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin.

Malaysia menutup kempen Deaflympics 2025 dengan satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84 kilogram dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).

Adam Adli pada masa sama berharap kontinjen negara akan meneruskan momentum mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selain menyeru pihak luar terus menyokong pembangunan atlet sukan orang pekak.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka tidak berjaya mencapai sasaran diletakkan di negara Matahari Terbit itu.

Beliau juga enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun akan melakukan sesi pascanilai dalam usaha memperbaiki prestasi atlet negara selepas ini.

Adelia raih perak pada Kejohanan Boling Dunia

Kuala Lumpur: Pemain remaja negara Adelia Nur Irwan Syazalee mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat perak dalam acara perseorangan wanita pada Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu tumpas 0-2 (189-217, 168-214) kepada wakil Finland, Essi Pakarinen pada aksi final.

Adelia Nur mara ke final selepas menewaskan wakil Singapura Shayna Ng 2-1 (202-184, 160-164, 230-196) pada pusingan separuh akhir yang turut berlangsung hari ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi kategori perseorangan wanita adalah pada edisi 2023 menerusi Natasha Mohamed Roslan.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia gagal meraih sebarang pingat selepas tiada wakil negara melayakkan diri ke separuh akhir.

Ling Ching sasar dalam kelompok 32 terbaik dunia tahun depan

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching enggan terlalu memikirkan perebutan status pemain nombor satu negara, sebaliknya mahu menembusi kelompok terbaik dunia secepat mungkin.

Menurut Ling Ching, sasaran utamanya bukanlah kedudukan tertinggi di peringkat nasional, sebaliknya ranking dunia yang mampu melonjakkan kariernya.

“Bagi saya, untuk menjadi nombor satu dunia adalah yang paling penting. Tapi secara peribadi, untuk separuh tahun pertama (2026), sasaran saya adalah berada dalam kedudukan 32 dunia.

“Saya tak anggap K Letshanaa sebagai lawan sebab kami semua mewakili Malaysia.

“Saya cuma harap boleh meningkat dan satu hari nanti perseorangan wanita Malaysia berada di puncak dunia,” katanya.

Baginya, abila berada dalam kelompok 32 terbaik dunia, dia berpeluang bersaing dalam peringkat lebih tinggi, sekali gus membantunya meningkatkan prestasi serta memburu kedudukan terbaik.

“Untuk tahun depan jurulatih belum beri perancangan penyertaan kejohanan.

“Mungkin saya akan sertai banyak Super 500 dan saya harap boleh main Super 750 dan 1,000,” katanya yang kini pemain perseorangan wanita sedang meningkat naik dan membawa sinar baharu untuk negara.