Kuala Lumpur: Impian Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membawa Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ke Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan selepas kejayaan menganjurkan pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, memberi bayangan badan induk itu kini bersedia melangkah lebih jauh dengan membida hak penganjuran kejohanan dunia dalam tempoh terdekat.
“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan. Ia membuktikan Malaysia dan PKBM ada kapasiti menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.
“Kalau kita boleh anjur Piala Dunia, kita juga mampu anjur Kejohanan Dunia,” katanya pada hari terakhir Piala Dunia Trek 2026 semalam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses bidaan perlu melalui kelulusan dalaman termasuk Ahli Jawatankuasa Eksekutif PKBM serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebelum permohonan rasmi dibuat.
Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melihat edisi 2029 atau 2030 sebagai sasaran paling realistik memandangkan hak penganjuran sehingga 2028 sudah diagihkan.
Dari segi kos, beliau menjelaskan acara trek lebih praktikal dengan anggaran sekitar €100,000 (RM464,180), jauh lebih rendah berbanding acara lebuh raya yang boleh mencecah kira-kira 7 juta Swiss Franc (RM35.2 juta).
Dalam perkembangan sama, skuad negara menamatkan kempen Piala Dunia Trek dengan satu emas dan satu gangsa hasil sumbangan Datuk Azizulhasni Awang bagi acara keirin serta pecut.
