Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee berharap atlet negara dapat meningkatkan kualiti terjunan agar mampu berada di kedudukan podium meskipun mereka melepasi angka 400 mata pada Ujian Penilaian Kebangsaan yang berakhir semalam.
Jelas Ken Nee, berdasarkan markah dikumpul oleh penerjun negara, ia masih belum cukup untuk bersaing dengan kuasa besar dunia kerana seseorang atlet perlu memperoleh sekurang-kurangnya 420 mata untuk berada di kedudukan teratas.
“Kalau kita tengok tahap Sukan Asia pun kena naik sampai 420 markah, jadi kita memang perlu tingkatkan lagi kualiti terjunan setiap individu.
“Kalau mereka tunjuk prestasi bagus pun, kalau juri tekan markah, kita tidak boleh buat apa-apa, jadi kita kena kurangkan kesilapan supaya tidak hilang banyak mata,” katanya selepas ujian di Pusat Akuatik Nasional, semalam.
Selain itu, kekurangan penyertaan dalam pertandingan peringkat antarabangsa turut menyukarkan mereka membuat penilaian tepat berbanding penerjun dari negara lain.
Disebabkan itu, penanda aras tempatan melalui Skor Kelayakan Minimum (MQS) menjadi salah satu sandaran untuk menilai keupayaan wakil negara, namun ia masih belum mencukupi secara keseluruhan.
Katanya, tanpa pertembungan secara langsung dengan penerjun negara lain, sukar untuk membuat perbandingan tepat terutama dari segi ranking dan konsistensi prestasi.
“Kadang-kadang bila MOM (Majlis Olimpik Malaysia) tanya ranking Asia mereka, kita pun susah hendak ramal sebab kita tidak bertanding dalam kejohanan sama dengan mereka,” katanya.
Skuad terjun negara akan berlepas ke Sarawak bulan depan bagi penilaian terakhir menerusi Kejohanan Antarabangsa Kumpulan Umur (MIAG) untuk menentukan lapan slot ke Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.
