Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menyasarkan ingin mencipta rekod baharu kejohanan dengan lontaran sejauh 19 meter (m) pada Sukan Sea Thailand, bulan hadapan.
Jelasnya, dia tetap yakin mampu mencapai jarak itu di temasya dwitahunan berkenaan kerana prestasi lontarannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik.
“Saya sasar untuk pecahkan rekod kebangsaan tetapi kalau dapat 19m, ia bonus untuk saya dan itu akan jadi sejarah untuk Sukan Sea.
“Saya dengar rekod semasa ketika ini 18m lebih dan rekod kebangsaan saya lebih jauh. Sebab itu saya optimis boleh pecah rekod kejohanan. Jadi, saya harap boleh lakukan yang terbaik di Sukan Sea nanti,” katanya.
Rekod kebangsaan miliknya adalah 18.66m yang dilakukan di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada September lalu sementara rekod temasya pula, 18.14m yang dilakukan oleh atlet Filipina, William Morrison pada 2022.
Namun begitu, atlet kelahiran Sarawak itu tetap berasa gementar, tetapi sokongan dari rakan sepasukan serta barisan jurulatih, membuatkan Jonah semakin bersemangat selain harus berhati-hati dengan pesaing dari Filipina.
“Untuk Sukan Sea nanti, sasaran saya sudah tentu pingat emas. Saya akan buat yang terbaik kerana ketika ini saya bersaing rapat dengan atlet dari Filipina kerana rekod musim kami pun hampir sama.
“Setakat ini latihan semuanya berjalan baik. Bila tarikh makin dekat, memang datang rasa gementar itu. Tapi dengan sokongan kawan-kawan dan keluarga, saya rasa lebih yakin. Harap semuanya dipermudahkan dan saya boleh beri yang terbaik,” katanya.
Pada perkembangan sama, ketika ditanya mengenai keyakinan rakan sepasukan, Irfan Shamsuddin untuk memenangi emas dan perak dalam acara lempar cakera, Jonah lebih memilih kekal tenang agar boleh merealisasikan perkara itu.
“Irfan memang suka bagi tekanan. Kita tak tahu apa akan jadi di Sukan Sea nanti. Ini juga kali pertama saya ambil dua acara di temasya sebesar ini kerana sebelum ini pun hanya di SUKMA atau kejohanan biasa,” katanya.
