Kuala Lumpur: Bintang angkat berat negara, Aniq Kasdan kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Sukan Sea Thailand, bulan depan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tendon yang membelenggunya sebelum ini.
Sebelum ini, kecederaan itu menjejaskan persediaannya, namun Aniq mengesahkan keadaan fizikalnya kini kembali pulih sepenuhnya.
Malah, keadaan itu membolehkannya memberi fokus untuk memburu pingat dalam acara bakal disertainya.
“Alhamdulillah, kecederaan tendon saya sudah pulih. Di Thailand saya akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg).
“Persaingan kali ini jauh lebih sengit dengan kehadiran atlet dari beberapa negara dianggap kuasa dalam acara angkat berat,” kata atlet kelahiran Johor itu.
Aniq tetap optimis dan meletakkan harapan tinggi untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik selain membantu kontinjen negara meraih pingat emas.
“Pesaing utama saya adalah Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina.
“Sekarang saya fokus untuk dapatkan kembali rentak dan sasaran saya mestilah pingat emas. Saya harap semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pada edisi di Vietnam, Aniq meraih gangsa dan mencatat rekod baharu kebangsaan dalam kategori 55kg, sebelum beralih ke kategori 60kg kali ini.
