Kuala Lumpur: Keputusan Majlis Olahraga Malaysia (MA) menolak penyertaan atlet 400 meter lari berpagar, Muhammad Fakrul Afizul Nasir ke Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli.
Pekan menegaskan, Fakrul sepatutnya layak mewakili negara kerana statusnya sebagai pemegang rekod kebangsaan dan dia adalah atlet terbaik dalam acaranya itu.
Beliau berkata, keputusan menggugurkan mereka yang sudah layak adalah satu perkara tidak adil dan hilangnya toleransi sebuah badan induk yang sepatutnya menyokong atlet muda untuk terus bergerak ke hadapan.
“Bila dia dah layak, pecah rekod kebangsaan pula, dia sepatutnya calon utama ke Sukan Sea.
“Dia yang terbaik Malaysia hari ini. Jadi kenapa atlet terbaik digugurkan? Keputusan ini bagi saya sangat drastik dan sangat tidak adil.
“Dia baru pulih daripada kecederaan, berlari dalam keadaan trek basah. Macam mana nak buat masa baik? Kena ada timbang tara. Takkan satu perlumbaan sudah boleh tentukan masa depan atlet?
“Sepatutnya VTF (Varsity Track & Field) tidak boleh dijadikan asas utama kelayakan untuk atlet yang sudah layak lebih awal,” katanya.
Fakrul yang baharu pulih daripada kecederaan sepatutnya diberi ruang dan toleransi, bukan dihukum kerana catatan masa jauh daripada optimum pada VTF.
Menurut beliau, isu ini bukan sekadar menyentuh prestasi Fakrul, tetapi turut memaparkan kelemahan sistem pemilihan MA yang tidak cukup fleksibel dan tidak mengambil kira faktor objektif dan subjektif atlet.
“Kita tidak boleh membiarkan diskriminasi berlaku. Walaupun asas penolakan ada, secara logiknya ia tidak kukuh untuk menyingkirkan atlet daripada menyertai temasya antarabangsa,” tegasnya.
Terdahulu, MA memberi maklum balas berhubung pengguguran Fakrul atas alasan dia tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MA iaitu catatan 52 saat (s) ketika VTF minggu lalu, apabila ketika itu atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan 53.12s.
Biarpun begitu, Fakrul sudah melepasi syarat kelayakan ke Sukan Sea pada Mei lalu dengan catatan masa 51.97s.
