Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hannah tabik Rosman

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi penghargaan kepada ketua jurulatih beregu badminton wanita negara, Rosman Razak, yang sekali lagi cemerlang membantu beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah muncul juara Masters Jepun, semalam.

Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, Hannah berkata, Rosman adalah antara watak penting kepada kejayaan Pearly-Thinaah, yang kini menduduki ranking kedua dunia.

“Kejayaan Pearly dan Thinaah di Masters Jepun adalah hasil usaha berpasukan, termasuk figura penting yang sentiasa berada di belakang mereka setiap kali beraksi, jurulatih Rosman Razak.

“Sejak mengambil alih tugas membimbing gandingan itu, Rosman menunjukkan prestasi cemerlang, dan usaha kerasnya turut dihargai menerusi kenaikan gaji yang diumumkan di bawah program Road To Gold pada Jun lalu.

“Pencapaian Rosman bersama Pearly-Thinaah membuktikan Malaysia mempunyai jurulatih berkualiti tinggi, dan mereka wajar diberikan pengiktirafan serta ganjaran setimpal dengan kemampuan mereka.

“Saya teruja untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan daripada tiga individu ini yang benar-benar mencerminkan bakat, kerja keras dan perpaduan anak Malaysia,” katanya.

Pada aksi final semalam, Pearly-Thinaah menumbangkan wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.

Selain Masters Jepun, Pearly-Thinaah juga berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland selain muncul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun serta di Kejohanan Dunia 2025 dekat Paris, Ogos lalu.

Ketika ini, Pearly-Thinaah akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk Sukan Sea di Thailand (7-14 Disember) dan ke Jelajah Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember.