Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Latihan bersama RTG–BAM dijangka lonjakkan badminton negara

Kuala Lumpur: Program Road To Gold (RTG) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini berada pada fasa akhir perbincangan untuk mewujudkan latihan bersama bagi memastikan prestasi atlet di bawah jagaan BAM dan pemain profesional benar-benar berada pada tahap tertinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau mahu semua atlet badminton yang berada dalam RTG dapat memberikan persembahan cemerlang di setiap kejohanan yang disertai dan sebab itu latihan bersama dilihat sebagai salah satu cara membantu mereka.

Katanya, untuk merealisasikan perkara itu, RTG dan BAM perlu mencari tarikh yang sesuai kerana pemain badminton sentiasa terikat dengan kejohanan di luar negara hampir setiap minggu.

“Saya mahu RTG memastikan atlet profesional, bebas dan atlet BAM mempunyai masa untuk berlatih bersama dan sekiranya tidak, saya rasa daya saing menurun.

“Jadi, kita minta sesi latihan bersama dibuat. Sebelum Paris (Sukan Olimpik), kita luluskan rakan sepelatih RTG tetapi sebenarnya rakan sepelatih itu sudah ada dalam negara sekiranya atlet profesional dan BAM bekerjasama.

“RTG sedang menyediakan ekosistem itu dan sedang berbincang dengan BAM,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian penajaan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Corporate Hero Century Sdn Bhd (PACE).

Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

Selain itu, Hannah menjelaskan hanya atlet yang berada dalam RTG sahaja akan memperoleh manfaat berkenaan kerana beliau mahu mereka menggunakan peluang itu untuk mendapatkan rakan sepelatih yang sama kuat.

“Hanya atlet RTG sahaja kerana kita tahu ranking mereka hampir sama, dan kita mahu mereka menggunakan peluang ini untuk berlatih bersama-sama agar dapat meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, atlet BAM yang berada dalam RTG ketika ini ialah beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Man Wei Chong–Tee Kai Wun (lima dunia), beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah (dua dunia) dan beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei (empat dunia).

Sementara itu, atlet profesional pula termasuk beregu lelaki, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (empat dunia) dan beregu campuran yang juga suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai (sembilan dunia).