Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara optimis mampu menampilkan persembahan cemerlang untuk memburu kedudukan terbaik pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita (JWC) 2025 yang akan berlangsung di Santiago, Chile bermula 1 hingga 13 Disember ini.
Pengurus pasukan wanita negara, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samat berkata, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan pemain yang kini semakin matang hasil persiapan rapi serta pengalaman menentang kelab Jiangsu dari China baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek motivasi menjadi keutamaan dalam memastikan moral pemain berada pada tahap terbaik sepanjang kempen Piala Dunia itu.
“Saya berharap pemain-pemain dapat bermain dengan baik setelah sekian lama berlatih. Baru-baru ini mereka didedahkan dengan pengalaman bermain bersama kelab Jiangsu China.
“Jadi ia adalah bekalan yang sedikit sebanyak boleh membantu mereka di Santiago nanti. Saya juga berharap pasukan dapat ke pusingan kedua dan seterusnya. Melihat kepada semangat yang dipamerkan, saya percaya mereka boleh berbuat demikian.
“Saya juga sudah beritahu mereka agar buktikan sesuatu dan cipta sejarah di JWC ini kerana selama ini tiada siapa yang memberi harapan kepada pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih, Lailin Abu Hassan mengakui cabaran di Kumpulan A bukan tugas mudah apabila berdepan tiga pasukan gergasi dunia seperti Chile, Jepun dan Belanda.
“Jika dilihat secara realistik pada kumpulan kita di JWC ini, ada Belanda juara bertahan, Chile tuan rumah dan Jepun tempat ketujuh pada edisi lepas. Jadi memang sangat sukar untuk kita lepasi peringkat kumpulan.
“Memandangkan pasukan kita kurang pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, saya mensasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik di JWC 2025,” katanya.
Young Tigress bakal membuka kempen sulung mereka dengan pertembungan mencabar menentang Jepun pada 2 Disember, jam 2.45 pagi waktu Malaysia.
Dua hari kemudian, skuad remaja wanita negara dijadualkan bertemu tuan rumah, Chile pada jam 7.15 pagi, sebelum menutup saingan kumpulan menentang juara bertahan, Belanda pada 6 Disember (2.45 pagi).
