Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan atlet negara yang akan bersaing di Songkhla pada Sukan Sea Thailand bulan depan akan bergerak menggunakan jalan darat iaitu menaiki bas.
Menurut Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, setiap atlet akan bergerak secara berperingkat berdasarkan tarikh pertandingan sukan masing-masing dan bagi mengelakkan keletihan, mereka akan bergerak tiga hari lebih awal dari Kuala Lumpur.
Tambah Jefri, bagi memastikan perjalanan atlet berjalan lancar tanpa sebarang masalah, MSN mengambil beberapa langkah seperti mengadakan pertemuan dengan pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), konsulat Malaysia di Songkhla dan pihak Imigresen Malaysia.
“Antara isu yang dibangkitkan ialah masa perjalanan dan keperluan untuk tempoh rehat yang lebih panjang.
“Jadi, bagi Songkhla, memandangkan ia berhampiran sempadan, kami telah mengadakan perbincangan dengan konsulat di Thailand, UUM dan juga Imigresen bagi memudahkan proses berkenaan.
“Mereka akan bermalam satu malam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla dalam keadaan yang lebih segar berbanding laluan biasa yang mungkin mengambil masa lebih lama.
“Itulah sebabnya kami menggunakan perjalanan darat hanya untuk Songkhla. Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam dari sini dan dari sempadan, ia kira-kira satu jam setengah,” katanya.
Antara sukan yang akan berlangsung di Songkhla ialah catur, judo, karate, muay thai, pencak silat, gusti, wushu, bola sepak dan futsal.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan sasaran pingat pada Sukan Sea Thailand kekal seperti temasya sebelum ini iaitu sasaran tanpa warna kerana ia dapat mengurangkan tekanan tinggi kepada atlet yang bertanding.
Menurut Hannah, beliau lebih mengambil pandangan daripada pakar di Nippon Sport Science University (NSSU) di Jepun kerana mereka menghasilkan 40 pingat emas Olimpik.
“Kami menggunakan formula ini ketika Sukan Asia 2022 di Hangzhou dan ia diterima baik oleh semua atlet yang bertanding kerana sebelum ini, mereka merasakan hanya mereka yang membawa pulang pingat emas diraikan oleh kerajaan.
“Namun, dengan sasaran pingat keseluruhan, atlet yang membawa pulang pingat gangsa juga merasakan mereka adalah penyumbang kepada usaha pasukan,” katanya.
