Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berdepan cabaran sukar apabila dijadualkan menentang juara dua kali Sukan Olimpik, Viktor Axelsen di pusingan pertama Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne, bermula esok.
Pertemuan itu bakal menjadi ujian getir buat Jun Hao yang tewas kepada pemain Denmark itu dalam pertemuan tunggal mereka di Terbuka Singapura, tahun lalu.
Bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, Jun Hao perlu menampilkan aksi terbaik dan lebih bertenaga terutama selepas prestasinya dalam beberapa kejohanan utama musim ini masih belum konsisten.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, pihaknya sudah meneliti aspek taktikal dan teknikal bagi membantu anak buahnya itu memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Untuk aksi Terbuka Perancis, kami memberi tumpuan untuk memperbaiki beberapa perkara yang sudah dikenal pasti hasil daripada perlawanan di Terbuka Denmark.
“Berdepan Viktor (Axelsen) adalah satu tugas besar. Oleh itu, Jun Hao perlu konsisten dan beri tumpuan sepenuhnya jika mahu melangkah pusingan seterusnya,” katanya.
Tambah Jonassen, kekalahan Jun Hao kepada Li Shi Feng di Terbuka Denmark, minggu lalu menjadi pengajaran penting dalam usaha memperkemas strategi permainan.
“Kami tidak benar-benar berjaya memberikan tekanan kepada Shi Feng sebelum ini sehingga dia mengawal sepenuhnya tempo dan permainan.
“Kesilapan sendiri turut menamatkan peluang Jun Hao,” ujarnya.
Di Terbuka Denmark, bekas juara remaja Asia itu terkandas di pusingan pertama selepas tewas 13-21, 16-21 dalam tempoh 45 minit kepada Shi Feng yang kini berada dalam prestasi terbaik.
Bagaimanapun, peluang tetap ada buat Jun Hao untuk mencipta kejutan, lebih-lebih lagi Axelsen baru sahaja pulih daripada pembedahan belakang yang dijalaninya pada April lalu dan mungkin masih mencari rentak permainan terbaiknya.
Secara keseluruhan, musim ini menyaksikan Jun Hao hanya dua kali mara ke suku akhir di Terbuka Singapura pada Jun lalu dan Terbuka Hong Kong bulan lalu.
Namun, kejohanan di Perancis ini boleh menjadi pentas kebangkitan buat pemain berusia 24 tahun itu.
