Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoe Yean, Ariana jadi tumpuan ASWP

Kuala Lumpur: Perenang kebangsaan, Khiew Hoe Yean menjadi tumpuan utama menjelang Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya, Khamis ini.

Pemenang dua pingat emas Sukan Sea itu disenarai pendek bagi kategori Olahragawan Wilayah Persekutuan, bersama dua lagi atlet kebangsaan iaitu pemanah Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan penerjun negara Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim.

Sementara itu, kategori Olahragawati Wilayah Persekutuan pula menampilkan tiga calon hebat membabitkan pemanah elit kebangsaan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, juara dunia boling padang 2023 Nur Ain Nabilah Tarmizi, dan atlet muda wushu berbakat besar, Kwan Yong Xin.

Dalam kategori Olahragawan Harapan Wilayah Persekutuan, saingan dijangka sengit antara Muhammad Dhuha Zulfikry (renang) yang dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA Sarawak 2024, pemain skuasy Joachim Chuah, serta atlet lawan pedang Jesaiah Lyshant Rabindranath.

Bagi kategori Olahragawati Harapan, tiga nama yang bakal mencuri perhatian ialah atlet gimrama Cassidy Tan, perenang Chong Xin Lin, dan penerjun muda Lee Yiat Qing.

Pemenang bagi gelaran Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 beserta piala pusingan, manakala penerima bagi kategori Harapan akan menerima RM5,000 setiap seorang.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh, berkata pemilihan calon dibuat dengan teliti oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan ASWP yang terdiri daripada profesional berpengalaman luas dalam pelbagai bidang sukan.

“Wilayah Persekutuan antara penyumbang utama atlet negara, dan tahun ini barisan calon kita benar-benar berkualiti serta berdaya saing,” katanya.

“Kejayaan yang diraih bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi, tetapi juga simbol semangat juang dan disiplin tinggi atlet Wilayah Persekutuan. Saya berharap ia menjadi pemangkin untuk mereka terus mengharumkan nama Wilayah dan negara.”

Majlis ASWP diadakan setiap dua tahun sekali sebagai pengiktirafan kepada atlet kelahiran Wilayah Persekutuan yang berjaya cemerlang di pentas kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus menjadi platform penting menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan sukan negara.