Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN tekad hantar kontinjen terkuat

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan tidak timbul isu sekiranya persatuan sukan kebangsaan menyenaraikan atlet bergelar juara dunia ke temasya Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini kerana Malaysia sememangnya mahu menghantar skuad terkuat.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, langkah itu juga sebahagian persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

“Pada edisi 2022 di Vietnam, kita hantar 52 peratus atlet muda. Di Kemboja pula menjadi penampilan kedua mereka, dan kali ini penampilan ketiga. Jadi, mereka sudah ada pengalaman di pentas Sukan SEA.

“Kali ini kita akan hantar yang terbaik kerana kita mahu jadi yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penaja Le Tour de Langkawi, hari ini.

Jefri menjelaskan, siri perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan sudah diadakan sebelum tarikh tutup pendaftaran atlet dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 1 September lalu.

“Mana-mana persatuan yang mendaftar, saya percaya mereka menurunkan atlet terbaik masing-masing. Contohnya badminton dan boling, walaupun baru tamat Kejohanan Dunia 10 hari sebelum itu, tetap akan membawa pasukan terkuat,” katanya.

Menyentuh sasaran pingat, Jefri optimis Malaysia mempunyai peluang lebih baik berbanding edisi Kemboja 2023 yang menyenaraikan banyak acara tradisional tempatan.

“Di Kemboja, kita memang tiada kekuatan kerana acara dipertandingkan berteraskan sukan tradisional negara itu.

“Kali ini, Thailand, Malaysia dan Singapura sudah bersetuju mempertandingkan acara bertaraf Olimpik dan Asia. Contohnya skuasy, boling padang dan boling. Jadi, kita harap ia beri peluang lebih cerah,” katanya.