Kuala Lumpur: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akan menjadi medan penting dalam misi pencarian bakat baharu sukan tinju negara sebagai persiapan jangka panjang bagi menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.
Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata pihaknya sedang menyusun pelan pembangunan jangka panjang bagi mengenal pasti dan membentuk atlet muda yang berpotensi menyerlah di kejohanan berprestij seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik.
“Kita sedang menyusun dari segi latihan dan kejohanan untuk kita mencari bakat sebenar yang boleh menonjol dan memenangi pingat di peringkat antarabangsa seperti Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
“Jadi Sukma 2026 penting kerana menampilkan bakat baharu, khususnya atlet berusia 17 hingga 18 tahun. Jika mereka berjaya di Sukma, enam tahun kemudian mereka berusia 24, jadi kita ada tempoh mencukupi untuk membentuk mereka ke tahap tertinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Mohamad Iruan, hasrat itu telah disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini.
Sukma 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata PTM turut mengemukakan cadangan bajet tambahan tahun depan bagi menaik taraf pusat latihan tinju di negeri-negeri.
“Ketika ini kita ada 13 pusat tinju negeri, setiap negeri satu pusat. Kita harap dengan sokongan bajet tambahan dapat memberi manfaat kepada pusat latihan termasuk dengan kelengkapan baharu seperti gelanggang (ring) yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, Mohamad Iruan memaklumkan skuad tinju negara bakal menghantar enam atlet ke Sukan Sea 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Katanya, tiga atlet akan bertanding di bawah kategori A sementara tiga lagi dalam kategori B dan proses pemilihan masih berjalan.
“Pemilihan atlet dibuat sepenuhnya ketua jurulatih tanpa sebarang campur tangan daripada persatuan,” tambah beliau yang optimis Malaysia mampu melakar pencapaian membanggakan di temasya dwitahunan itu.