Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KHM puas hati prestasi Sarjit, Speedy Tigers perlu lebih garang

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh yang dilihat mampu memberi saingan kepada pasukan terbaik dunia dalam setiap perlawanan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, persembahan ditampilkan anak buah Sarjit boleh dikatakan cemerlang, namun terdapat beberapa aspek yang merencatkan peluang Malaysia untuk mencatat kemenangan iaitu prestasi pemain negara itu sendiri, termasuk di kejohanan Piala Negara-Negara, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk memastikan Malaysia mampu mencatat kemenangan dan melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan, pemain yang lebih berpengalaman perlu melakukan sesuatu agar skuad negara boleh tampil selaku pasukan digeruni selepas ini.

“Saya tengok pasukan Malaysia di bawah kendalian Sarjit, mereka boleh main dan mampu menandingi mana-mana pasukan gergasi dunia. Masalahnya adalah masalah sama iaitu nak mengekalkan kelebihan ketika mendahului permainan.

“Situasi sama terjadi ketika berdepan New Zealand, kita mendahului 3-0, tetapi kesilapan sendiri, pemain kita kena kad dan kena duduk di luar. Kalau dikira jumlah masa keseluruhan, 17 minit.

“Bukan mudah bermain tanpa pemain yang mencukupi (di dalam padang) apabila menentang pasukan terkuat dunia.

“Jadi, bagi saya, ini bukan tentang jurulatih, tapi mengenai pemain. Kalau kita nak bergerak ke hadapan, pemain perlu mainkan peranan di atas padang.

“Semua orang ada peranan, tetapi akhirnya yang menentukan sama ada pasukan menang atau kalah adalah pemain itu sendiri terutama pemain senior yang sudah lama bersama pasukan.

“Mereka inilah yang perlu memainkan peranan penting. Jangan sampai mereka pula yang menggadaikan nasib pasukan,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selain itu, Subahan melihat Speedy Tigers mampu tampil dengan lebih garang sekiranya permasalahan berkenaan dapat diatasi dengan baik, sekali gus menjadi pencabar utama kepada negara yang berada di kedudukan lebih baik.

“Situasi sama terjadi ketika menentang Sepanyol (Piala Dunia 2023) dan tewas menerusi penalti shoot-out apabila kita kurang bernasib baik.

“Jadi, kalau kita lihat banyak perlawanan Malaysia, sebenarnya bukannya kita tak mampu capai kejayaan.

“Tapi, paling penting sekarang ialah supaya pasukan tahu apa yang perlu dilakukan untuk menang. Inilah perkara yang saya sendiri masih cuba cari formulanya,” katanya.