Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sofea Aressa juara Muay Thai Antarabangsa

Seremban: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Sofea Aressa Mohamad Hairul membuktikan kehebatannya apabila berjaya menewaskan atlet dari China, Victoria Blicze, pada Cabaran Muay Thai Antarabangsa Negeri Sembilan 2025, yang berlangsung di Sri Sendayan, kelmarin.

Atlet berusia 16 tahun itu mengenepikan cabaran lawan dengan keputusan 3-0, bagi kategori 54/57 kilogram (kg) untuk membawa pulang hadiah trofi, medal dan wang tunai RM400.

“Saya diberikan tentangan sengit oleh Blicze sepanjang pertarungan, namun dapat bertahan dan mengawal keadaan gelanggang dengan baik hingga berjaya menewaskan dia dengan mata 3-0.

“Ini kemenangan peringkat profesional pertama yang saya menangi sejak terbabit dalam sukan muay thai lima tahun lalu.

“Kejayaan ini begitu bermakna kerana permulaan yang baik bagi saya tahun ini. Saya akan terus berlatih dengan gigih bagi menghadapi cabaran lain selepas ini,” kata Sofea Aressa, yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama Johor Bahru.

Atlet kebangsaan itu yang merangkul pingat gangsa pada Sukma yang lalu menjelaskan, fokusnya selepas ini adalah menghadapi kejohanan muay thai kebangsaan, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.

Dia yang akan beraksi bagi kategori 51/54 kg, berazam untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu dan kemenangan di kejohanan kelmarin, memberikan keyakinan yang tinggi untuknya memperagakan aksi terbaik.

“Kejohanan kebangsaan kali ini dijangka lebih mencabar kerana setiap atlet bakal memperagakan aksi terbaik berikutan persatuan akan menilai prestasi bagi memilih mereka yang layak mewakili negara ke Sukan SEA Bangkok, hujung tahun ini.

“Oleh itu, saya perlu mengekalkan prestasi terbaik ini bagi mempertahankan kejuaraan peringkat kebangsaan dan sudah tentu tidak mahu tercicir peluang mewakili negara di Sukan SEA,” katanya yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Negeri Johor.

Terdahulu, Cabaran Muay Thai Antarabangsa Negeri Sembilan 2025 mencuri tumpuan apabila menyaksikan 10 pertarungan bertaraf antarabangsa membabitkan petarung antara profesional tempatan dan luar negara termasuk dari Thailand dan Jordan.