Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 2026

EAM sasar enam emas di Sukan Sea 2027

Kuala Lumpur: Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) ingin mengulangi pencapaian Sukan Sea 2017 apabila meletakkan sasaran enam pingat emas daripada 10 emas dipertandingkan di Sukan Sea Malaysia 2027.

Setiausaha Kehormat EAM, Datuk Yap Mou Soon berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu memandangkan Malaysia akan beraksi di tempat sendiri, sekali gus memberi kelebihan besar buat wakil negara.

Katanya, untuk temasya dwitahunan itu nanti, EAM akan mencadangkan tujuh acara untuk dipertandingkan iaitu show jumping (berpasukan dan individu), dressage (berpasukan dan individu), eventing (berpasukan dan individu) serta endurance.

“Bagi endurance, kami mencadangkan empat kategori iaitu terbuka individu dan berpasukan serta young rider individu dan berpasukan.

“Apapun, ini perbincangan asas untuk Sukan Sea 2027. Kita sudah tetapkan sasaran pingat selain merangka fasa latihan dan bantuan kewangan yang diperlukan. Seperti setiap penyertaan sebelum ini, kalau kita pergi bertanding, kita mahu bawa pulang pingat.

“Kali terakhir di Thailand, kita meraih emas dalam dressage dan perak dalam jumping. Jadi persatuan menetapkan sasaran enam emas untuk 2027,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu, skuad ekuestrian negara membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

KUNJUNGAN HORMAT FRIENDS OF MINISTRY (FOM) KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN KE MY ATHLETE CENTRE, MSN

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) hari ini menerima kunjungan hormat seramai 13 orang Yang Berhormat ke My Athlete Centre yang bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan tersebut dihadiri oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan serta Ahli-Ahli Friends of Ministry (FOM) Sesi 2026 Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

My Athlete Centre yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia merupakan inisiatif KBS menerusi MSN sebagai hab kesejahteraan holistik yang menyokong kesihatan mental, kebajikan serta perancangan kerjaya atlet negara.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

TTAM tagih ihsan MOM ke Sukan Asia

Kuala Lumpur: Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) mengharapkan ‘ihsan’ daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar mereka dapat menyertai Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.

Jurulatih pasukan ping pong negara, Beh Lee Wei berkata, penyertaan itu amat penting kerana ia menawarkan mata ranking dan sekali gus membuka peluang buat atlet negara bersaing dalam kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Kita tahu Sukan Komanwel Glasgow tidak ada ping pong. Jadi untuk Sukan Asia, kita berharap pasukan ping pong dapat beraksi dalam pertandingan ini.

“Tapi apa pun, kita perlu tunggu pemilihan daripada MOM dan daripada situ kita akan tahu siapa yang akan terpilih atau sebaliknya,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Selain itu, Lee Wei turut menyatakan bahawa anak buahnya akan menyertai Kejohanan Ping Pong Dunia pada April di London dan Kejohanan Ping Pong Komanwel pada Julai di India, yang turut menawarkan mata ranking buat pasukan yang bertanding.

“Untuk dapatkan medal itu kita akan cuba. Tapi kalau tengok pada pasukan yang bertanding, rasanya memang kita kena pergi sebab mata ranking itu amat penting untuk pemain kita.

“Kalau bandingkan dengan Singapura, mata ranking kita agak kurang termasuk dari segi pendedahan dalam mana-mana pertandingan,” katanya.

PSM rombak skuad, senarai 6 muka baharu

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyenaraikan enam muka baharu daripada keseluruhan 21 pemain bagi skuad lelaki yang akan berada dalam Program Podium 2026 untuk menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dan Sukan Asia Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.

Antara muka baharu itu ialah Muhammad Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Zin (tekong) serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi selaku apit kanan.

Selain itu, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa pula akan beraksi sebagai pengumpan bagi memberi saingan kepada pemain senior sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, pemilihan dibuat oleh barisan kejurulatihan kebangsaan bersama Jawatankuasa Teknikal PSM secara profesional dan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pemilihan akhir pasukan sepak takraw kebangsaan (lelaki dan wanita) adalah berdasarkan penilaian yang merangkumi aspek prestasi semasa, konsistensi permainan, tahap kecergasan fizikal, disiplin latihan, komitmen terhadap program pusat serta kesesuaian taktikal mengikut keperluan acara yang dipertandingkan.

“Terdapat beberapa pemain baharu yang dibawa masuk ke dalam pasukan Sepaktakraw Kebangsaan pada tahun ini selepas menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan domestik,” katanya.

Sementara itu, bagi pasukan wanita, empat pemain baharu dibawa masuk untuk melengkapkan senarai akhir 12 pemain bagi Program Podium tahun ini.

“PSM turut mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan khidmat seorang pakar perunding dari Thailand bagi memperkukuh dan meningkatkan tahap permainan skuad wanita kebangsaan,” katanya.