Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 2025

KBS henti guna dana kerajaan selenggara fasiliti persendirian

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian, tegas Menterinya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal yang sebelum ini menjadi trend.

“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad.

“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat persetujuan rasmi terlebih dahulu, manakala pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan terdapat kes sebelum ini di mana kerajaan negeri enggan menerima fasiliti yang telah dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara telah dilupus dan dirobohkan sejak 2021.

Menurut beliau, pelupusan itu melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.

Hoe Yean fokus Sukan Universiti Dunia

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean melihat kejayaan meraih beberapa pingat emas di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 sebagai persiapan terbaik menghadapi Sukan Universiti Dunia 2025 di Rhine Ruhr, Jerman yang akan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai depan.

Jelas Hoe Yean, kejohanan itu juga membolehkan dia menguji beberapa aspek teknikal dan dari situ, dirinya dapat melihat kembali apa kekurangan yang perlu dibaiki sebelum kejohanan utama berlangsung.

“Saya melihat kejohanan ini adalah ujian terbaik untuk kami sebagai persiapan menjelang Kejohanan Universiti Dunia dan juga Kejohanan Akuatik Dunia (Ogos) selepas ini.

“Melalui pertandingan ini, ia memberi peluang untuk kami melihat kembali dan melakukan perbincangan agar dapat memperbaiki segera beberapa aspek lain demi kebaikan dalam renang,” katanya.

Pada kejohanan Universiti Dunia itu nanti, perenang berusia 23 tahun itu akan mewakili Universiti UCSI dan sudah pasti, momentum terbaik yang ada ketika ini bakal menjadi tonik tambahan buat dirinya.

Mengikut rekod statistik daripada Akuatik Dunia, Hoe Yean kini memegang rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas (3:42.37s), 200m kuak lentang (01:56.55s) dan beberapa acara lain lagi.

Terdahulu, Kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil semalam menyaksikan dirinya yang mewakili Kuala Lumpur berjaya menambah tiga lagi pingat emas dalam acara 400 meter (m) gaya bebas, 200m kuak lentang dan membantu kuartet 4x200m gaya bebas.

Faizal kekal bersara, namun sedia pertimbangkan keputusan itu

Kuala Terengganu: Bekas penyerang sensasi pasukan hoki kebangsaan, Faizal Saari kekal dengan keputusannya untuk bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang membantu skuad itu merangkul juara treble dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) pada tahun ini sedia mempertimbangkan keputusan itu.

“Buat masa ini saya mengambil pendirian untuk kekal dengan keputusan bersara terlebih dahulu daripada bermain bersama skuad negara di peringkat antarabangasa.

“Lagipun baharu dua bulan keputusan ini (bersara daripada mewakili pasukan negara) diambil, jadi saya mahu menikmati persaraan ini bersama keluarga terlebih dahulu.

“Bagaimanapun sekiranya jurulatih kebangsaan (Sarjit Singh) menelefon saya, apa-apa saya akan cuba pertimbangkannya, tapi buat masa sekarang saya tidak mahu fikir tentang perkara itu (kembali bersama pasukan negara),” katanya selepas mengendalikan klinik hoki di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), Kuala Terengganu, malam tadi.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas membantu THT merangkul tiga kejuaraan MFL 2025 pada Februari lalu.

Keputusan yang dibuat pemain berusia 34 tahun itu selepas meraih 302 penampilan dalam tempoh 15 tahun mewakili negara sejak kali pertama dipanggil ke skuad kebangsaan ketika berusia 18 tahun, namun dia menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL dan Piala Tun Razak.

Mengulas mengenai perkembangan terkininya, abang kepada pemain tengah kebangsaan, Fitri itu menjelaskan dia kini fokus dalam persiapan untuk mengendalikan akademinya.

“Sekarang saya mahu tumpu kepada latihan klinik hoki selain jemputan daripada sekolah dan Akademi Faizal Saari bawah 16 tahun di Pandamaran, Klang yang bakal bermula bulan depan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun menyambut baik jika pemain itu kembali mewarnai pasukan kebangsaan.

“Faizal masih layak digelar penyerang nombor satu kebangsaan, jadi jika dia kembali sudah pasti mampu memperkuatkan pasukan Speedy Tigers,” katanya.

Skuad badminton sedia gegar Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Skuad badminton negara kini sudah bersedia untuk memulakan perjuangan dalam saingan Piala Sudirman dan menjadikan Perancis sebagai mangsa pertama dalam aksi sulung Kumpulan C, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, mereka sudah merangka beberapa strategi serta perancangan terbaik untuk digunakan untuk bertemu lawan dalam usaha memastikan Malaysia boleh mencatat semua keputusan positif.

Selain itu, setiap anggota pasukan sudah diberikan tugasan masing-masing bagi memastikan setiap pemain yang diberikan peranan untuk beraksi mampu memberikan persembahan cemerlang.

“Dalam pasukan, kita ada fisioterapi, tukang urut sukan (sport masseur), jurulatih kecergasan dan penganalisis video. Kebanyakannya kita sesuaikan dengan keperluan pemain.

“Semua barisan jurulatih juga sudah mengadakan perbincangan bagi perlawanan pertama menentang Perancis, kedua Australia dan ketiga Jepun. Kami sudah berbincang sebaik mungkin dan mesyuarat akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Jadi, perkara pertama yang kita tekankan kepada pemain ialah motivasi, fokus dan juga kondisi fizikal agar mereka berada di tahap terbaik,” katanya.

Selain itu, sebaik sahaja tiba di Xiamen, China, setiap pemain berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan menjalani latihan di gelanggang bagi mendapatkan momentum sebelum memulakan aksi peringkat kumpulan.

Sebagai makluman, Malaysia membariskan pemain terbaik serta berpengalaman seperti beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Turut disenaraikan ialah Justin Hoh (perseorangan lelaki), K Letshanaa dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).

Selepas menentang Perancis, Malaysia akan bertemu Australia (29 April) dan pencabar utama Malaysia dalam peringkat kumpulan, Jepun (1 Mei).

Azeem cipta sensasi di bumi Amerika Syarikat

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan peningkatan dalam larian apabila kali ini muncul juara acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Tiger Track Classic di Auburn, Amerika Syarikat, hari ini.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn berjaya membuktikan dirinya ketika ini berada di tahap terbaik selepas menjadi orang pertama melepasi garisan penamat dengan catatan 10.28 saat (s), sekali gus mengecewakan pesaing utamanya, Brody Buffington dari Georgia yang menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 10.29s.

Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi rakan sepasukan Brody, Micah Larry yang mencatat masa 10.32s.

Kemenangan itu juga membolehkan Azeem memperbaharui masa terbaik untuk musim ini, 10.33s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Florida, Amerika Syarikat pada 19 April lalu.

Bagi Azeem, dirinya semakin percaya mampu menampilkan prestasi yang lebih baik, terutama untuk mendapatkan catatan masa di bawah 10 saat.

“Ia akan datang,” tulis Azeem ringkas di Instagram miliknya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Robert J Ballard melihat prestasi semasa pelari kelahiran Perak itu amat bagus dan percaya Azeem mampu mencatatkan masa yang lebih baik pada kejohanan akan datang.

“Adalah satu perkara yang baik melihat Azeem mencatatkan masa terbaik musim ini walaupun berlari dalam keadaan angin melawan -0.9s.

“Selepas ini, Azeem dijadualkan akan bertanding sekali lagi di Kejohanan TSU (Tennessee) minggu hadapan,” katanya.

9TH MARRAKECH 2025 WORLD PARA ATHLETICS GRAND PRIX

Tempat : Marrakech, Morocco

Tarikh : 21-26 April 2025

RUMUSAN KEPUTUSAN

🥇

1. Muhammad Ziyad Zolkefli (Shot Put F20)

2. ⁠⁠Wong Kar Gee (Long Jump T12)

3. ⁠Badrul Hisam Musa (Shot Put F13)

4. ⁠Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi (100m T12) – Pelapis Kebangsaan

🥈

1. Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (100m T12)

2. ⁠Mohd Shahmil Md Saad (Shot Put F56)

3. ⁠Muhammad Amirul Alif Abdul Raof (Discus F55)

4. ⁠Muhammad Faiz Haizat Rosdi (1500m T38)

5. ⁠Ahmad Fizzi Rosni (400m T36)

🥉

1. Zulkifly Abdullah (Long Jump T20)

2. Mohamad Saifuddin Ishak (Long Jump T12)

3. ⁠Aliff Shafiq Muhamad (Discus F57) – Pelapis Kebangsaan

LAWATAN KERJA KOMPLEKS SUKAN BUKIT MERBAU SERTA KUNJUNGAN HORMAT YBHG. DATO’ KSU KBS BERTEMU YBM TENGKU KAYA PERKASA DATO’ DR. TENGKU MOHAMED FAZIHARUDEAN BIN TENGKU FEISSAL, SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KELANTAN

YBhg. Dato’ Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS telah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Sukan Bukit Merbau bagi meninjau kemajuan pembangunan infrastruktur gelanggang-gelanggang SUKMA 2028 di Kelantan.

Kunjungan ini turut disusuli dengan sesi kunjungan hormat ke atas YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN dan Encik Mohd Raizal Muhamat Yaakop, Pengarah Bahagian Fasiliti Sukan MSN.

KURSUS LATIHAN PEGAWAI PELINDUNG SUKAN 2025 (SINGAPURA)

Dalam usaha mengukuhkan lagi pemahaman dan penggunaan Kod Sukan Selamat, Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Bahagian Atlet dan Bahagian Para telah menghadiri Safeguarding Officer Training Course 2025 anjuran Safe Sport Singapore di Singapura pada 21 dan 22 April 2025.

Kursus ini telah dihadiri oleh Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin, ahli Lembaga Pengurusan MSN yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Salahlaku dan Perlindungan dalam Sukan (JSPS), YBhg. Datuk Shalin Zulkifli, Ketua Sekretariat MACE) serta lima (5) orang pegawai MSN.

Kursus ini terdiri daripada tiga (3) komponen utama, iaitu:

1. Pembelajaran E-Learning yang dijalankan secara dalam talian seminggu sebelum tarikh kursus, peserta perlu melengkapkan modul E-Learning dan menjawab ujian secara kendiri.

2. Pembelajaran Kelas Atas Talian (Online Class Learning) telah dilaksanakan selama empat (4) jam. Sesi ini memberi tumpuan kepada teori dan protokol berkaitan perlindungan sukan. Para pegawai dari MSN telah menjalankan modul ini secara berkumpulan di National Youth Sport Institute Singapore (NYSI), yang turut menjadi pusat operasi Safe Sport Singapore Commision.

3. Pembelajaran Fizikal (Physical Learning) di mana modul ini mengambil masa selama enam (6) jam dan memberi penekanan kepada aspek praktikal seperti teknik temu ramah mangsa, pengurusan kes aduan, tindak balas trauma (trauma response) dan juga cara mengawal tekanan emosi dari mangsa.

Para peserta kursus juga diberi peluang melawat kemudahan Athlete Centre berdekatan Kallang Wave Mall oleh wakil Sport Singapore (SportSG) dan Safe Sport Singapore. Dr. Yatela berkesempatan untuk berjumpa dengan Madam Chan Yen San, Pengerusi Safe Sport Commision Singapore dan Lembaga Sport Singapore.

PROGRAM SPORTS ICON TOUR 2025

Sekretariat Wanita Dalam Sukan -Cawangan Penggalakan Sukan hari ini mengadakan Program Sports Icon bagi tujuan perkongsian pengalaman bekas-bekas atlet negara sebagai motivasi dan inspirasi kepada atlet di bawah Program MSN.

Untuk siri pertama tahun 2025, Pn. Siow Lee Chan, pemenang pingat gangsa sukan powerlifting Temasya Paralimpik Beijing 2008 dipilih sebagai ikon untuk berkongsi pengalaman bersama atlet wanita Program Para di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan.

Di kesempatan itu juga, Ketua Cawangan Kepegawaian dan Kejurulatihan, Encik Shukri Harun turut menyampaikan taklimat berkaitan fungsi dan peranan Sekretariat Wanita Dalam Sukan atlet dan pegawai yang hadir.

PEMBEKALAN DAN PERKHIDMATAN BAIKPULIH PIALA SEMPENA MAJLIS ASN 2024

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030201 – CENDERAMATA DAN HADIAH

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/017/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBEKALAN DAN PERKHIDMATAN BAIKPULIH PIALA SEMPENA MAJLIS ASN 2024
TARIKH BUKA : 23 APRIL 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 2 MEI 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Pn. Suhaili Amnin Sallehuddin (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929820

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Majlis Sukan Negara Malaysia