Seksan gagal korek rahsia skuad takraw negara

KUALA LUMPUR: Tidak banyak rahsia yang dapat dikorek Seksan Tubtong daripada skuad sepak takraw kebangsaan meskipun sebelum ini dia diberi tanggungjawab sebagai perunding kepada pasukan negara dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang bermula Sabtu ini.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Februari lalu menagih kepakaran Seksan bagi membantu menaikkan mutu permainan beregu (double) negara, untuk tempoh tiga bulan, namun khidmatnya dihentikan lebih awal selepas Thailand menyenaraikan apit kiri itu ke saingan Piala Dunia.

Kapten pasukan sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam bagaimanapun tidak menganggap senario itu sebagai satu tekanan.

“Tidak.. ia bukan satu tekanan kepada kami kerana dia (Seksan) bukannya bersama pasukan kita sepenuh masa, bukan setiap hari.

“Sebenarnya, mungkin ada pemain lain yang lebih baik daripada Seksan kerana kami pernah bertemu pemain yang lebih baik daripadanya. Kehadiran dia dalam Thailand… kami akan atasi,” kata Farhan.

Malaysia akan membuka tirai saingan dalam acara regu menentang China dalam Kumpulan B, manakala Thailand berada dalam kumpulan A akan menentang Vietnam.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, undian awal menyaksikan skuad negara berjaya mengelak Thailand, membuka jalan buat Malaysia mencatat kejayaan besar kali ini.

Daripada tiga acara iaitu beregu, regu dan berpasukan, Farhan berkata, dia amat mengidam menjuarai acara berpasukan terutamanya selepas PSM menaja dan memperkenal trofi pusingan buat kali pertama.

“Kita bermain di laman sendiri, kita tuan rumah dan kami sebagai pemain tidak mahu menghampakan penyokong yang menyaksikan perlawanan.

“Skuad kali ini dibarisi muka-muka baharu yang mana kami sebagai pemain senior amat perlukan mereka.

“Kualiti kami dengan yang baharu tidak jauh berbeza melainkan pengalaman,” katanya.

Pada 25 April lalu, Thailand mengumumkan 12 pemain yang akan menggalas cabaran di Kuala Lumpur dan pasukan itu akan tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia berada dalam kumpulan B bersama China dan Brunei bagi acara regu, manakala dalam acara beregu, wakil negara berada dalam kumpulan A bersama Brunei dan Jepun.

Acara beregu dan regu akan bermula serentak pada Sabtu ini manakala acara berpasukan pula hanya bermula selepas berakhir dua acara itu.

Sementara dalam acara berpasukan, Malaysia berada dalam kumpulan C bersama Brunei dan Jepun, ketika Thailand berada dalam kumpulan B bersama China dan India.

Untuk rekod, penganjuran Piala Dunia 2024 adalah yang pertama menawarkan trofi Piala Dunia sebagai Piala Pusingan bagi acara berpasukan dan kejohanan ini juga akan memperkenalkan sistem 15 mata dengan satu servis.

Setiap pasukan yang bertanding dalam acara berpasukan akan diberi mata ranking buat kali pertama pada edisi tahun ini.-Berita Harian