Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 24, 2024

Jun Hao rujuk Zii Jia cara tumbangkan Ka Long

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berkata dia perlu melakukan sesuatu dalam usaha memberi mata kemenangan pasukan negara apabila turun pada perlawanan pertama menentang Hong Kong, Sabtu ini.

Katanya, apa yang akan dilakukan adalah cuba untuk mendapatkan ilmu dari jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia bagaimana cara terbaik untuk menjinakkan pemain Hong Kong yang kini berada di ranking ke-26, Ng Ka Long.

Bekas juara remaja Asia itu yang akan turun sebagai pemain perseorangan kedua dijangka akan berdepan Ka Long dan mereka tidak pernah bertemu di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Namun Zii Jia sudah berdepan Ka Long tujuh kali dan meraih tiga kemenangan termasuk dua pertemuan terakhir mereka di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu dan Masters Indonesia pada Januari lalu.

Justeru Jun Hao berkata dia akan mengorek ilmu dan memikirkan cara terbaik untuk menundukkan lawan itu.

“Skuad Piala Thomas negara kali ini lebih seimbang kerana kita mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

“Jadi saya mahu berikan yang terbaik untuk negara dan akan berusaha sehabis baik untuk memberikan mata.

“Saya akan bertemu dengan Zii Jia sebaik saja dia menyertai kem latihan negara nanti. Mungkin dia boleh bantu.

“Saya juga akan bincang dengan jurulatih untuk mencari strategi dan mengenai corak permainan Ka Long sebagai persiapan nanti,” katanya.

Terdahulu Zii Jia memilih untuk tidak bersama kem latihan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) minggu lalu kerana mempunyai program bersama jurulatihnya Wong Tat Meng.

Dia bagaimanapun dijangka akan bersama skuad negara setibanya di Chengdu hari ini.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.-Harian Metro

‘Jangan gentar turun beraksi’ – Mei Xing

Kuala Lumpur: Skuad Piala Uber negara sudah bersedia untuk turun mengibarkan cabaran dalam kempen Piala Uber di Chengdu, China, Sabtu ini.

Kapten pasukan, Teoh Mei Xing berkata, biarpun tiada sebarang harapan semua pemain perlu berani dan berikan yang terbaik.

Mei Xing yang dijadualkan bergandingan dengan Go Pei Kee, berkata, dia akan sentiasa membakar semangat rakan seperti mana ketika mereka menyanyikan lagu ‘Semangat Berpasukan’ sewaktu kem latihan pusat.

“Kami menyanyikan lagu itu setiap hari dan ia membantu meningkatkan semangat berpasukan kami.

“Pada awalnya, rakan sepasukan saya agak malu untuk menyanyikan lagu itu. Sebagai kapten, saya menunjukkan contoh saya menyanyi dengan kuat dan jelas, selepas galakan daripada saya pakar psikologi (Frederick Tan), mereka boleh hafal lirik dan menyanyi dengan kuat.

“Saya tegaskan kepada mereka, jika tidak berani untuk menyanyi, bagaimana mereka boleh bermain tanpa rasa gentar di dalam gelanggang nanti,” kata Mei Xing.

Tegasnya penyertaan di Piala Uber adalah medan terbaik untuk pemain muda yang membarisi skuad negara menimba pengalaman.

“Jangan gentar untuk memberi cabaran kepada pihak lawan. Hargai peluang yang dapat bila dapat bermain dalam Piala Uber ini.

“Ini bukan kejohanan kecil. Semua pemain handalan dunia turun. Jadi hargai peluang bagi beri yang terbaik,” katanya.

Pada kempen kali ini, skuad negara rata-ratanya dibarisi pemain muda dengan beregu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun, Siti Zulaikha Azmi, Tan Zhing Yi (21), Ho Lo Ee (21), Chan Wen Tse (19) dan Pei Kee (22) manakala perseorangan diketuai Goh Jin Wei (24) K. Letshanaa (20), Wong Ling Ching (20) dan Siti Nurshuhaini Azman (19).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka tirai saingan menentang Taiwan pada Ahad ini sebelum menentang Thailand keesokan harinya dan Australia pada 1 Mei.-Harian Metro

Peluang Azeem catat bawah 10s

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempunyai sekurang-kurangnya empat lagi kejohanan di Amerika Syarikat (AS) dalam usahanya memburu catatan masa di bawah 10s sekali gus layak secara merit ke temasya Olimpik Paris.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekali lagi akan turun beraksi Sabtu ini dalam acara 100 meter (m) di kejohanan LSY Invitational di Baton Rouge, Los Angeles.

Selepas itu dia dijadualkan beraksi di Kejohanan SEC di Gansville, Florida dari 9 hingga 11 Mei, NCAA Preliminaries, Lexington (22-25 Mei) dan Kejohanan NCAA, Eugene Orlando (5-8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14-16 Jun ini.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus memantau pencapaian Azeem dengan mana dia berpeluang cerah untuk layak ke Paris sama ada menerusi catatan masa atau berdasarkan kedudukan ranking sebelum penghujung Jun nanti.

Katanya, Azeem berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan rankingnya dengan muncul juara di Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini.

“Ada beberapa lagi kejohanan yang Azeem akan sertai dan kami harap Azeem akan berlari lebih pantas sebelum dia kembali ke Malaysia.

“10.31s yang dicatatnya baru-baru ini adalah satu isyarat yang baik apabila dia menunjukkan peningkatan berbanding catatan 10.44s yang dilakukan sebelum ini.

“Jadi, kami berharap apabila Azeem tamat kejohanan terakhir di Amerika Syarikat, dia boleh menyertai Terbuka Malaysia. Apapun, saya meletakkan harapan cukup tinggi Azeem mampu capai 10s di AS,” kata Ballard.

Sebagai rekod, pada Ahad lalu, Azeem melakar rekod peribadi terbaik tahun ini dengan mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu pada Kejohanan Tiger Track Classic di Alabama, AS.-Harian Metro

CADANGAN KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN LANDSKAP PEMBERSIHAN LUAR BANGUNAN, PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN,PENYEWAAN TONG RORO DAN PENYELENGGARAAN PADANG MEMANAH SECARA KONTRAK DI KOMPLEKS MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Sembilan serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221002 – MEMBERSIH KAWASAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/018/2023 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : CADANGAN KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN LANDSKAP PEMBERSIHAN LUAR BANGUNAN, PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN,PENYEWAAN TONG RORO DAN PENYELENGGARAAN PADANG MEMANAH SECARA KONTRAK DI KOMPLEKS MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
TARIKH BUKA : 24 APRIL 2024 (RABU)
TAKLIMAT : 26 APRIL 2024 (JUMAAT/9.00 PAGI)
& LAWATAN TAPAK DI KOMPLEKS MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN
TARIKH TUTUP : 3 MEI 2024 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender
Lobi Aras 1 (Belakang)
Bangunan Pentadbiran
Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Sukan Negara
57000 Bukit Jalil
Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Mohd Rizal Mohd Shukri ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929702

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

SEWAAN TAPAK SIRKIT, MEREMPUH HALANGAN, AKTIVITI TALI, MENARA FLYING FOX DAN ABSELLING SERTA OUTDOOR DI KOMPLEKS MSN SAUJANA ASAHAN, MELAKA-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Melaka, Negeri Sembilan Dan Johor serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221507 – PENYEWAAN DAN PENGURUSAN KEMUDAHAN AWAM/SUKAN
030401 – PERALATAN PERKHEMAHAN & AKTIVITI LUAR

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/023/2024 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : SEWAAN TAPAK SIRKIT, MEREMPUH HALANGAN, AKTIVITI TALI, MENARA FLYING FOX DAN ABSELLING SERTA OUTDOOR DI KOMPLEKS MSN SAUJANA ASAHAN, MELAKA
TARIKH BUKA : 24 APRIL 2024 (RABU)
LAWATAN TAPAK : 25 APRIL 2024 (KHAMIS)/10.00 PAGI
TARIKH TUTUP : 2 MEI 2024 (KHAMIS)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Encik Mohd Nashrul Mohd Hassan (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929771

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Peluang Azeem ke Paris masih terbuka

BIARPUN sukar, namun tidak mustahil buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganalisis Sukan, Zakaria Rahim berkata, peluang buat Azeem masih terbuka, namun pelari berusia 20 tahun itu perlu bekerja keras berganda ketika temasya tersebut berbaki 94 hari lagi.

Beliau berkata, berdasarkan catatan terbaik Azeem pada musim ini iaitu 10.31 saat (s) agak sukar buat pelari Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu layak secara merit ke Paris yang menetapkan syarat 10s.

“Kenyataan yang pedih, tapi ia satu kebenaran. Namun ini tak bermakna dia tak boleh capai langsung. Cuma Azeem perlu bekerja double-time untuk mencapainya.

“Hanya kerja keras semasa latihan dengan sistem diet yang tersusun mampu membantu Azeem. Setakat ini saingan di Universiti Auburn dan pada kejohanan-kejohanan di AS banyak membantu, tapi belum mencukupi.

“Peluang masih terbuka, hanya menunggu masa mendengar khabar gembira. Layak secara merit acara 100m Sukan Olimpik sudah satu pingat emas buat Malaysia. Semoga Azeem berjaya mencapai cita-citanya,” katanya.

Azeem pada Ahad melakar rekod peribadi terbaik tahun ini apabila mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu.

Catatan tersebut dibuat dalam Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama, AS pada Ahad.

Zakaria menjelaskan, Azeem mempunyai masa hingga 30 Jun untuk merekod catatan 10s yang berbaki lebih dua bulan menjelang temasya terbesar dunia itu.

“Untungnya apabila berada di AS, selain latihan yang lebih sistematik, di sana juga ada banyak kejohanan untuk dia berpeluang memperbaiki masa dari semasa ke semasa. Azeem perlu bekerja lebih keras lagi.

“Acara 100m lelaki pada Sukan Olimpik akan bermula pada 3 Ogos. Andai gagal layak secara merit dia masih berpeluang untuk bertanding di Paris secara wildcard.

“Namun dia kena melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu sebelum ke saringan awal. Bagi mengelak tersingkir di peringkat kelayakan, Azeem perlu tingkatkan kemampuan sekurang-kurang konsisten melakukan di bawah 10.1s,” katanya.-Sinar Harian

Proaktif perkasa Muay Thai

SUDAH tiba masanya sukan Muay Thai diperkasa bagi melahirkan lebih ramai jaguh berkualiti untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa.

Jurulatih Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Ridhwan Mat Zain berkata, biarpun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memainkan peranan mereka, namun ia belum mencukupi.

Beliau berkata, penglibatan lebih aktif dan mantap perlu disepadu melibatkan semua persatuan Muay Thai negeri yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM).

“KBS dan MSN wajar memainkan peranan untuk memaksimumkan kegiatan persatuan Muay Thai negeri. Ada persatuan negeri yang aktif dan ada sebaliknya. Jika semua memainkan peranan pada tahap maksimum pasti ramai lagi juara dapat kita lahirkan.

“Buat masa ini apa yang saya tahu kebanyakan latihan di kelab-kelab dan bukan di bawah persatuan negeri.

“Banyak bakat baharu yang lahir adalah dari kelab-kelab persendirian dan tidak mengikut saluran yang tepat sehingga kemajuan petinju itu terbantut dan kian tenggelam. Sepatutnya bakat mereka boleh diketengahkan lagi,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Atlet Muay Thai negara, Mohd Rifdean Masdor melakar sensasi apabila menumpaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai dengan pukulan Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Thailand bulan lalu.

Kemenangan menakjubkan itu diraih dalam masa 1 minit 18 saat pada pusingan pertama pada aksi ONE Championship di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.

Mohamad Ridhwan juga percaya masih ada lagi bakat terpendam yang menunggu masa untuk ‘meletup’ kerana mereka bukan sahaja mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri, tetapi memiliki ‘roh’.

“Sebagai bukti ramai jaguh kita telah menempa nama di luar negara.

Kejutan ini adalah baru sebahagian sahaja, sebab ramai lagi saya tengok bakat baharu yang amat berpotensi. Ia bukan sekadar ada bakat, tapi ada ‘jiwa,” katanya.

Justeru beliau berharap pemegang taruh dengan kerjasama PMM dan kelab-kelab Muay Thai dapat berganding bahu untuk lebih proaktif memantapkan sukan tersebut.

“Jika pihak berwajib dapat memperkasa dan membangunkan Muay Thai daripada pelbagai sudut termasuk pencarian bakat, aspek latihan dan pemberian insentif, saya percaya kita mampu menjadi negara yang digeruni di pentas dunia dalam sukan Muay Thai,” katanya.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia