Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 16, 2024

Korea Selatan ujian terakhir Speedy Tigers

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara akan mengadakan satu lagi aksi persahabatan bertemu Korea Selatan pada 2 Mei ini sebelum turun pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dua hari selepas itu.

Ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh bagaimanapun berkata, pemilihan 18 pemain tetap akan dilakukan selepas berakhir aksi persahabatan pertama bertemu New Zealand pada 1 Mei.

“Seperti sering saya katakan sebelum ini, setiap pemain ada peluang untuk bersaing merebut tempat sebab hanya 18 pemain akan terpilih dan dua pemain lagi dalam senarai menunggu sekiranya berlaku kecederaan,” katanya pada sesi latihan pertama skuad negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Ditanya adakah beliau sudah mempunyai bayangan pemain menjadi pilihannya, Sarjit berkata beliau perlu bersikap adil kepada semua pemain.

“Setiap pemain perlu fokus kepada sesi latihan dahulu yang masih berlangsung sebelum berehat selama dua hari bermula 26 April ini. Kemudian pada 28 April pasukan akan bergerak ke Ipoh,” katanya.

Menerusi senarai 30 pemain yang terpilih menjalani latihan fasa kedua, Sarjit membariskan rata-rata barisan pemain muda, malah enam pemain tidak pernah melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan, selain Korea dan New Zealand, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan turut bersaing bersama Kanada, Jepun dan Pakistan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.-Harian Metro

Uzbekistan ‘dugaan’ terbesar Harimau Muda

KUALA LUMPUR: Peminat ‘game’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang kini dikenali sebagai EA Sports FC 24 pasti sudah arif dengan darjah kesukaran bagi perlawanan bola sepak secara maya itu.

Secara umumnya, terdapat enam darjah kesukaran bermula dengan ‘Permulaan’, ‘Amatur’, ‘Semi Pro’, ‘Profesional’, ‘Kelas Dunia’ dan ‘Legenda’ yang mana memberikan tahap cabaran berbeza mengikut darjah kesukaran dipilih.

Jika konteks ini diterapkan buat skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23, skuad Harimau Muda dilihat memulakan kempen di Qatar pada darjah kesukaran tertinggi iaitu ‘Legenda’ apabila berdepan naib juara edisi lalu, Uzbekistan.

Kemudian, mereka akan mengharungi darjah kesukaran ‘Kelas Dunia’ menentang Vietnam yang mara sehingga ke suku akhir edisi lalu sebelum menutup kempen menentang pasukan yang dianggap lebih mudah iaitu Kuwait.

Uzbekistan jelas tampil dengan reputasi gah sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan D terutamanya selepas jurulatihnya, Timur Kapadze membawa 13 pemain dari skuad naib juara edisi 2022 bagi menghadapi kempen kali ini.

Antara yang dibawa adalah penjaring terbanyak bersama Piala Asia B-23 2022, Jasurbek Jaloliddinov (tiga gol) selain dua penyerangnya, Ulugbek Khoshimov dan Khusain Norchaev yang masing-masing meledak dua gol pada kempen di tempat sendiri itu.

Malah, beberapa tonggak pertahanan masih mendapat kepercayaan Kapadze seperti Saidamat Mirsaidov, MuhammadKodir Hamraliev, Alibek Davronov serta penjaga gol, Abduvakhid Nematov.

Melihat kepada senarai pemain dimiliki pasukan Asia Tengah ini, mereka dianggap sebagai antara pilihan untuk merangkul gelaran dan pasukan dengan kaliber seperti ini menjadi lawan pertama negara di Qatar.

Sementara itu, skuad negara di bawah bimbingan Juan Torres Garrido perlu bangkit dari ‘mimpi ngeri’ di Uzbekistan apabila mereka ‘bungkus’ seawal peringkat kumpulan dengan tiga kekalahan dan pulang tanpa sebarang mata.

Mereka dibolosi sembilan gol dan hanya satu gol berjaya dijaringkan oleh Mukhairi Ajmal Mahadi iaitu pada aksi pembukaan berdepan Korea Selatan yang berakhir dengan kekalahan 1-4.

‘Tragedi’ di Uzbekistan dua tahun lalu pastinya mematangkan beberapa pemain yang turut berada dalam skuad kali ini dan ‘gendang perang’ skuad Harimau Muda sudahpun dipalu.

Ini secara tidak langsung menandakan misi ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat skuad negara bermula secara rasminya, esok dan ayuh Harimau Muda, tunjukkan belangmu di tengah padang pasir!-Berita Harian

Wendy penerjun luar biasa – Norza

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap pencapaian mengagumkan atlet terjun negara Wendy Ng akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengekalkan dominasi Malaysia dalam sukan itu di pentas antarabangsa.

Semalam, menerusi akaun Instagram miliknya, atlet berusia 30 tahun itu mengumumkan persaraan setelah 20 tahun berkecimpung dalam sukan akuatik terjun.

Mohamad Norza yang menyifatkan Wendy sebagai penerjun luar biasa berkata kekosongan ditinggalkan atlet kelahiran Kuala Lumpur yang sudah tiga kali berada di pentas Olimpik itu, bakal membuka peluang kepada atlet muda untuk menyerlahkan potensi mereka.

“Kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lagi penerjun wanita yang luar biasa. Kami sangat menghargai sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang penglibatannya mengharumkan nama Malaysia

“Saya harap pencapaian Wendy akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan dominasi Malaysia dalam acara terjun. Cabaran ini buat pelapis untuk meningkatkan prestasi dan segera mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Wendy,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi MOM hari ini.

Penampilan sulung Wendy di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio de Janeiro dan Tokyo 2020.

Wendy juga mewakili Malaysia di temasya sukan utama seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA sepanjang 20 tahun penglibatannya.

Pencapaian Wendy juga tidak kurang hebatnya apabila memenangi keseluruhan tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan SEA, empat perak di Sukan Asia, satu perak di Sukan Komanwel dan Kejohanan Siri Dunia (empat gangsa) dan Grand Prix (tujuh emas, satu perak dan dua gangsa).

Terdahulu, ketika mengumumkan persaraan dalam akaun Instagram miliknya, Wendy berkata: “Hari ini dengan rasa syukur, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam renang yang telah menjadi tempat perlindungan dan pentas untuk saya mencipta detik-detik indah yang tidak dapat dilupakan. Daripada kejayaan ke Olimpik hingga menghargai setiap kemenangan, semuanya didorong dengan dedikasi dan sokongan penuh.

“Persaraan ini menandakan permulaan babak baharu. Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini. Inilah permulaan baharu yang akan diharungi dengan keberanian dan semangat,” katanya. – BERNAMA

Harimau Muda tak kekok padang kelas ‘A’

KUALA LUMPUR: Permukaan padang di venue latihan dan juga perlawanan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 yang berkelas ‘A’ sememangnya memuaska hati skuad B-23 negara sekali gus dapat membantu mereka memperagakan aksi terbaik di Qatar.

Situasi itu diakui pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengharapkan anak buahnya dapat memanfaatkan permukaan padang yang begitu baik untuk menterjemahkan segala perancangan yang sudah disusun barisan kejurulatihan dengan sebaik mungkin.

“Saya lihat permukaan padang yang baik memang dapat membantu kita untuk bermain dengan corak permainan yang kita mahukan. Apabila pemain berlari, kita boleh nampak permukaan padang kurang tekanan jadi ini memberi kesan untuk tenaga pemain.

ADVERTISING

“Dengan keadaan padang latihan yang amat baik di sini (Qatar), saya nampak permainan skuad B-23 ini semakin meyakinkan. Apa yang diterapkan kepada pemain, nampaknya semua sudah semakin serasi.

“Saya optimis dengan perancangan daripada barisan kejurulatihan dan kesungguhan pemain, kita tidak akan gentar untuk turun beraksi dan semuanya berjalan dengan sangat positif ketika ini,” kata Shahril.

Kempen kali ini menyaksikan skuad Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan malam esok diikuti aksi bertemu Vietnam (Sabtu) dan Kuwait (23 April).

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia