Harimau Muda tak kekok padang kelas ‘A’

KUALA LUMPUR: Permukaan padang di venue latihan dan juga perlawanan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 yang berkelas ‘A’ sememangnya memuaska hati skuad B-23 negara sekali gus dapat membantu mereka memperagakan aksi terbaik di Qatar.

Situasi itu diakui pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengharapkan anak buahnya dapat memanfaatkan permukaan padang yang begitu baik untuk menterjemahkan segala perancangan yang sudah disusun barisan kejurulatihan dengan sebaik mungkin.

“Saya lihat permukaan padang yang baik memang dapat membantu kita untuk bermain dengan corak permainan yang kita mahukan. Apabila pemain berlari, kita boleh nampak permukaan padang kurang tekanan jadi ini memberi kesan untuk tenaga pemain.

ADVERTISING

“Dengan keadaan padang latihan yang amat baik di sini (Qatar), saya nampak permainan skuad B-23 ini semakin meyakinkan. Apa yang diterapkan kepada pemain, nampaknya semua sudah semakin serasi.

“Saya optimis dengan perancangan daripada barisan kejurulatihan dan kesungguhan pemain, kita tidak akan gentar untuk turun beraksi dan semuanya berjalan dengan sangat positif ketika ini,” kata Shahril.

Kempen kali ini menyaksikan skuad Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan malam esok diikuti aksi bertemu Vietnam (Sabtu) dan Kuwait (23 April).

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.-Berita Harian