Uzbekistan ‘dugaan’ terbesar Harimau Muda

KUALA LUMPUR: Peminat ‘game’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang kini dikenali sebagai EA Sports FC 24 pasti sudah arif dengan darjah kesukaran bagi perlawanan bola sepak secara maya itu.

Secara umumnya, terdapat enam darjah kesukaran bermula dengan ‘Permulaan’, ‘Amatur’, ‘Semi Pro’, ‘Profesional’, ‘Kelas Dunia’ dan ‘Legenda’ yang mana memberikan tahap cabaran berbeza mengikut darjah kesukaran dipilih.

Jika konteks ini diterapkan buat skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23, skuad Harimau Muda dilihat memulakan kempen di Qatar pada darjah kesukaran tertinggi iaitu ‘Legenda’ apabila berdepan naib juara edisi lalu, Uzbekistan.

Kemudian, mereka akan mengharungi darjah kesukaran ‘Kelas Dunia’ menentang Vietnam yang mara sehingga ke suku akhir edisi lalu sebelum menutup kempen menentang pasukan yang dianggap lebih mudah iaitu Kuwait.

Uzbekistan jelas tampil dengan reputasi gah sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan D terutamanya selepas jurulatihnya, Timur Kapadze membawa 13 pemain dari skuad naib juara edisi 2022 bagi menghadapi kempen kali ini.

Antara yang dibawa adalah penjaring terbanyak bersama Piala Asia B-23 2022, Jasurbek Jaloliddinov (tiga gol) selain dua penyerangnya, Ulugbek Khoshimov dan Khusain Norchaev yang masing-masing meledak dua gol pada kempen di tempat sendiri itu.

Malah, beberapa tonggak pertahanan masih mendapat kepercayaan Kapadze seperti Saidamat Mirsaidov, MuhammadKodir Hamraliev, Alibek Davronov serta penjaga gol, Abduvakhid Nematov.

Melihat kepada senarai pemain dimiliki pasukan Asia Tengah ini, mereka dianggap sebagai antara pilihan untuk merangkul gelaran dan pasukan dengan kaliber seperti ini menjadi lawan pertama negara di Qatar.

Sementara itu, skuad negara di bawah bimbingan Juan Torres Garrido perlu bangkit dari ‘mimpi ngeri’ di Uzbekistan apabila mereka ‘bungkus’ seawal peringkat kumpulan dengan tiga kekalahan dan pulang tanpa sebarang mata.

Mereka dibolosi sembilan gol dan hanya satu gol berjaya dijaringkan oleh Mukhairi Ajmal Mahadi iaitu pada aksi pembukaan berdepan Korea Selatan yang berakhir dengan kekalahan 1-4.

‘Tragedi’ di Uzbekistan dua tahun lalu pastinya mematangkan beberapa pemain yang turut berada dalam skuad kali ini dan ‘gendang perang’ skuad Harimau Muda sudahpun dipalu.

Ini secara tidak langsung menandakan misi ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat skuad negara bermula secara rasminya, esok dan ayuh Harimau Muda, tunjukkan belangmu di tengah padang pasir!-Berita Harian