Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 15, 2024

Piala Thomas: Berakhirkah kemarau 32 tahun?

KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi dipamerkan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang muncul naib juara Asia, kelmarin dilihat hadir tepat pada masanya ketika berbaki kurang dua minggu sebelum saingan Piala Thomas bermula di Chengdu, China pada 28 April ini.

Pasangan ranking ke-19 dunia itu terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Asia pertama mereka selepas tewas di tangan beregu nombor tiga dunia yang juga wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China semalam.

Bagaimanapun, Izzuddin-Sze Fei sebelum itu tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Berdasarkan prestasi itu, Izzuddin-Sze Fei pastinya menjadi sandaran utama untuk menyumbangkan mata kepada skuad negara pada saingan Piala Thomas kali ini.

Sekiranya dengan percaturan taktikal yang tepat, bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Thomas selama 32 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Pada edisi kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Situasi semasa menyaksikan Malaysia mengharapkan dua mata disumbang menerusi acara beregu dan satu mata menerusi perseorangan.

Selain Izzuddin-Sze Fei, skuad negara kali ini turut menyenaraikan bekas juara dunia yang juga pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi menggalas cabaran beregu di Chengdu selain Muhammad Haikal Nazri.

Aaron-Wooi Yik akan turun selaku beregu pertama manakala Izzuddin-Sze Fei galas tugas beregu kedua.

Kedua-dua pasangan negara itu sudah membuktikan mereka boleh menewaskan mana-mana beregu terbaik jika berjaya beraksi pada tahap prestasi sebenar pada hari perlawanan sekali gus meletakkan peratusan untuk menyumbang mata adalah tinggi.

Cuma, skuad negara perlu mencuri satu mata dalam acara perseorangan dan sandaran sudah tentu diletakkan di atas bahu Lee Zii Jia yang menggalas tugas sebagai perseorangan pertama.

Meskipun Ng Tze Yong turut disenaraikan tetapi dia masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan belakang pada Februari lalu.

Tiga lagi pemain perseorangan turut disenaraikan pada saingan kali ini iaitu Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada Zii Jia yang dipalit dengan kontroversi selepas meminta bayaran bagi menyarung jersi kebangsaan atas dasar komersial dan dipersetujui oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jadi, inilah masanya untuk dia menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan tahap patriotiknya dengan memastikan kemenangan atau setidak-tidaknya berjuang bermati-matian dalam setiap perlawanan disertainya.

BAM akan memberi pampasan kepada Zii Jia dalam setiap perlawanan yang disertainya di Chengdu.

Bagi legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang membantu pasukan menjulang Piala Thomas 1992 mengakui kehadiran Zii Jia dilihat mampu memberikan impak kepada skuad negara untuk menghadapi cabaran pada edisi kali ini.

“Kalau kita lihat untuk acara beregu, memang kita kuat dengan adanya Aaron-Wooi Yik dan Izzuddin-Sze Fei, prestasi mereka agak konsisten.

“Namun, kita perlu juga ada kekuatan dalam acara perseorangan. Saya percaya kehadiran Zii Jia menguatkan lagi pasukan, jika dia tidak ada, memang pincanglah pasukan kerana Tze Yong pun kita tidak pasti lagi boleh bermain atau tidak nanti kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Apa yang paling penting adalah dua mata pertama, kalau kita berjaya dapat dua mata pertama, pasukan akan lebih yakin dan memberi motivasi kepada pemain lain yang turun beraksi selepas itu,” kata Rashid kepada BH Sukan.

Menurut Rashid, fokus awal skuad negara adalah memastikan pasukan layak ke suku akhir terlebih dahulu tidak kira selaku juara atau naib juara kumpulan.

“Pada saya, kita tidak perlu terlalu memikirkan untuk menjadi juara kumpulan sebaliknya yang penting kita lepas ke suku akhir sudah memadai. Memang sebaiknya kita jadi juara kumpulan tetapi kalau jadi juara kumpulan pun, tetapi tewas di suku akhir tiada guna.

“Lebih baik kita fokus satu demi satu perlawanan. Dalam saingan peringkat kumpulan pun bukan mudah kerana kita ada Denmark dan Hong Kong yang kita tahu ada kelebihan menerusi acara perseorangan,” kata bekas pemain nombor satu dunia berkenaan.

Sejak kali terakhir muncul juara pada 1992, pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).-Berita Harian

Harimau Malaya B-23 mahu kejutkan Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) turun ke Piala Asia B-23 tanpa sebarang tekanan memandangkan mereka ‘sedar diri’ dengan kemampuan mereka untuk berentap pada saingan yang sudah membuka tirainya di Qatar, hari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan beliau selalu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu tertekan terutama selepas mengambil kira reputasi pencabar lain pada Kumpulan D.

Bagi edisi kali ini, skuad bimbingan Juan Torres Garrido bakal berdepan juara 2018, Uzbekistan, Rabu ini disusuli naib juara 2018, Vietnam pada 20 April dan menutup aksi peringkat kumpulan menentang Kuwait, tiga hari kemudian.

“Sejak bermulanya kem latihan pusat, saya selalu katakan kepada pemain supaya jangan tertekan kerana kita sentiasa akan menjadi pasukan bukan pilihan. Jadi dengan status seperti ini, kita tidak berdepan banyak tekanan.

“Kita tahu Uzbekistan memiliki kelebihan tetapi kita akan cuba memberi tentangan. Aksi pertama sememangnya penting kerana ia boleh dianggap sebagai motivasi terbaik. Kalau dapat menang ataupun seri, itu sudah bonus.

“Berdasarkan perkembangan ditunjukkan sepanjang tiga minggu menjalani latihan, saya optimis kita mampu memberikan cabaran yang terbaik kepada Uzbekistan,” kata Shahril.

Dalam perkembangan lain, Shahril juga melihat anak buahnya sudah mula menyesuaikan diri dengan cuaca di Qatar selepas sebelum ini hanya menjalani sesi latihan pada sebelah malam susulan bulan Ramadan.

“Pemain perlu sesuaikan diri dengan cuaca pada sebelah petang kerana kita ada dua perlawanan pada sebelah petang. Ada lagi beberapa hari sebelum aksi pertama (lawan Uzbekistan) jadi kita melihat ada perkembangan positif daripada pemain.

“Saya fikir cuaca di Malaysia lebih panas lagi berbanding di Qatar, cuma di sini cuacanya panas dan kering jadi pemain perlu pandai-pandai untuk ‘ambil angin’ ketika bermain nanti,” katanya.

Piala Asia B-23

Kumpulan D

Rabu

Uzbekistan mln Malaysia, 9 mlm

Sabtu

Malaysia mln Vietnam, 9 mlm

23 April

Kuwait mln Malaysia, 11.30 mlm

-Berita Harian

Rexy elak Izzuddin-Sze Fei besar kepala

KUALA LUMPUR: Mesti konsisten!

Itu peringatan diberikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kepada beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, semalam.

Rexy mengakui pasangan ranking ke-19 dunia itu menampilkan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan tetapi mengingatkan mereka supaya tidak terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

“Pencapaian mereka sangat baik sepanjang kejohanan. Cuma di set ketiga pada aksi final semalam, mereka dilihat tidak berani dan teragak-agak.

“Saya tidak mahu terlalu memuji kerana apa yang paling utama adalah mereka perlu konsisten selepas ini. Saya bimbang jika terlalu dipuji akan besar kepala,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Izzuddin-Sze Fei tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final.

Dalam pada itu, Rexy percaya sekiranya Izzuddin-Sze Fei mampu menampilkan prestasi seperti yang ditunjukkan di BAC sejak awal tahun ini, mereka berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau dari awal tahun mereka sudah mula menunjukkan prestasi seperti ini, sudah tentu mereka layak ke Olimpik, tetapi sudah terlambat,” katanya.

Kedudukan ranking dunia Izzuddin-Sze Fei dijangka melonjak dalam kelompok 15 terbaik dunia susulan pencapaian dilakar di Ningbo itu.-Berita Harian

Nurul Izzah iringi Azizulhasni, Shah Firdaus ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati akan mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Nurul Izzah, 20, secara tidak rasminya mengesahkan tiket ke Paris selepas menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan pusingan ketiga Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada yang berakhir awal pagi tadi.

Pelumba negara itu tewas di tangan Luz Daniela Gaxiola Gonzalez dari Mexico di pusingan pertama acara pecut individu pada Sabtu lalu tetapi bangkit untuk menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara keirin.

Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Nurul Izzah, Azizulhasni dan Shah Firdaus secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris bagi acara pecut dan keirin.

“Bagaimanapun, senarai rasmi hanya akan dikeluarkan pada 22 April ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata Nurul Izzah menampilkan prestasi yang baik dalam perlumbaan di Milton.

“Izzah berlatih untuk acara keirin dan dia berlumba dengan menakjubkan. Pencapaiannya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dalam persaingan yang cukup kompetitif membuktikan potensi yang dimilikinya,” kata Beasley.

Beasley turut memberikan pengiktirafan kepada Siri Kejohanan Berbasikal Trek YSD (YSDTS) yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ditunjukkan Nurul Izzah.

Katanya, pencapaian itu juga disebabkan sokongan padu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin sejak sedekad yang lalu.

“Kami perlu berterima kasih kepada siri perlumbaan YSDTS kerana di situlah dia mempelajari kemahiran perlumbaan.

“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby di atas sokongan mereka yang luar biasa, tanpa perlumbaan trek ini kami tidak mampu membantu Izzah layak ke Olimpik.

“Sekarang kami perlu menjadikan perlumbaan tempatan ini ke tahap yang lebih tinggi dan kami sudah mempunyai rancangan untuk melakukannya, dan sekali lagi kami berterima kasih kepada YSD, Sport Excel dan Majlis Sukan Negara.

“Dr Yatela sudah menyokong kami selama kira-kira 10 tahun dan ini adalah penghargaan di atas sokongan dan kepercayaan Sime Darby dalam program kami, atlet muda kami semakin meningkat,” kata Beasley.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia