Piala Thomas: Berakhirkah kemarau 32 tahun?

KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi dipamerkan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang muncul naib juara Asia, kelmarin dilihat hadir tepat pada masanya ketika berbaki kurang dua minggu sebelum saingan Piala Thomas bermula di Chengdu, China pada 28 April ini.

Pasangan ranking ke-19 dunia itu terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Asia pertama mereka selepas tewas di tangan beregu nombor tiga dunia yang juga wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China semalam.

Bagaimanapun, Izzuddin-Sze Fei sebelum itu tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Berdasarkan prestasi itu, Izzuddin-Sze Fei pastinya menjadi sandaran utama untuk menyumbangkan mata kepada skuad negara pada saingan Piala Thomas kali ini.

Sekiranya dengan percaturan taktikal yang tepat, bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Thomas selama 32 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Pada edisi kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Situasi semasa menyaksikan Malaysia mengharapkan dua mata disumbang menerusi acara beregu dan satu mata menerusi perseorangan.

Selain Izzuddin-Sze Fei, skuad negara kali ini turut menyenaraikan bekas juara dunia yang juga pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi menggalas cabaran beregu di Chengdu selain Muhammad Haikal Nazri.

Aaron-Wooi Yik akan turun selaku beregu pertama manakala Izzuddin-Sze Fei galas tugas beregu kedua.

Kedua-dua pasangan negara itu sudah membuktikan mereka boleh menewaskan mana-mana beregu terbaik jika berjaya beraksi pada tahap prestasi sebenar pada hari perlawanan sekali gus meletakkan peratusan untuk menyumbang mata adalah tinggi.

Cuma, skuad negara perlu mencuri satu mata dalam acara perseorangan dan sandaran sudah tentu diletakkan di atas bahu Lee Zii Jia yang menggalas tugas sebagai perseorangan pertama.

Meskipun Ng Tze Yong turut disenaraikan tetapi dia masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan belakang pada Februari lalu.

Tiga lagi pemain perseorangan turut disenaraikan pada saingan kali ini iaitu Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada Zii Jia yang dipalit dengan kontroversi selepas meminta bayaran bagi menyarung jersi kebangsaan atas dasar komersial dan dipersetujui oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jadi, inilah masanya untuk dia menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan tahap patriotiknya dengan memastikan kemenangan atau setidak-tidaknya berjuang bermati-matian dalam setiap perlawanan disertainya.

BAM akan memberi pampasan kepada Zii Jia dalam setiap perlawanan yang disertainya di Chengdu.

Bagi legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang membantu pasukan menjulang Piala Thomas 1992 mengakui kehadiran Zii Jia dilihat mampu memberikan impak kepada skuad negara untuk menghadapi cabaran pada edisi kali ini.

“Kalau kita lihat untuk acara beregu, memang kita kuat dengan adanya Aaron-Wooi Yik dan Izzuddin-Sze Fei, prestasi mereka agak konsisten.

“Namun, kita perlu juga ada kekuatan dalam acara perseorangan. Saya percaya kehadiran Zii Jia menguatkan lagi pasukan, jika dia tidak ada, memang pincanglah pasukan kerana Tze Yong pun kita tidak pasti lagi boleh bermain atau tidak nanti kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Apa yang paling penting adalah dua mata pertama, kalau kita berjaya dapat dua mata pertama, pasukan akan lebih yakin dan memberi motivasi kepada pemain lain yang turun beraksi selepas itu,” kata Rashid kepada BH Sukan.

Menurut Rashid, fokus awal skuad negara adalah memastikan pasukan layak ke suku akhir terlebih dahulu tidak kira selaku juara atau naib juara kumpulan.

“Pada saya, kita tidak perlu terlalu memikirkan untuk menjadi juara kumpulan sebaliknya yang penting kita lepas ke suku akhir sudah memadai. Memang sebaiknya kita jadi juara kumpulan tetapi kalau jadi juara kumpulan pun, tetapi tewas di suku akhir tiada guna.

“Lebih baik kita fokus satu demi satu perlawanan. Dalam saingan peringkat kumpulan pun bukan mudah kerana kita ada Denmark dan Hong Kong yang kita tahu ada kelebihan menerusi acara perseorangan,” kata bekas pemain nombor satu dunia berkenaan.

Sejak kali terakhir muncul juara pada 1992, pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).-Berita Harian