Kekalahan Aaron-Wooi Yik bukan kegagalan – Rexy

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan kekalahan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas final Seluruh England, bukan satu kegagalan.

Rexy mengakui gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto bermain lebih baik berbanding Aaron-Wooi Yik sehingga mereka menguasai perlawanan akhir di Utilita Arena, Birmingham awal pagi tadi.

Namun, Rexy melihat perlawanan akhir itu membabitkan kepercayaan diri antara satu sama lain.

Malah, katanya, pada satu ketika Aaron-Wooi Yik mendapat rentak untuk mengubah keputusan perlawanan.

“Sebenarnya ketika kedudukan 10 sama di set kedua, mereka (Aaron-Wooi Yik) sudah mendapat rentak tapi belum cukup bagus.

“Mereka buat kesalahan bila banyak hantar bola separuh gelanggang dan itu membolehkan pasangan lawan lebih menguasai perlawanan.

“Fajar dan Rian pula berjaya menguasai di hadapan jaring dan Wooi Yik kelihatan agak goyah dan kurang tenang,” kata Rexy yang menyaksikan anak didiknya itu tewas 16-21, 16-21 dalam tempoh 44 minit.

Dalam perkembangan berlainan, Rexy memuji prestasi ditunjukkan beregu muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang meraih gelaran Masters Orleans.

Ia adalah gelaran ketiga buat pasangan itu dalam siri jelajah BWF.

Mereka menyerap tekanan biarpun tidak ditemani oleh jurulatih beregu dan ia adalah satu perkembangan yang baik.

Mereka ditemani jurulatih perseorangan, Hendrawan yang berada di tempat duduk jurulatih di belakang gelanggang, selepas muncul satu-satunya wakil negara mara hingga ke final.

“Satu prestasi yang bagus dan ini bermakna setiap jurulatih mesti mengambil peranan sebagai seorang role model.

“Pemain wajib mempercayai arahan dan tunjuk ajar daripada mana-mana jurulatih,” kata Rexy.

Hon Jian-Haikal terlebih dahulu melakar kejayaan muncul juara Masters Orleans dengan menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 21-15, 18-21, 21-14 pada aksi final di Palais des sports.

Hon Jian-Haikal seterusnya akan mengibar cabaran di Terbuka Switzerland dan diundi menentang rakan pemain senior profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama.-Harian Metro