Kabinet bincang tawaran tuan rumah Komanwel minggu depan

Kuala Lumpur: Tawaran penganjuran Sukan Komanwel 2026 oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) kepada Malaysia akan dibincangkan Kabinet minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak mahu membuat ulasan yang mendahului Kabinet berhubung perkara itu.

“Isu tawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel, ia akan di bawa ke dalam perbincangan Kabinet minggu depan dan kita maklum ada banyak maklum balas mengenainya.

“Namun, saya beri jaminan kerajaan ini sangat bertanggungjawab dan setiap ringgit yang dibelanjakan akan kita pastikan ia mendatangkan hasil kepada negara dan kerajaan akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya pada sesi penggulungan Titah Ucapan Diraja, di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Chong Zhemin (PH-Kampar) pada sesi penggulungan itu mengenai laporan menyatakan Malaysia ditawarkan menganjurkan Sukan Komanwel pada 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Mengulas tawaran menjadi tuan rumah kejohanan badminton Piala Thomas 2026, katanya Malaysia sememangnya tiada hasrat menjadi tuan rumah, begitu juga dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, BAM bukan menolak tawaran sebaliknya tidak berhasrat membida untuk menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Hannah menegaskan laporan berita menyatakan Formula E akan kembali ke negara ini, hanyalah berita berdasarkan dengar cakap bukannya fakta yang benar.

Justeru, katanya beliau menasihatkan mana-mana pihak mendapatkan pengesahan kementerian sebelum menyiarkan laporan sedemikian.

“Saya sudah berhubung dengan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan mereka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.-Harian Metro