5 kejohanan buat Andre Anura cari tiket ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pintu masih belum tertutup buat jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dalam misi untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim, berkata anak didiknya itu masih ada lagi lima kejohanan untuk dia menembusi kelompok 32 terbaik sekali gus layak ke Paris.

Katanya, lima kejohanan itu adalah Terbuka Singapura pada April dan Kejohanan Jemputan Taiwan (Mei) selain tiga kejohanan pada Jun iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Taiwan dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia.

“Namun, dia (Andre Anura) perlu mencatat lompatan yang konsisten dalam kelima-lima kejohanan itu, sekurang-kurangnya sejauh 16.40m (meter) sehingga 16.70m.

“Ia bagi membolehkan dia memperbaiki kedudukan rankingnya untuk berada dalam kelompok 32 terbaik sebelum tempoh kelayakan Road to Paris 24, berakhir 30 Jun ini,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di sini, semalam.

Berdasarkan ranking Road to Paris 2024, atlet berusia 24 tahun itu kini berada di kedudukan ke-48 dengan 1,081 mata.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus tidak bimbang dengan keputusan dicatat Andre Anura yang tewas mengejut di tangan atlet dari Sarawak Brendon Ting Li King pada Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 di Bukit Jalil, kelmarin.

Brendon mencatat 15.56m bagi meraih pingat emas manakala Andre Anura yang merakam 15.39m terpaksa berpuas hati dengan perak manakala gangsa milik Andrew George Medina dari Sekolah Sukan Singapura (15.29m).

Ahmad Firdaus, berkata hanya Andre Anura perlu melakukan sedikit perubahan untuk mengimbangi kekuatan ototnya sekali gus dapat kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 berakhir.-Berita Harian