Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 14, 2024

Sukma 2024: Atlet Johor menang emas dapat ganjaran RM10,000

GANJARAN wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kerajaan negeri menanti atlet Johor yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos depan.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, jurulatih atlet berkenaan pula bakal menerima RM5,000 manakala bagi acara berpasukan, setiap pasukan akan menerima RM20,000 sebagai imbuhan.

“Imbuhan ini diharap dapat menyuntik semangat atlet untuk jadi juara dua kali berturut-turut (setelah muncul juara Sukma 2022).

“Cabaran kepada kita kerana ramai yang ingin cuba tangani status kita sebagai juara.

“Apa pun, kita sentiasa mengikuti perkembangan atlet dari semasa ke semasa dan selamat berjuang saya ucapkan,” katanya.

Mohd Hairi berkata demikian pada sidang media Majlis Countdown Sukma Johor ‘Sukma 2024: The Next Chapter’ di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Arena Larkin, pada Selasa.

Pada majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengumumkan sasaran 60 hingga 70 pingat emas untuk dicapai kontinjen Johor dalam temasya itu nanti.

Untuk rekod, kontinjen Johor muncul juara keseluruhan Sukma Kuala Lumpur 2022 dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, pihaknya tidak mengumumkan ganjaran bagi pingat perak dan gangsa kerana mahu kesemua atlet bersemangat menjelang Sukma 2024.

“Kalau kita umumkan ganjaran perak dan gangsa, takut atlet berpuas hati catat perak, gangsa sahaja, jadi kita tetapkan sasaran untuk pingat emas dengan ganjaran lumayan untuk buatkan mereka lebih bersemangat,” katanya.-Sinar Harian

Johor sasar 60 hingga 70 pingat emas Sukma Sarawak

JOHOR BAHRU: Johor meletakkan sasaran antara 60 hingga 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu perlu dicapai bagi memastikan Johor mempertahankan dan mengulangi kejuaraan yang dilakar ketika Sukma 2022 di Kuala Lumpur.

“(Pada awalnya) sasaran kita adalah 40 hingga 50 pingat emas, namun apabila saya fikir dan melihat semangat yang ditonjolkan anak muda (atlet kita), saya yakin kita boleh meraih antara 60 hingga 70 pingat emas.

“Atlet (terlibat) diharap terus bersemangat dan pastikan ia menjadi kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Countdown Sukma Johor ‘Sukma 2024: The Next Chapter’ di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Pada majlis itu, Onn Hafiz turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 bagi atlet acara perseorangan dan berpasukan RM20,000 yang berjaya meraih pingat emas pada temasya edisi ke-21 itu.

“Jurulatih yang berjaya membantu atlet memperoleh pingat emas itu pula akan diberikan sebanyak RM5,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairi pada sidang media selepas majlis tersebut berkata, insentif bagi pingat perak dan gangsa pula akan dimaklumkan kemudian oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

“Insentif pingat emas diumum dahulu, (kerana) ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet kita dan mahu mereka fokus dalam membantu mencapai kemenangan buat Johor,” katanya.

Pada Sukma ke-20, Johor muncul juara keseluruhan apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus berjaya melepasi sasaran yang diletakkan iaitu 40 emas. – BERNAMA

Latif, Ziyad tuai emas di Dubai

JAGUH para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli terus mempamerkan aksi baik di peringkat antarabangsa, apabila merangkul pingat emas di Dubai 2024 World Para Athletics Grand Prix, pada Selasa.

Pemenang emas Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif muncul juara acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan lompatan sejauh 7.11 meter (m), sekali gus berada di landasan tepat untuk hatrik emas di Paris 2024.

Athanasios Prodromou (6.81m) dari Greece dan Nikki Tang (6.74m) dari Hong Kong masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Sementara itu, Muhammad Ziyad mencatatkan lontaran sejauh 16.62m untuk ungguli acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Ia cukup untuk mengatasi Muhammet Atici (15.12m) dari Turkiye dan Boonkong Sanepoot (12.80m) dari Thailand, manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 12.61m.

Bagi acara lempar cakera berkerusi roda lelaki F54/55/56 (kecacatan fizikal), Muhammad Amir Abdul Raof menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 26.86m.

Wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE) unggul meraih emas dan gangsa masing-masing menerusi Abdulla Mesbahi meraih (22.90m) dan Sultan Alhamsi (23.10m). – Bernama

Skuad wanita mara ke suku akhir

SHAH ALAM: Skuad wanita negara mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada aksi Kumpulan Y, sebentar tadi.

Walaupun ia hanyalah aksi pertama skuad negara namun dua kekalahan dialami UAE termasuk ketika tewas di tangan Thailand 0-5, semalam menutup pintu mereka untuk ke pusingan kalah mati.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Thailand bagi penentuan gelaran juara kumpulan, esok.

Terdahulu, pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, Malaysia mengesahkan tiga mata pertama menerusi tiga pemain perseorangan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa dan Wong Ling Ching.

Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia dua kali menewaskan Nurani Ratu Azzahra 21-13, 21-9 manakala Letshanaa menundukkan S Madhumitha 21-11, 21-14.

Ling Ching menghadiahkan mata ketiga menerusi kemenangan ke atas S P Sreeyuktha 21-4, 21-12.

about:blank

Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah mengatasi gandingan Nayonika Rajesh-Madhumita 21-4, 21-5 manakala Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan menewaskan R.S Zainaba-Sreeyuktha 21-4, 21-14.-Berita Harian

Kunjung hormat ke MSN, bincang kemajuan sukan Kedah

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din telah melakukan kunjungan hormat ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, bertujuan membincangkan perancangan pembangunan sukan khususnya di Kedah.

Menurutnya, beberapa keperluan untuk memajukan sukan di negeri tersebut tersebut telah dibincangkan dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

“Antaranya untuk pelaksanaan pembangunan sukan di peringkat negeri Kedah menjelang 2024 ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MSN khususnya Ketua Pengarahnya yang sudi menerima kunjung hormat beliau dan rombongan ke situ.

Turut hadir ialah lagenda bola sepak negara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan Pengarah MSN Kedah, Zulzurraidy Othman.

Dalam perkembangan lain, mengambil kesempatan sepanjang berada di Kuala Lumpur, Radhi turut mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan.

Antara fokus perbincangan beliau dalam pertemuan dengan Menteri, Hannah Yeoh, adalah berkenaan pembangunan golongan belia di negeri ini. – HARAKAHDAILY

Majlis Sukan Negara Malaysia