Skuad wanita mara ke suku akhir

SHAH ALAM: Skuad wanita negara mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada aksi Kumpulan Y, sebentar tadi.

Walaupun ia hanyalah aksi pertama skuad negara namun dua kekalahan dialami UAE termasuk ketika tewas di tangan Thailand 0-5, semalam menutup pintu mereka untuk ke pusingan kalah mati.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Thailand bagi penentuan gelaran juara kumpulan, esok.

Terdahulu, pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, Malaysia mengesahkan tiga mata pertama menerusi tiga pemain perseorangan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa dan Wong Ling Ching.

Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia dua kali menewaskan Nurani Ratu Azzahra 21-13, 21-9 manakala Letshanaa menundukkan S Madhumitha 21-11, 21-14.

Ling Ching menghadiahkan mata ketiga menerusi kemenangan ke atas S P Sreeyuktha 21-4, 21-12.

about:blank

Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah mengatasi gandingan Nayonika Rajesh-Madhumita 21-4, 21-5 manakala Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan menewaskan R.S Zainaba-Sreeyuktha 21-4, 21-14.-Berita Harian